10 Manfaat Vitamin E Untuk Kulit Cantik & Badan Sihat

Kebaikan Vitamin E Sebagai Antioksidan Radikal Bebas Untuk Badan- DoctorOnCall
Anonymous
Salam Sejahtera Doktor. Saya berusia 21 tahun pelajar dalam bidang kecantikan di sebuah kolej tempatan. Saya ada pelajari tentang kebaikan vitamin E dalam aspek penampilan kerana ia memberi manfaat kepada kulit, bibir dan rambut. Namun, saya inginkan maklumat lanjut tentang kebaikan vitamin E yang boleh diperolehi daripada aspek kesihatan. Hal ini kerana, jika saya ingin mempromosikan sesuatu produk kecantikan pada masa hadapan, saya ingin pastikan produk itu turut memberi manfaat kesihatan tubuh badan kepada masyarakat. Saya harap doktor boleh beri penjelasan kepada saya. Terima Kasih.
Anonymous
Salam Sejahtera Doktor. Saya berusia 21 tahun pelajar dalam bidang kecantikan di sebuah kolej tempatan. Saya ada pelajar... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima Kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak DoctorOnCall. Amat menarik bidang yang anda ceburi dan ia juga antara bidang yang mendapat tempat di hati masyarakat lebih-lebih lagi kaum wanita. Untuk makluman anda, benar sekali, vitamin E mengandungi khasiat yang bukan sahaja bermanfaat daripada aspek kecantikan bahkan juga aspek kesihatan. Ia boleh memberi manfaat kepada hampir seluruh organ badan kerana kelebihannya sebagai nutrien yang memiliki fungsi antioksidan. Bagi mengelakkan kekeliruan, saya akan jelaskan dengan lebih terperinci tentang fungsi tersebut dan manfaatnya kepada organ lain di badan. Harap penjelasan saya sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada anda dan masyarakat lain tentang kepentingan vitamin E kepada tubuh badan manusia.
Terima Kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak DoctorOnCall. Amat menarik bidang yang anda ceburi dan ia juga antara... See More

Apa Itu Vitamin E?

Kita sering disogokkan dengan kelebihan vitamin-vitamin yang ada di pasaran. Peniaga-peniaga supplemen ini tidak melepaskan peluang dengan mempromosikan produk mereka. Benarkah vitamin-vitamin ini mempunyai manfaat seperti mana yang mereka sampaikan, atau ia sekadar untuk menjadi punca pendapatan mereka meraih keuntungan? Sebelum itu, tak kenal maka tak cinta. Apakah Vitamin E dan mengapakah ia penting kepada badan? 

Vitamin E ialah sejenis bahan yang amat diperlukan badan pada kadar yang mencukupi untuk membantu sel-sel badan berfungsi. Kelebihan vitamin E ialah fungsi antioksidan yang ia boleh laksanakan. Hal ini amat penting kerana dalam seharian manusia bernafas, kita selalunya terdedah kepada bahan yang menghasilkan radikal bebas yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit termasuklah barah. Sebagai contoh, matahari menghasilkan sinaran UV yang boleh menghasilkan radikal bebas yang tinggi pada badan. Radikal bebas ini akan merosakkan sel-sel kulit sehingga berisiko menyumbang kepada kanser kulit. Jadi, disinilah vitamin E berfungsi sebagai wira terhebat dengan menjadi penghapus kepada bahan radikal bebas tersebut kerana kebolehan antioksidanya. 

Dimanakah vitamin E ini boleh dijumpai? Ia boleh dijumpai semudah-mudahnya pada makanan seharian kita dan ia bersifat larut lemak. Hal ini bermakna, ia boleh disimpan pada lemak-lemak dibadan dan digunakan apabila diperlukan.

Apakah Kebaikan Vitamin E?

Bagi memudahkan bacaan dan meningkatkan pemahaman pembaca, saya akan menyusunkan kebaikan ini kepada dua aspek iaitu kebaikan daripada aspek penampilan yang merangkumi organ kulit, rambut dan bibir serta kebaikan kepada kesihatan tubuh badan termasuklah otak, jantung, darah, mata dan sebagainya. 

Sebenarnya, manusia ini lebih terpengaruh kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada aspek penampilan kerana ia lebih boleh dipercayai dan dilihat. Oleh itu, manfaat kecantikan akan sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat lebih-lebih lagi jika sesuatu produk tidak mendatangkan keburukan kepada kesihatan. Berikut ialah manfaat Vitamin E daripada aspek penampilan:

  • Kebaikan Vitamin E untuk Kulit

Selain daripada fungsinya sebagai antioksidan, vitamin ini turut mempunyai kebolehan untuk mengurangkan keradangan kulit. Fungsi ini amat penting kerana keradangan kerap berlaku pada jerawat. Maka, dengan kebolehan ini, ia akan mengurangkan kemerahan serta kesakitan yang ada pada jerawat seseorang. Kulit juga akan kelihatan lebih muda dengan kebolehan antioksidan serta anti-keradangan ini. Kelebihan ini juga merupakan salah satu kebaikan vitamin C.

  • Kebaikan Vitamin E untuk Bibir

Kebolehan vitamin ini untuk memudahkan pengaliran darah dalam salur darah juga menjadikan ia sebagai bahan yang perlu ada pada pelembap bibir atau gincu. Apabila darah mudah mengalir pada bibir, kulit baru akan mudah terhasil menggantikan kulit kering pada bibir. Maka, bibir menjadi lebih lembut dan lembap secara semula jadi. 

  • Kebaikan Vitamin E untuk Rambut

Kebaikan ini tidak lain tidak bukan disebabkan oleh fungsi antioksidan yang ia boleh hasilkan. Fungsi ini mengelakkan daripada kulit kepada menggelupas dan menggalakkan pertumbuhan rambut sihat. 

Sebaik-baik produk yang mencantikkan kulit, rambut dan bibir, produk yang terbaik ialah apabila ia turut memberi kebaikan kepada kesihatan tubuh badan. 

  • Mengelakkan darah beku

Terdapat kajian yang dijalankan telah membuktikan vitamin ini mengelakkan daripada terhasilnya darah beku dan mengurangkan risiko strok serta serangan jantung. Hal ini kerana, ia mempunyai fungsi menghalang daripada darah membeku dalam saluran darah dengan mengganggu salah satu proses pembekuan yang melibatkan bahan platlet.

  • Membantu mengurangkan kadar kehilangan memori

Kajian juga telah mendapati, vitamin ini mempunyai peranan mengurangkan kadar keterukan memori kognitif pesakit Alzheimer. Namun, ia tidak boleh memulihkan penyakit tersebut.

  • Mengurangkan kadar kolesterol dalam darah

Kajian di Malaysia mendapati vitamin ini dapat mengurangkan kolesterol dalam darah ke atas 15% pesakit kolesterol tinggi yang diuji sepanjang kajian tersebut. Hal ini secara tidak lansung mengurangkan risiko serangan jantung yang menjadi antara punca utama kematian di Malaysia

  • Mengurangkan kadar kerapuhan dan keretakan tulang

Walaupun bukan fungsi utama vitamin ini, namun, vitamin E mempunyai fungsi mengurangkan kadar kerapuhan tulang kerana fungsi antioksidanya. 

  • Membantu membaiki sel otot yang rosak

Fungsi ini amat bermanfaat bagi ahli angkat berat. Terdapat kajian yang mendapati vitamin ini berfungsi merawat sel-sel otot yang rosak. 

  • Memelihara saraf badan

Fungsi ini juga bukanlah fungsi utama vitamin ini. Vitamin lain seperti B3 dan B1 lebih berperanan dalam memastikan kesihatan sel saraf badan terus terpelihara. Namun, vitamin ini memainkan salah satu peranan melindungi struktur dinding sel saraf. 

  • Membantu kesihatan Mata

Ia mempunyai fungsi antioksidan yang memelihara daripada kerosakan akibat bahan radikal bebas pada mata. Oleh itu, secara tidak lansung melindungi mata daripada penyakit Katarak dan Kerosakan Makular yang berhubung kait dengan Usia. Kesihatan mata merupakan kebaikan vitamin A berbanding vitamin E.


Maka, dalam erti kata yang mudah, vitamin ini memberi banyak kebaikan kepada tubuh badan manusia. Ia boleh dijumpai dalam pemakanan yang seimbang atau supplemen yang dijual di farmasi. Kesemua supplemen yang ada mempunyai kebaikan yang sama tanpa mengira jenama. Maka, tidak perlulah untuk menanyakan soalan seperti kebaikan vitamin e shaklee, kebaikan vitamin e blackmores.