Mungkinkah selalu kebas (Paresthesia) kaki petanda kepada penyakit lain?

Anonymous
Salam, doktor. Saya berumur 62 tahun dan bekerja sebagai pengurus syarikat di sebuah bank, sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. Saya ingin bertanya mengenai kebas kaki. Sejak kebelakangan ini, saya sering mengalami kebas di bahagian kedua-dua belah kaki. Kebas tersebut akan datang secara beransur-ansur dan saya cuba untuk mengurut kedua-dua kaki termasuklah jari kaki dan menyapu minyak angin untuk mengurangkan kebas tersebut. Kebas tersebut turut disertai dengan sakit yang mencucuk dan kadang-kadang kesemutan dirasai di bahagian tapak kaki. Kedua-dua belah tangan saya turut mengalami rasa kebas tetapi ia jarang berlaku.
Kebas ini membuatkan saya berasa tidak selesa untuk berjalan kaki dan membuat kerja yang lain serta membuatkan saya terasa seperti tidak seimbang tetapi saya berasa lega kerana ia tidak berterusan sepanjang hari. Untuk pengetahuan doktor, saya merupakan penghidap penyakit kencing manis sejak 10 tahun yang lalu. Saya sentiasa mengambil ubat kencing manis setiap hari dan cuba kurangkan makanan yang mempunyai paras gula yang tinggi.
Pada pendapat doktor, adakah gejala kebas kaki yang saya alami ada kaitan dengan penyakit kencing manis atau disebabkan oleh penyebab yang lain dan perlukah saya ke hospital untuk mendapatkan nasihat doktor?
Anonymous
Salam, doktor. Saya berumur 62 tahun dan bekerja sebagai pengurus syarikat di sebuah bank, sudah berkahwin dan memp... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan butiran yang anda beri, kemungkinan besar rasa kebas kaki yang anda alami adalah salah satu komplikasi yang kebiasaannya terjadi dalam kalangan penghidap penyakit kencing manis dan ia boleh melibatkan anggota tangan dan kaki termasuklah jari-jari. Ia juga boleh disebabkan oleh punca yang lain. Saya menyarankan anda untuk menjaga pemakanan dengan baik dan sentiasalah memeriksa paras gula dalam darah untuk mengelakkan pelbagai komplikasi kencing manis yang lain dan anda juga boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat berkaitan dengan kebas ini.

Kebas dan kesemutan adalah rasa seperti tajam, kadang-kala rasa pedih dan panas yang boleh terjadi di mana-mana anggota tubuh badan. Kebanyakan orang akan menyedari ia berlaku di tapak tangan, jari-jemari tangan dan kaki, dan tapak kaki. Banyak penyebab yang boleh menyebabkan anda rasa kebas, termasuklah duduk dengan kaki anda bersilang atau tertidur di lengan anda.

Sekiranya kebas dan kesemutan berterusan dan tidak ada sebab yang jelas bagi kebas tersebut, ia mungkin merupakan gejala penyakit atau kecederaan, seperti ‘multiple sclerosis’ atau sindrom ‘carpal tunnel’. Rawatan akan bergantung terhadap penyakit yang anda alami.Istilah perubatan untuk kebas dan kesemutan adalah ‘paresthesia’.

Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan butiran yang anda beri, kemungkinan besar rasa kebas kaki yang anda a... See More

APAKAH PENYEBAB KEBAS KAKI

Penyebab yang mengakibatkan rasa kebas kaki adalah:

1) Neuropati Diabetes

Ia adalah sekumpulan gangguan saraf yang disebabkan oleh kerosakan saraf akibat diabetes. Neuropati ini boleh menjejaskan mana-mana bahagian badan, termasuklah kaki dan tapak kaki. Kira-kira 60 hingga 70 peratus pesakit yang menghidap kencing manis mengalami beberapa bentuk neuropati.

Kebas atau kesemutan di kaki adalah gejala pertama bagi kebanyakan pesakit dengan kerosakan saraf daripada diabetes. Ini dipanggil neuropati periferal. Kebas ini selalunya akan lebih teruk pada waktu malam.

Simptom-simptom lain dari neuropati periferal ini termasuklah:

  • Sakit tajam atau kekejangan di kawasan yang terlibat

  • Kepekaan melampau terhadap sentuhan

  • Kehilangan keseimbangan

Lama kelamaan, lepuhan dan luka boleh terbentuk di tapak kaki apabila kecederaan tidak disedari disebabkan oleh kebas. Ini boleh membawa kepada jangkitan, dan digabungkan dengan peredaran darah yang lemah, boleh menyebabkan amputasi. Kebanyakan amputasi ini boleh dicegah jika jangkitan disedari lebih awal.


2) Tarsal Tunnel Syndrome

Sindrom terowong Tarsal adalah mampatan saraf tibialis posterior, yang terletak di sepanjang bahagian dalam tumit. Ini dapat menghasilkan gejala yang meluas dari pergelangan kaki ke kaki, termasuklah kesemutan dan kebas di mana saja di tapak kaki. Ia adalah versi kaki bagi ‘carpal tunnel’.

Simptom-simptom yang lain bagi penyakit ini termasuklah:

  • Sakit, iaitu sakit tiba-tiba, menembak

  • Rasa yang sama seperti kejutan elektrik

  • Rasa terbakar

Gejala biasanya dirasai di bahagian dalam pergelangan kaki dan di sepanjang bahagian bawah kaki. Gejala ini mungkin datang secara sporadis atau tiba-tiba . Mencari rawatan awal adalah penting. Sindrom Terowong Tarsal boleh menyebabkan kerosakan saraf kekal jika tidak dirawat untuk jangka masa yang lama.


3) Penyakit Arteri Periferal

Penyakit arteri periferal (PAD) adalah suatu keadaan di mana plak terbina di arteri. Lama kelamaan, plak ini boleh mengeras, menyempitkan arteri dan mengehadkan bekalan darah dan oksigen ke bahagian tubuh badan. PAD boleh menjejaskan kaki, yang mengakibatkan kebas pada kedua-dua belah kaki dan tapak kaki. Ia juga boleh meningkatkan risiko jangkitan di kawasan tersebut. Sekiranya PAD cukup teruk, ia boleh menyebabkan ‘gangrene’ dan amputasi kaki.

Kerana PAD meningkatkan risiko penyakit jantung, serangan jantung, dan strok, anda harus segera berjumpa doktor anda jika mengalami gejala berikut:

  • sakit kaki apabila anda berjalan atau naik tangga

  • kesejukan pada kaki atau tapak kaki

  • luka pada jari atau tapak kaki yang tidak akan sembuh

  • perubahan terhadap warna kaki

  • kehilangan bulu kaki, pertumbuhan bulu kaki yang lebih perlahan

  • kehilangan atau perlahannya pertumbuhan kuku jari kaki

  • kulit berkilat pada kaki

  • tiada nadi atau nadi lemah di kaki

Jika anda merokok atau mempunyai penyakit jantung, kolesterol tinggi, atau tekanan darah tinggi, risiko PAD anda akan lebih tinggi.


4) Tekanan Pada Saraf

Terlalu banyak tekanan pada saraf boleh mengakibatkan rasa kebas atau kesemutan seperti dicucuk jarum. Pelbagai sebab yang berbeza boleh mengakibatkan terlalu banyak tekanan pada saraf, termasuklah:

  • Otot tegang

  • Kasut yang terlalu ketat

  • Kecederaan tapak kaki atau pergelangan kaki

  • Duduk di atas kaki untuk jangka masa yang lama

  • Cakera tulang belakang tergelincir atau ‘herniated’ atau masalah tulang belakang yang memerangkap saraf dan memberi tekanan terhadapnya.

Dalam kebanyakan kes, tekanan pada saraf boleh dirawat, dan dalam kebanyakan kes juga, kerosakan saraf tidak akan kekal.


5) Sebab-sebab Lain:

i) ‘Fibromyalgia’

Ia adalah gangguan yang menyebabkan kesakitan otot yang meluas, keletihan, gangguan tidur, masalah ingatan, dan masalah mood. Ia dipercayai berlaku apabila otak menguatkan isyarat bagi rasa sakit. Gejala cenderung untuk berlaku selepas kejadian tertentu seperti pembedahan, trauma fizikal, trauma psikologi atau tekanan emosi, dan jangkitan. Wanita lebih cenderung untuk mendapat ‘fibromyalgia’ berbanding daripada lelaki.

ii) Multiple Sclerosis (MS)

Ia adalah gangguan autoimun yang memberi kesan terhadap sistem saraft. Ia disebabkan oleh kerosakan terhadap sarung myelin. MS adalah keadaan kronik yang berlanjutan dari masa ke masa. Tetapi ramai juga pesakit yang akan mengalami penyembuhan kemudian gejala itu akan datang semula

Tanda-tanda MS termasuklah:

  • kejang otot

  • kehilangan keseimbangan

  • pening

  • keletihan

Kebas dan kesemutan adalah gejala yang biasa terjadi bagi penyakit MS. Ini biasanya merupakan gejala pertama yang membawa pesakit berjumpa dengan doktor untuk diagnosis. Kebas ini mungkin ringan, atau cukup teruk untuk menyebabkan kesukaran untuk berdiri atau berjalan. Dalam MS, kes-kes kebas dan kesemutan cenderung untuk sembuh tanpa rawatan.

iii) Strok

Strok merupakan masalah kesihatan yang berlaku apabila bekalan darah ke otak terganggu. Bahagian otak tersebut yang tidak menerima bekalan oksigen yang mencukupi akan menyebabkan merosakkan sel-sel saraf otak dan mengakibatkan bahagian badan yang dikuasai oleh bahagian terlibat tidak akan berfungsi. Strok merupakan kecemasan perubatan.

Tanda-tanda strok termasuklah:

  • Kebas atau lemah secara tiba-tiba pada muka, lengan, ataupun kaki terutamanya jika hanya pada sebelah bahagian badan sahaja.

  • Tiba-tiba sukar menelan hilang kesedaran, pengsan atau keliru secara tiba-tiba.

  • Kurang daya ingatan.

  • Sukar bercakap atau memahami percakapan.

  • Hilang penglihatan sebelah atau kedua-dua belah mata.

  • Hilang keseimbangan atau koordinasi ketika berjalan

  • Kelopak mata tertutup dan otot-otot mata menjadi lemah

APAKAH GEJALA KEBAS KAKI

Kebanyakan gejala berkaitan dengan kebas kaki akan disertai dengan gejala yang lain bergantung kepada penyebab kebas kaki tersebut seperti yang telah dibincangkan di atas.

APAKAH RAWATAN KEBAS KAKI

Kebiasaannya doktor akan menasihati mengenai rawatan terbaik untuk melegakan kebas kaki anda. Terdapat juga perkara yang boleh anda lakukan di rumah untuk mengurangkan gejala kebas kaki termasuklah:

  • Rehat: Sekiranya kecederaan telah menyebabkan kebas atau sakit, merehatkan kaki anda dapat membantu badan anda sembuh tanpa menyebabkan kerosakan yang lebih teruk
  • Ais: Untuk beberapa keadaan yang lain, seperti sindrom terowong tarsal atau kecederaan, meletakkan ais di kawasan yang terjejas boleh mengurangkan kebas-kebas dan kesakitan. Jangan tinggalkan pek ais lebih daripada dua puluh minit pada satu masa dan pastikan terdapat lapisan antara ais dan kulit seperti kain.
  • Haba: Bagi sesetengah orang, meletakkan mampatan haba/tuaman suam di kawasan kebas boleh meningkatkan bekalan darah dan pada masa yang sama melegakan otot. Ini termasuklah haba kering dari pad pemanasan atau haba lembap dari tuala yang dikukus atau pek pemanasan lembab. Anda juga boleh mandi mandi dengan air yang suam.
  • Penyokong: Bagi orang yang mengalami tekanan yang terlalu banyak pada saraf, penyokong boleh membantu melegakan tekanan itu, termasuklah kesakitan dan rasa kebas. Kasut penyokong juga boleh membantu.
  • Pemeriksaan: Pastikan anda periksa kaki untuk melihat sebarang luka dan lepuh. Ini adalah penting tanpa mengira punca bagi kaki kebas atau kesemutan. Kebas boleh menghalang anda daripada merasai kecederaan, yang boleh membawa kepada jangkitan yang boleh merebak ke kawasan lain pada tubuh badan.
  • Urut: Mengurut kaki anda akan meningkatkan peredaran darah, serta membantu merangsang saraf dan otot, yang dapat memperbaiki fungsi masing-masing.
  • ‘Footbath’: Merendam kaki anda di dalam cecair garam Epsom boleh membantu melegakan kebas. Ia terdiri daripada magnesium, yang boleh meningkatkan peredaran darah. Magnesium dikatakan boleh membantu merawat rasa kebas dan kesemutan dan berpotensi menghalang kebas ini daripada berulang kembali.

BILAKAH HARUS ANDA JUMPA DOKTOR

  • Sekiranya anda mengalami rasa kebas atau kesemutan yang berlanjutan dan ia kerap kali terjadi dan tidak sembuh di bahagian kaki anda, anda perlu membuat temujanji untuk berjumpa dengan doktor anda. Walaupun kebas sekali-sekala boleh berlaku, rasa kebas dan kesemutan yang berterusan boleh menjadi tanda bagi masalah perubatan yang serius.
  • Lagi cepat diagnosis diketahui, lagi awal rawatan boleh bermula. Dan rawatan awal sering membawa kepada hasil yang positif.
  • Doktor anda mungkin akan menjalankan beberapa ujian selepas bertanya tentang gejala, keadaan dan sejarah penyakit keluarga anda.
Jika terdapat apa-apa kemusykilan, sila rujuk nasihat doktor yang boleh dijumpai di klinik atau hospital. Jika ia bukan kecemasan, anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor di laman web www.doctoroncall.com.my.
Terima kasih.

References