Stress boleh terbahagi kepada beberapa klasifikasi bergantung kepada cara pandang seseorang berkenaan dengan fenomena ini. Cara pandang merupakan tindak balas mental seseorang dalam menghadapi stress yang mendatang. Tindak balas ini selalunya berbentuk buah fikiran dan persepsi seseorang terhadap stress tersebut. Kebanyakan stress akan membuatkan seseorang patah semangat dan adakalanya membuatkan seseorang berusaha lebih untuk mengatasi bebanan tersebut. Jenis stress adalah tersebut adalah seperti berikut:
- Eustress. Ia merupakan stress positif yang mana merangsang seseorang untuk menjadi lebih baik. Stress seperti jenis ini selalunya menyebabkan seseorang berasa teruja, memberikan motivasi, selari dengan potensi seseorang dan berlaku dalam jangka masa pendek. Contoh situasi eustress ialah perkahwinan, mula bekerja di tempat baru, menimang cahaya mata, pergi melancong, kenaikan pangkat dalam pekerjaan dan membeli rumah.
- Lawan kata bagi keadaan eustress ialah distress. Ia merujuk kepada jenis stress yang membuatkan seseorang patah semangat dan adakalanya mengundang kepada masalah tertekan. Stress seperti ini selalunya melebihi kemampuan seseorang, menyebabkan seseorang hilang motivasi, mengundang kepada masalah mental mahupun fizikal dan menyebabkan seseorang rasa tidak selesa. Antara contoh situasi yang membawa kepada permasalahan ini ialah, kematian orang tersayang, muflis, penderaan dan perceraian.