Simptom Yang Dialami Pesakit Jantung Bengkak, Punca Dan Cara Untuk Merawatnya

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Jun 4, 2020

Soalan:

Selamat sejahtera doktor, saya lelaki berusia 50 tahun dan merupakan bekas perokok tegar. Pada saat saya menulis soalan ini, saya baru sahaja terjaga dari tidur kerana sesak nafas yang seringkali saya alami ketika baring mendatar. Fenomena ini memaksa saya untuk mengunakan sekurang-kurangnya 3 biji bantal supaya posisi badan atas saya lebih terangkat dan hanya dengan itu sesak nafas saya berkurangan. Untuk pegetahuan lanjut pihak doktor, saya telah mengalami gejala ini selama hampir sebulan dan ia juga disusuli dengan simptom lain yakni kaki membengkak, sesak nafas, mudah keletihan terutamanya ketika melakukan aktiviti berat serta berdebar-debar. Anak saya yang bekerja sebagai jururawat mengatakan saya mungkin menghidapi masalah jantung membengkak, adakah perkara ini benar ?

Jawapan:

Terima kasih kerana bertanyakan soalan berikut dan ianya penting untuk kesedaran individu serta orang awam. Meneliti gejala yang anda utarakan, saya agak bersetuju dengan pendapat bahawa anda mengalami sakit jantung yang membengkak. Namun begitu, terdapat sakit lain yang juga perlu untuk dipertimbangkan seperti masalah paru-paru berair. Disamping itu, bengkak pada kaki anda juga boleh disebabkan masalah pada organ buah pinggang dan juga hati. Beberapa pemeriksaan terperinci perlu untuk dilakukan untuk mengetahui penyebab sebenar bagi masalah yang anda hadapi kini.

Pengertian Berkenaan Dengan Jantung Bengkak

Apabila bercerita tentang bengkak, imaginasi pertama yang terlintas dalam benak fikiran seseorang ialah organ yang kelihatan membesar seperti sang gergasi. Begitulah keadaan yang terjadi pada organ jantung dan terma perubatan bagi fenomena ini ialah cardiomegaly. Am mengetahui bahawa organ jantung boleh dikelaskan kepada dua bahagian iaitu saluran kanan dan kiri. Pembengkakan boleh terjadi pada satu bahagian mahupun kedua-keduanya sekali.

Tanda-Tanda Jantung Bengkak

Ramai yang terkeliru berkenaan dengan simptom yang bersangkut paut dengan jantung. Asal sahaja sesak nafas, pastinya refleks pemahaman seseorang mengaitkan dengan jantung tersumbat, jangkitan paru-paru mahupun asma. Jarang sekali jantung bengkak menjadi buah fikiran utama mereka padahal kondisi ini juga agak lazim berlaku kepada majoriti pesakit. Ekoran itu, pemahaman berkenaan dengan gejala jantung bengkak ini perlu untuk diketahui oleh manusia sejagat. Antaranya ialah:

  1. Sesak nafas terutamanya ketika baring secara mendatar
  2. Rima degupan jantung yang tidak sekata
  3. Bengkak air pada kaki
  4. Batuk
  5. Sakit dada

Apakah Punca Jantung Bengkak?

  • Masalah kongenital sejak dari lahir

Acapkali kita didendangkan dengan berita tentang kanak-kanak ataupun bayi yang sakit sejak dari lahir lagi. Berkenaan dengan organ jantung juga, penyakit kongential yang lazim melanda ialah jantung berlubang, jantung terbalik atau injap jantung yang tidak terbuka serta tertutup secara optima. Kesemua masalah ini akan menimbulkan komplikasi secara kekal jika intervensi perubatan tidak diambil dengan segera. Lama kelamaan, jantung kanak-kanak tersebut akan mula membengkak kerana ia tidak berfungsi secara efisyen.

  • Serangan jantung

Sakit jantung bukanlah perkara yang asing bagi masyarakat Malaysia. Lihat sahaja dalam televisyen, watak-watak yang tercungap menunduk sambil tangan memegang dada pastinya kemudian berakhir di hospital dan disahkan menghidap sakit jantung. Apakah kesudahan mereka? Golongan ini selalunya berakhir dengan komplikasi jantung bengkak. Hal ini kerana, saluran darah pada jantung yang tersumbat akan menyebabkan otot jantung tidak mendapatkan oksigen secukupnya dan akhirnya mati. Keadaan ini akan menyebabkan dinding otot mati dan membengkak secara berterusan.

  • Masalah pada injap jantung

Injap jantung merupakan antara komponen terpenting dalam jantung. Analogi mudah fungsi injap adalah seperti pintu automatik yang mengawal mobiliti masuk keluar seseorang. Kerosakan seperti lubang pada pintu ini akan menjejaskan pergerakan seseorang dan lama-kelamaan pintu juga akan rosak. Hal ini sama seperti injap yang berlubang, tidak tertutup buka dengan baik dan lemah yang mana akan menyebabkan darah tidak mengalir pada kadar yang sepatutnya. Jantung pula perlu untuk berkerja dengan lebih kuat dan akhirnya otot jantung mengeras serta membengkak.

  • Rima degupan jantung yang tidak sekata

“Dup dap dup dap..” pastinya bunyi rima ini kerap dikaitkan dengan degupan jantung dan pernahkah anda tertanya-tanya apakah yang berlaku ketika bunyi ini terhasil? Pada ketika itu, injap jantung akan terbuka ataupun tertutup dan getaran yang dihasilkan dari pergerakan injap inilah yang menghasilkan bunyi. Jika rima ini terganggu, proses pengaliran darah dalam jantung juga akan tersekat-sekat dan jika perkara ini terus berlarutan jantung akan terbeban untuk mengepam darah secara efisyen. Hal inilah yang mengundang kepada masalah jantung membengkak.

Tekanan darah tinggi boleh disebabkan oleh banyak punca dan antaranya ialah, saluran darah yang kecil ataupun degupan jantung yang laju. Kesemua ini akan menyebabkan rintangan terhadap aliran darah dalam jantung. Untuk mengatasi rintangan ini, jantung perlu untuk bekerja lebih dan perkara ini akan menyebabkan otot jantung membengkak.

Faktor Yang Menyumbang Kepada Masalah Jantung Bengkak

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kondisi jantung membengkak. Antaranya ialah:

  1. Merokok yang mana boleh menyebabkan saluran darah mengeras.
  2. Pengambilan alkohol juga telah terbukti melalui beberapa kajian yang menyumbang kepada penyakit ini.
  3. Pengambilan garam berlebihan dalam makanan juga menyumbang kepada masalah ini.
  4. Masalah yang berkaitan dengan metabolisma dan hormon seperti hipertiroid juga merupakan penyebab kepada masalah ini.
  5. Sejarah sakit keluarga yang berkaitan dengan jantung bengkak juga turut menjadi faktor kepada masalah ini.

Pencegahan Dan Mekanisme Kawalan

Ramai yang bertanya sama ada jantung bengkak boleh sembuh ataupun tidak. Amat sukar untuk memberikan kata putus muktamad berkenaan dengan persoalan ini kerana ia bergantung kepada keseriusan sakit ini juga. Namun secara amnya, pelbagai pendekatan mudah boleh diambil sebagai contoh:

  • Mengamalkan gaya hidup sihat

Kadang-kadang, ubat bagi suatu sakit tidak hanya berbentuk pil makan tetapi juga dalam dos gaya hidup sihat. Selain itu, senaman juga membantu dalam mengurangkan berat badan serta lemak dalam badan yang mana boleh menyebabkan saluran darah tersumbat. Dengan semudah berhenti merokok, seseorang dapat mengurangkan risiko untuk mendapatkan sakit jantung membengkak.

  • Pengambilan makanan yang seimbang

Pengambilan makanan sihat ini dapat dikonotasikan sebagai diet yang seimbang. Ramai yang berpendapat bahawa kalau diet kenalah ikat perut dan tak makan langsung. Pendapat ini sememangnya terpesong pada fahaman yang benar kerana seseorang boleh untuk makan tetapi pada kadar yang berpatutan dan makanan yang berkolesterol hendaklah diminimakan. Selain itu, seseorang hendaklah mengurangkan pengambilan garam kerana ia akan menyebabkan tekanan darah meningkat.

  • Rawatan melalui ubat-ubatan

Kawalan simptom melalui ubat juga boleh diberikan kepada pesakit yang memerlukan. Ubat ini bertujuan untuk mengurangkan degupan jantung seseorang dan juga mengurangkan jumlah air yang terperangkap pada kaki yang membengkak. 


Natijahnya, anda sebagai pembaca perlulah untuk sentiasa berwaspada dengan kesihatan masing-masing. Jika anda perasan akan simptom serta gejala yang telah digariskan dalam penulisan ini, silalah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Anda juga boleh untuk menghubungi (DoctorOnCall) untuk mendapatkan konsultasi secara atas talian.


Rujukan

Konsultasi Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA


Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Anda sedia untuk lawan jangkitan?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahui jika badan anda cukup kuat untuk melawan sebarang jangkitan Mula Ujian Percuma

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Daftar dan dapat RM30

Soalan berkenaan - jantung bengkak boleh sembuh, jantung berlubang, jantung tersumbat, tanda-tanda jantung bengkak, paru-paru berair

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor Percuma
Tanya Doktor Percuma 3% cashback untuk setiap pembelian!