Kehamilan Ketika Wabak COVID-19. Apa Yang Anda Perlu Tahu?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: April 30, 2020

Soalan:
Salam Sejahtera doktor. Saya wanita hamil 27 minggu anak pertama. Saya risau tentang wabak COVID-19 yang berleluasa ini. Saya lebih risaukan kandungan saya. Pernah saya terbaca tentang risiko jangkitan virus ini kepada wanita hamil. Namun, kebanyakannya tidak memberi penjelasan yang boleh saya fahami. Apakah langkah yang perlu saya ambil sebagai wanita hamil dan dalam erti kata yang mudah, apakah perkara penting yang perlu saya ketahui. Harap doktor beri penjelasan kepada saya. Terima Kasih doktor.
Jawapan:
Terima Kasih kerana mengajukan soalan kepada DoctorOnCall. Saya faham kebimbangan anda tentang risiko jangkitan virus ini kepada kandungan anda. Kebimbangan ini adalah perkara yang normal lebih-lebih lagi kandungan ini adalah anak pertama. Untuk makluman anda, walaupun masih sedikit kajian tentang isu ini, konklusi pada masa ini ialah risiko jangkitan wanita hamil adalah sama seperti masyarakat lain. Wanita hamil masih perlu kerap mencuci tangan, memakai topeng muka jika sakit dan sebagainya seperti masyarakat lain. Jangan risau, saya akan beri pencerahan lanjut tentang perkara yang wanita hamil perlu tahu ketika wabak COVID-19.

Anda sedang hamil dan risau tentang wabak COVID-19 yang sedang berleluasa ini? Anda mula resah, gelisah dan tidak tidur malam kerana memikirkan risiko virus ini kepada kandungan anda? Anda terdengar khabar angin tentang risiko keguguran akibat virus ini? Jangan terburu-buru dalam mempercayai khabar angin tanpa soal selidik. Baca lebih lanjut untuk mengetahui tentang fakta kehamilan ketika wabak COVID-19. Apa yang anda perlu tahu dan laksanakan? Sememangnya ibu hamil amat mengambil titik berat tentang kandungan mereka apatah lagi naluri seorang ibu yang risau akan keadaan semasa yang amat getir ini. Namun, tahukah anda, kehamilan tidak meningkatkan risiko jangkitan virus COVID-19 yang teruk. Selain itu, wanita hamil juga tidak mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menjangkiti virus ini. Buat masa ini, kajian mendapati warga emas yang mempunyai masalah kronik lebih berisiko tinggi dijangkiti virus ini dan mengalami gejala yang merisaukan. Tiada sebarang bukti kukuh yang boleh membuktikan bahawa jangkitan virus ini boleh menyebabkan risiko keguguran dan kecacatan semenjak dari kandungan lagi. 

Walaubagaimanapun, hal ini tidak bermaksud bahawa wanita hamil mempunyai imuniti untuk tidak dijangkiti virus ini. Jika tidak menjaga kebersihan yang ditetapkan seperti kurang mencuci tangan dan membersihkan permukaan objek, wanita hamil masih terdapat risiko untuk dijangkiti virus. Maka, kekalkan kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan menggunakan sabun dan air jika ada. Elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut tanpa mencuci tangan. Gunakan penutup mulut dan hidung sekiranya anda tidak sihat. Jika tiada penutup mulut, sekurang-kurangnya gunakan tisu untuk menutup mulut apabila bersin dan batuk. Langkah-langkah ini bukanlah perkara yang asing lagi kerana pihak kementerian kesihatan telah berusaha untuk meningkatkan kesedaran tentang hal ini dalam media massa.

Jangan abaikan saranan kerajaan untuk mengamalkan penjarakan sosial. Jarakkan sekurang-kurangnya 1 hingga 2 meter dan elakkan sebarang kontak dengan pesakit COVID-19 atau individu yang mempunyai simptom. Namun, jika anda merasakan anda telahpun mempunyai kontak dengan golongan yang berisiko tinggi, maklumkan kepada doktor anda melalui telefon. Dapatkan rawatan dengan segera dan bersesuaian dengan pandangan doktor anda. Lebih-lebih lagi jika anda mengalami sebarang gejala, jangan berlengah dan dapatkan saringan serta jalani ujian penilaian risiko. Kebanyakan wanita hamil tidak akan mengalami sebarang gejala. Hanya sebilangan kecil yang akan menunjukkan simptom ringan termasuklah demam atau batuk. 

Sebagai ibu hamil, anda harus menepati tarikh temujanji anda dengan doktor yang kerap anda kunjungi. Namun, sekiranya anda tidak sihat dan mengesyaki bahawa anda mempunyai kontak dengan pesakit COVID-19, anda harus menjadi pesakit yang bertanggungjawab dengan memaklumkan kepada doktor sebelum hadir untuk temu janji tersebut. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana ia berupaya untuk memutuskan rantaian penularan virus dan anda juga tidak menyebarkan virus tersebut kepada pekerja kesihatan yang lain.

Oleh itu, jelas dinyatakan disini wanita hamil harus mematuhi langkah tersebut bagi mengurangkan risiko jangkitan virus COVID-19. 

  • Kekalkan kebersihan diri dengan mencuci tangan dengan air dan sabun
  • Gunakan penutup mulut dan hidung jika sakit
  • Amalkan penjarakan sosial
  • Patuhi pemeriksaan ketika hamil dan maklumkan kepada doktor jika anda berisiko

Anda tidak perlu risau jika anda mengamalkan langkah-langkah diatas seperti yang ditetapkan dalam garis panduan COVID-19. Bersama kita mencegah penularan virus COVID-19! 

Use the online Rubiks Cube solver if you want to see your scrambled puzzle solved again! Set the scrambled colors and the program will tell you the steps needed for the solution.

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >