Ketahui Bagaimana Coronavirus Menyerang Dan Menyebabkan Maut- DoctorOnCall

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: April 22, 2020

Soalan:
Salam sejahtera doktor. Sebelum saya mengajukan soalan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua frontliner atas jasa dan pengorbanan anda semua dalam memerangi wabak ini. Semoga anda semua sentiasa dilindungi seperti mana anda melindungi kami, rakyat Malaysia. Berbalik kepada soalan saya. Saya mengikuti perkembangan wabak ini dari semasa ke semasa. Saya perasan bahawa gejala yang dialami oleh setiap pesakit yang disahkan positif adalah berbeza. Mereka diserang dengan virus yang sama tetapi, mengapa kesannya berbeza? Bolehkah doktor terangkan agar saya boleh memahami bagaimana virus ini menyerang tubuh badan manusia dan seterusnya memberi kesan yang berbeza? Terima kasih.
Jawapan:
Terima kasih di atas ucapan anda. Kami sangat menghargai kata-kata semangat dari anda serta rakyat Malaysia. Semoga usaha dan pengorbanan kami tidak disia-siakan oleh anda semua dengan melanggar arahan kawalan pergerakan. Bagi menjawab soalan anda yang pertama, ianya sangat bergantung dengan tahap imuniti seseorang. Memang benar semua pesakit diserang dengan virus yang sama dengan mekanisme yang sama. Akan tetapi, bergantung tahap imuniti seseorang yang dipengaruhi oleh genetik, gaya pemakanan, cara kehidupan dan tahap kesihatan, tidak balas terhadap virus ini dalam bentuk gejala yang dialami adalah berbeza. Untuk menjawab soalan seterusnya, anda boleh membaca artikel di bawah.

Bagi yang belum mengenalinya, COVID-19 merupakan singkatan bagi terma Coronavirus Disease dan nombor 19 pula merujuk kepada tahun 2019 dimana ia pertama kali dijumpai di Wuhan, China.

Pada awal proses jangkitan, individu selalunya terkena cecair yang mengandungi virus, datang dari titisan akibat bersin atau batuk . Ia kemudiannya memasuki saluran pernafasan melalui sentuhan pada rongga hidung, mulut serta mata. Saluran pernafasan bermula dari hidung sehinggalah ke unit yang paling kecil iaitu bronkiole, dimana berlakunya pertukaran oksigen dan karbon dioksida berlaku pada komponen tersebut.

Untuk memahami bagaimana virus ini menjejaskan kesihatan seseorang, mari kita teliti dengan lebih lanjut akan struktur virus ini sendiri. Di permukaan virus COVID-19, terdapat struktur berbentuk seakan-akan paku. Struktur ini membolehkan ia melekat pada reseptor yang terdapat pada sel di permukaan saluran pernafasan. Setelah ia berjaya melekat pada sel tersebut, ia mula mengganggu fisiologi normal sel dan lama-kelamaan sel akan mula rosak.

Ekoran daripada proses tersebut, badan kita akan mula bertindak balas keatas penceroboh kecil iaitu virus ini. Antara contoh tindak balas yang sering berlaku ialah, badan seseorang akan mula meningkatkan suhu badannya bagi merencatkan virus ini. Hal ini kerana, virus memerlukan suhu yang optimum untuk berkerja. Maka, demam dengan suhu lebih daripada 37.5 merupakan antara simptom lazim bagi jangkitan ini.

Selain demam, batuk juga gejala yang lazim berlaku. Hal ini demikian kerana, virus ini mendominasi saluran pernafasan seseorang. Aktiviti batuk ini juga merupakan tindak balas badan dalam menyahkan virus ini daripada saluran pernafasan. Oleh kerana itulah kita acapkali ditegaskan agar mengamalan etika batuk yang betul. Hal ini penting bagi mencegah penularan yang lebih serius kerana virus ini mudah tersebar ketika seseorang itu batuk. Justeru, gunakan tisu atau tutup mulut dengan siku untuk memastikan virus ini tidak sampai pada orang lain dan buang tisu yang digunakan ke dalam tong sampah dengan segera. Jangan biarkan tisu yang dicemari virus ini di merata-rata tempat.

Bagi kebanyakkan orang, batuk serta demam merupakan gejala yang lazim dialami. Jika seseorang memiliki daya tahan imuniti yang baik, virus boleh disingkirkan dengan antibodi yang dihasilkan oleh badan. Namun begitu, 2 daripada 10 kes akan mengalami gejala yang lebih parah. Bagaimanakah perkara ini berlaku?

Seperti yang diterangkan di atas, bronkiole merupakan unit yang paling hujung dalam saluran pernafasan dan ianya sangat kritikal kerana fungsinya dalam menyampaikan oksigen serta menyerap karbon dioksida daripada sel darah merah. Sekiranya virus ini hanya menjangkiti saluran pernafasan di bahagian atas, ia hanya akan menyebabkan gejala ringan seperti batuk, sakit tekak serta demam atau mungkin juga tidak menunjukkan apa-apa gejala. 

Akan tetapi, sekiranya virus ini menjejaskan saluran pernafasan di bahagian bawah iaitu paru-paru termasuklah bronkiole, gejala yang lebih serius seperti sesak nafas akan akan berlaku kepada individu tersebut.

Hasil tindakbalas tubuh terhadap virus akan mengeluarkan pelbagai sel sehingga menyebabkan radang, ini adalah tindak balas biasa. Namun apabila ini berlaku di dalam paru-paru, laluan pernafasan akan mula mengembang dan dipenuhi dengan air. Keadaan ini dipanggil Pneumonia dan ia mengganggu proses pertukaran oksigen dan karbon dioksida dan jika keadaaan ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan acute respiratory distress syndrome (ARDS). Keadaan ini menyebabkan seseorang sukar untuk bernafas dan memerlukan rawatan khas di unit rawatan rapi hospital. 

Seperti yang kita ketahui, sel bergantung kepada oksigen untuk terus hidup. Kesan daripada keadaan ini akan membantutkan saluran oksigen ke dalam seluruh organ dalam badan. Sekiranya masalah ini tidak ditangani, satu per satu organ dalam tubuh badan akan mati dan seterusnya membawa maut. Senario inilah yang sebenarnya mengundang kepada kematian. Maka, sekiranya anda mengalami simptom yang telah dinyatakan dalam penulisan ini, sila berjumpa dengan doktor dengan kadar segera.

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >