Bolehkah makanan rendah kalori (Low Calorie Diet) membantu menurunkan berat badan?

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Jun 22, 2020

Soalan:

Selamat pagi, doktor. Saya seorang suri rumah berusia 35 tahun. Saya sudah berkahwin dan suami saya seorang guru di sekolah berhampiran tempat tinggal saya. Kami dikurniakan 3 orang anak. Mereka masih bersekolah.

Saya mempunyai berat badan yang agak tinggi. Saya berasa sangat malu dan bimbang ini akan menjadi sebuah punca untuk suami saya meninggalkan saya. Saya juga tidak boleh muat ke dalam pakaian lama saya dan terpaksa menjahit pakaian baru. Suami saya tidak berkata apa-apa tetapi saya khuathir dia akan memendam perasaannya di dalam hati. Saya teringin untuk kuruskan badan supaya suami saya akan lebih menyukai saya. Baru-baru ini, saya bertekad untuk menguruskan berat badan dan menyertai gim. Saya melakukan pelbagai senaman untuk menguruskan badan. Ianya sangat efektif tetapi dalam sebulan saya hanya turun dalam 3kg. saya tidak berpuas hati dengan hasil yang didapati kerana saya telah berusaha sedaya upaya semasa di gim namun hasilnya tidak lumayan.

Saya terbaca di internet bahawa cara menguruskan badan dengan cepat ialah dengan senaman serta makanan yang bersesuaian. Makanan yang dimakan haruslah berkalori rendah dan saya selama ini tidak makan makanan yang berkalori rendah langsung kerana saya pakat hentam makan semuanya kerana sangat lapar. Bolehkah doktor menerangkan kepada saya mengenai beberapa makanan rendah kalori?

Jawapan:
Terima kasih puan atas soalan tersebut. Pada pendapat saya,puan telah mengambil langkah yang betul dan wajar iaitu untuk ingin menurunkan berat badan. Syabas dan tahniah di atas keputusan tersebut. Malah langkah untuk pergi ke gim adalah satu tindakan yang bagus. Puan harus kerap melakukan senaman dan cuba menyertai aktiviti yang dijalankan di gim untuk menguruskan badan dengan lebih cepat. Selain itu, ianya memang betul, senaman sahaja memang tidak memadai kerana ianya harus diikuti dengan makanan yang berkhasiat serta berkalori rendah.

Sekiranya puan menukarkan tabiat pemakanan, maka puan akan dapat melihat hasil yang lebih baik dan yang diidamkan. Contoh makanan yang berkalori rendah ialah seperti sayur-sayuran seperti brokoli, tomato, taugeh dan banyak lagi. Sayur-sayur ini akan membantu mengekalkan vitamin dan mineral dalam badan. Selain itu, ‘green tea’ juga mengandungi kalori yang rendah dan puan digalakkan mengambilnya dan berhenti minum teh tarik atau teh o. Terdapat banyak lagi makanan yang berkalori rendah (Low Calorie Diet) yang dapat puan ambil sepanjang proses menguruskan badan ini. 

Contoh 30 Jenis Makanan Rendah Kalori

Kebanyakan masyarakat kita berminat untuk mempunyai tubuh badan yang langsing serta bebas daripada sebarang penyakit. Berikutan cita-cita itu, kita haruslah mengamalkan pemakanan yang sihat serta berkhasiat untuk memastikan impian kita menjadi kenyataan. Selain itu juga, kita harus memastikan kita makan makanan yang betul serta mempunyai kalori yang rendah bagi memastikan berat badan dapat turun dengan cepat serta badan kita akan sentiasa sihat. Kunci utama untuk mencapai matlamat ini ialah dengan mengamalkan makan makanan yang rendah kalori. Makanan yang rendah kalori adalah seperti

1. Brokoli

Brokoli merupakan sejenis sayuran yang sangat baik bagi golongan yang ingin menurunkan berat badan kerana ianya mengandungi kalori yang sangat rendah. Ia sesuai untuk diletakkan dalam sup atau pun boleh dimakan selepas distimkan untuk beberapa minit.

2. Sup

Sup adalah sejenis makanan yang mengenyangkan apabila seseorang itu mahu diet dan menjaga badan dan pada masa yang sama ingin mengambil makanan yang berkalori rendah. Hal ini kerana kita bolehlah meletakkan sayur-sayuran yang berkhasiat ke dalam sup dan mendidihkannya. Ini bukan sahaja makanan yang berkalori rendah malah ia juga merupakan makanan yang dapat menghindari tubuh badan dari penyakit yang tidak diingini.

3. Taugeh

Sayur taugeh ini sememangnya tidak digemari oleh ramai orang. Walau bagaimanapun, sayur ini kaya dengan khasiatnya yang tersendiri seperti kandungan anti-kanser serta kandungan serat yang sangat tinggi. Tambahan pula, taugeh ini memang berkalori rendah dan dapat dijadikan makanan utama bagi golongan yang ingin berdiet.

4. Cendawan

Cendawan merupakan kegemaran ramai orang terutamanya budak kecil. Cendawan ini merupakan makanan yang berkalori rendah jika dimasak dengan betul. Sesetengah orang gemar menggorengkan cendawan ini namun dengan campuran minyak, ia akan menjadi makanan berkalori tinggi. Oleh itu, untuk mengekalkan ciri-ciri makanan berkalori rendah maka cendawan ini haruslah direbus dan makan begitu sahaja atau boleh diletakkan dalam sup dan dimakan. Ianya sangat sedap serta nutriennya dapat dikekalkan.

5. Tomato

Tomato merupakan makanan yang bukan sahaja dapat memastikan tubuh badan kita sihat malah ia juga dapat mengekalkan keserian wajah serta membantu melincinkan dan melembutkan kulit. Tomato juga mengandungi kalori yang rendah serta boleh dimakan begitu sahaja atau dibuat sup.

6. Teh

Kebanyakan kita apabila mendengar perkataan ‘teh’ ini akan menjad sangat gembira kerana terbayangkan ‘teh tarik’ di kedai mamak. Namun demikian, teh yang dimaksudkan di sini ialah ‘green tea’. Teh ini sangat baik bagi mereka yang ingin menguruskan badan. Hal ini kerana teh ini dapat membantu membuangkan toksik dalam badan dan memastikan badan sihat sepanjang masa.

7. Salad

Salad merupakan makanan yang mengandungi campuran beberapa sayuran atau campuran beberapa buah. Ianya merupakan makanan yang berkalori rendah kerana kebanyakan sayur serta buah mengandungi kalori yang rendah.

8. Oats

Oats juga terkandung dalam kategori makanan yang berkalori rendah kerana ia mengandungi kandungan serat yang tinggi dan dapat meningkatkan tahap metabolisma dalam badan.

9. Telur

Telur mengandungi kalori yang rendah kerana kandungan protein sahaja yang tinggi dalamnya. Itulah sebabnya ia menjadi makanan utama ramai atlet.

10. Buah-buahan

Banyak buah-buahan yang dapat dimakan jika ingin menguruskan badan kerana buah-buahan memang mempunyai kalori yang sangat rendah dan dapat menjamin kesihatan badan. Buah-buahan yang dimaksudkan ialah seperti strawberi, epal, oren, nanas, anggur, peach, kiwi, tembikai dan banyak lagi.

11. Roti

Roti yang mengandungi kalori rendah ialah roti jenis ‘wholemeal’. Roti jenis inilah yang harus dimakan oleh golongan yang ingin turunkan berat badan.

12. Kopi

Bukan semua jenis kopi mengandungi kalori yang rendah tetapi kopi yang dimaksudkan di sini ialah kopi O.

13. Udang

Ramai tidak mengetahui bahawa udang jika dimasak dengan cara stim mengandungi kalori yang sangat rendah dan boleh diletakkan di dalam salad atau sup.

14. Lemon

Buah lemon jika diletakkan dalam air dan minum setiap hari dapat membantu menguruskan badan serta membuang toksin dalam badan.

15. Kepah

Makanan laut ini juga jika distim mengandungi kalori yang rendah dan boleh diletakkan bersama salad dan dimakan. Ia bukan sahaja sedap dan menyelerakan malah ia juga berkalori rendah.

16. Ayam

Bukan semua bahagian ayam mengandungi kalori yang rendah tetapi bahagian dada ayam mengandungi kalori paling rendah. Ia bolehlah direbus dan dimakan begitu sahaja untuk mengekalkan khasiatnya.

17. Cereal

Ini merupakan makanan berkalori rendah yang sangat sesuai dimakan pada waktu pagi sebagai sarapan.

18. Nestum

Makanan ini mengandungi tenaga dan serat yang mencukupi untuk memastikan seseorang itu cergas sepanjang hari.

19. ‘Baked beans’

Sejenis kekacang yang berkalori rendah dan mengenyangkan serta dapat membantu menahan lapar.

20. Petai

Ini dapat membantu mencuci saluran air kencing serta meningkatkan tahap metabolisma dalam badan.

21. Ikan

Ikan mengandungi protein yang tinggi dan baik untuk membina otot badan. Kalorinya juga rendah dan dapat membaiki tisu badan.

22. Tauhu

Sangat sesuai bagi golongan yang hanya makan sayuran serta kalorinya sangat rendah.

23. Asparagus

Sejenis sayuran yang mengandungi kalori yang rendah dan sangat lazat apabila dibuat salad bersama telur.

24. ‘brown rice’

Nasi ini mengandungi kalori rendah dan sesuai bagi golongan yang ingin menjaga berat badan mereka.

25. Lobak merah

Kaya dengan vitamin A serta berkalori rendah. Boleh dimakan begitu sahaja atau diletakkan dalam salad atau sup untuk menambahkan kelazatan.

26. Spaghetti

Berkalori rendah jika dibandingkan dengan nasi putih serta mengenyangkan dan boleh digunakan untuk orang yang berdiet.

27. Sandwic

Sandwic telur atau sandwic tuna sangat sesuai untuk golongan yang berdiet kerana sangat mengenyangkan. Ia juga mengandungi kalori yang rendah dan dapat membantu golongan yang berdiet.

28. Piza

Piza yang mengandungi sayuran sahaja sememangnya mempunyai kandungan kalori yang sangat rendah dan dapat membantu menguruskan badan.

29. Almond

Kekacang ini sangat bagus untuk memori serta gemar digunakan oleh pihak yang bertekad menguruskan badan kerana kalorinya yang rendah.

30.Kismis

Dengan mengamalkan pemakanan kismis setiap hari ia akan membantu memori kita serta ia juga boleh dicampurkan dengan makanan lain dan dimakan kerana mengandungi kalori yang rendah.

Kesimpulannya, makanan yang banyak dikategorikan dalam golongan makanan berkalori rendah ialah sayur-sayuran serta buah-buahan maka makanan jenis itulah yang harus diperbanyakkan dalam pemakanan seharian untuk menguruskan badan serta menjamin kesihatan yang bebas daripada penyakit.

Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my


Rujukan

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >