Terdapat pelbagai bahan asas yang berada di sekeliling kita. Antaranya, kayu, logam, plastik, keluli tahan karat, tembaga, papan kad, aluminum, kaca, seramik dan kertas.
Bahan yang diperbuat daripada besi, kaca, seramik dan kertas membolehkan virus hidup selama 5 hari. Objek logam yang lazim dijumpai dalam aktiviti seharian kita ialah tombol pintu, barang kemas dan barangan perak. Permukaan kaca seperti tingkap dan cermin boleh berada dimana-mana termasuklah di pejabat atau pusat membeli-belah. Perkongsian barangan seramik seperti cawan dan piring berpotensi menjadi sumber penyebaran COVID-19 terutamanya dalam kalangan ahli keluarga di rumah. Lebih-lebih lagi kertas, bahan ini adalah bahan yang digunakan secara meluas. Ia digunakan dimerata-rata tempat termasuklah di pejabat, di klinik, di tempat awam sebagai risalah iklan yang boleh dijumpai di bawah pengelap kereta.
Dalam pada itu, virus COVID-19 boleh hidup di atas permukaan yang diperbuat daripada kayu sehingga 4 hari. Kita harus lebih peka terhadap perabot yang digunakan masyarakat umum terutamanya jika terdapat seseorang yang menunjukkan gejala jangkitan COVID-19.
Virus ini juga boleh bertahan pada permukaan plastik dan keluli tahan karat selama 2-3 hari. Sebagai contoh, bahan-bahan seperti plastik bungkusan makanan ringan, botol air mineral dan butang lif adalah antara permukaan plastik yang mungkin masih terdapat virus COVID-19.
Virus yang menjejaskan saluran pernafasan ini juga boleh bertahan sehingga 24 jam pada objek yang diperbuat daripada papan kad. Ramai dalam kalangan masyarat umum yang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai barangan yang dibeli secara atas talian dan dihantar dari China. Oleh itu, maklumat ini perlu dipertimbangkan dan dititikberat apabila seseorang menerima pakej atau barangan yang dibelinya dari dalam atau luar negara.
Bagi bahan yang diperbuat daripada aluminium, jangka hayat virus berkemungkinan sehingga 2-8 jam dan bagi objek tembaga, ia dijangka boleh hidup sehingga tempoh 4 jam. Antara contoh barangan yang diperbuat daripada aluminium adalah tin air minuman dan tin makanan. Tembaga merupakan bahan asas utama bagi objek seperti syiling yang digunakan dalam urus niaga tunai di kedai runcit dan sebagainya.
Terdapat juga persoalan yang timbul pada minda seseorang tentang jangka hayat virus pada permukaan makanan segar lebih-lebih lagi apabila seseorang mengunjungi kedai runcit. Masih tiada bukti bahawa virus ini boleh disebar melalui makanan. Walaubagaimanapun, amalan mencuci buah-buahan dan sayur-sayuran yang dibeli adalah amat digalakkan terutamanya jika ia dimakan secara mentah. Cuci dengan teliti dengan berus atau gosoknya dengan tangan sebelum menjamah.
Selain itu, virus ini juga tidak mempunyai daya tahan pada permukaan air. Kandungan klorin dalam bekalan air akan membunuh virus tersebut sebelum ia tiba di saluran paip rumah.