Dikemaskini pada: Jun 11, 2020
Selamat pagi doktor. Saya encik A berusia 28 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Dua hari lepas anak saya telah ditahan di hospital kerana menghidapi jangkitan paru-paru. Ada diantara kawan-kawan saya mengesyorkan untuk mengambil cuti MC bagi memudahkan saya menjaga anak di hospital. Mereka sendiri juga pernah membeli MC yang diiklankan oleh sebuah syarikat percetakan. Saya masih kurang jelas tentang hal ini kerana belum pernah berlaku kepada saya.
Apakah sebenarnya maksud MC, dan di dalam kes ini adakah saya layak mendapat MC? Juga, bolehkah saya mengikuti saranan kawan saya? Mohon pandangan doktor dalam hal ini.
Terima kasih atas soalan anda. Maksud MC ialah ‘medical certificate’ atau dalam bahasa Melayu ianya dipanggil sebagai sijil cuti sakit. Sijil ini cuma boleh dikeluarkan oleh doktor yang telah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Council, MMC). Sijil cuti sakit ini boleh diberikan hanya apabila seseorang itu sendiri menghidapi penyakit dan tidak mampu meneruskan apa-apa urusan rasminya seperti pekerjaan sebagai contoh. Setiap slip MC adalah istimewa kerana mempunyai nombor siri yang tersendiri dan tidak boleh digunakan dalam cara yang salah seperti menipu atau mengulang cetak. Hukuman boleh dikenakan kepada mana-mana doktor dan pesakit sekiranya menyalahgunakan sijil ini.
MC atau nama penuhnya ‘medical certificate’, merupakan suatu sijil kenyataan legal yang dikeluarkan oleh doktor yang bertauliah bagi mengesahkan bahawa seseorang itu tidak mampu untuk bekerja ataupun berurusan secara rasmi disebabkan sakit yang sedang dialami. Dalam bahasa Melayu, MC turut dikenali sebagai sijil cuti sakit.
MC yang diperolehi membolehkan seseorang yang sedang menghidapi penyakit bercuti selama beberapa hari daripada pekerjaannya bagi membantu proses penyembuhan berlaku.
Maklumat yang diperlukan dalam MC adalah nama pesakit. Selain itu, tandatangan dan cop daripada doktor dan hospital juga akan ada bagi mengesahkan sijil tersebut. Jumlah hari pelepasan yang diluluskan juga akan ditulis di dalam surat MC.
Buat pengetahuan anda, maklumat tentang penyakit yang dialami adalah rahsia antara doktor dan pesakit dan tidak akan ditulis di atas kertas MC. Sekiranya berlaku situasi dimana maklumat tentang penyakit diperlukan, sebagai contoh, pertanyaan daripada majikan, maklumat rahsia ini boleh didedahkan setelah mendapat keizinan (consent) pesakit.
Di Malaysia, hanya doktor-doktor yang telah sah berdaftar dengan Malaysian Medical Council (MMC) sahaja yang boleh mengeluarkan MC kepada pesakit. Setiap daripada doktor ini mempunyai nombor pengesahan pendaftaran masing-masing iaitu apa yang dipanggil sebagai Annual Practicing Certificate (APC).
Nombor ini juga mempunyai kegunaan kepada pesakit. Mereka boleh memastikan sama ada seseorang doktor tersebut adalah bertauliah atau tidak. Pencarian boleh dilakukan melalui laman sesawang MMC sendiri. Maklumat lengkap mengenai pendaftaran doktor akan diberikan. Sekiranya tidak ditemui, pesakit boleh melaporkannya kepada pihak MMC untuk diambil tindakan lanjut.
Di hospital-hospital kerajaan, doktor berpangkat ‘Medical Officer’ dan keatas seperti doktor pakar dan konsultan boleh mengeluarkan sijil cuti sakit. Doktor pelatih atau ‘House Officer’ pula tidak dibenarkan mengeluarkan MC.
MC boleh diperolehi daripada doktor kerajaan ataupun swasta. Kuota pengeluaran MC adalah berbeza di hospital dan klinik-klinik kerajaan berbanding institusi kesihatan swasta.
Sekiranya terdapat gejala-gejala yang menunjukkan anda sedang menghidapi penyakit serta tidak mampu meneruskan apa-apa urusan, sebagai contohnya pekerjaan pada hari tersebut, MC boleh diperolehi dengan cara berjumpa mana-mana doktor di hospital atau klinik awam dan swasta. Setelah penilaian terhadap tahap kesihatan anda dilakukan, doktor akan mengeluarkan sijil cuti sakit selama beberapa hari bergantung kepada kondisi pesakit tersebut.
Seseorang yang menggunakan MC palsu untuk mendapatkan cuti sakit boleh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Perkara ini bergantung kepada skim insurans masing-masing sama ada perlu atau tidak kepada MC dan seharusnya dibincangkan dengan lanjut bersama pihak insurans yang berkenaan.
Perlu difahami bahawa MC ialah ‘medical certificate’ ataupun sijil cuti sakit. Bermakna sijil ini hanya boleh diberikan kepada mereka yang benar-benar menghidapi penyakit sehingga tidak mampu meneruskan aktiviti dan urusan harian. Ibu bapa yang perlu meninggalkan kerja buat sementara waktu bagi menjaga anak sebaliknya boleh memohon ‘emergency leave’ daripada majikan.
Antara situasi yang membenarkan ibu bapa bercuti bagi menjaga anak yang sedang sakit adalah sekiranya anak tersebut menghidap penyakit berjangkit. Bil pekeliling akan diwartakan oleh pihak kesihatan kerajaan agar ibu bapa berpeluang memberi perhatian kepada anak yang sakit.
Lawati www.doctoroncall.com.my untuk maklumat tentang penyakit-penyakit dan rawatannya.
Soalan berkenaan - pengertian MC, sijil cuti sakit, pekerja cuti sakit
Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my