Jangan Tertipu Dengan Mitos Berkenaan Dengan COVID-19 Ini

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: April 28, 2020

Soalan:
Selamat sejahtera doktor. Harap doktor sihat-sihat sahaja pada musim COVID-19 ni. Doktor, saya ada soalan, adakah benar halia boleh menyembuhkan jangkitan COVID-19. Saya terbaca pasal perkara ni dekat group WhatsApp. Kalau ianya betul, kita dah jumpa jalan penyelesaian lah untuk jangkitan ni kan? Saya juga haritu tonton televisyen dan ada nampak seseorang cakap yang virus tu boleh mati dengan minum air suam. Betul ke doktor? Senang juga kalau banyak cara yang boleh digunakan untuk bunuh virus ni.
Jawapan:
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Untuk maklumat anda, terdapat banyak dakwaan palsu yang tersebar di media sosial, televisyen dan juga melalui mesej-mesej dalam aplikasi telefon bimbit. Memang benar halia mempunyai pelbagai khasiat terutamanya kepada kesihatan sistem pencernaan, tetapi dakwaannya dalam membunuh virus COVID-19 adalah palsu dan tidak benar. Dakwaan minuman air suam mampu membunuh virus tersebut juga adalah tidak benar. Air kosong adalah sangat baik untuk diminum kerana ia mampu memberikan hidrasi kepada tubuh badan dan mampu membantu badan untuk berfungsi dengan lebih baik lebih-lebih lagi ketika badan dijangkiti oleh virus atau kuman. Namun, ianya tidak boleh disalah sangka dan disalah tafsir sehingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Anda boleh baca dengan lebih lanjut tentang mitos lain berkenaan dengan COVID-19 di bawah.

Tatkala dunia digemparkan dengan wabak pandemik COVID-19 yang telah meragut ribuan nyawa manusia di seluruh dunia, pasti ramai yang risau dan bimbang jika mereka juga telah dijangkiti. Kerisauan, kebimbangan serta kecelaruan yang menghantui seluruh pelosok dunia mengundang ketidakstabilan ekonomi, sosial dan juga kesihatan fizikal serta mental pesakit. Ramai yang mula berasa risau dan tidak senang duduk dengan penyakit yang tersebar dengan rakus ini sehingga menyebabkan ada yang mengalami depresi dan juga keresahan. Hal ini secara tidak langsung telah menanamkan pemikiran dan persoalan di kalangan ramai orang tentang penyakit yang merbahaya ini. 

Seperti kebanyakan penyakit lain yang mempunyai pelbagai petua dan mitos yang tidak diketahui akan kesahihannya, COVID-19 juga tidak terlepas daripada mempunyai mitosnya yang tersendiri. Mari kita rungkai satu per satu mitos yang membabitkan penyakit baharu ini.

Ya, ianya adalah lebih kurang sama tetapi bukan kepada bentuk dan jenisnya tetapi kedua-dua virus ini mempunyai persamaan dari segi gejala yang dihadapi pesakit dan juga cara ianya disebarkan. Kedua-dua virus ini boleh mengakibatkan gejala yang melibatkan sistem pernafasan seperti sesak nafas, batuk, selsema dan ianya bergantung kepada individu dan bagaimana tubuh badan mereka bertindak balas terhadap virus tersebut samada mereka mungkin tidak mempunyai apa-apa gejala, mempunyai gejala yang ringan ataupun gejala yang teruk. Kedua-dua virus ini juga tersebar melalui titisan cecair daripada sistem pernafasan dan disebabkan itu, adalah penting kepada mereka yang bergejala untuk memakai topeng muka dan orang ramai untuk mengamalkan amalan kebersihan tangan yang disarankan. Walaubagaimanapun, kedua-dua virus ini mempunyai bentuk yang berbeza. Selain itu vaksin untuk COVID-19 masih belum ditemui. Virus influenza juga lebih cepat tersebar berbanding COVID-19.

Statistik di Malaysia menunjukkan mereka yang berumur 26 ke 30 dan 56 ke 60 tahun adalah golongan umur yang paling tinggi kes positif COVID-19. Daripada statistik ini sahaja kita sudah boleh membuat kesimpulan yang penyakit ini tidak mengenal usia dan tidak memilih latar belakang pesakit. Antara faktor yang menjejaskan golongan umur 26 ke 30 tahun adalah kebanyakan daripada golongan ini adalah mereka yang baru pulang dari luar negara dan ketua keluarga yang keluar rumah untuk membeli barangan dan sebagainya. Namun, harus diingat bahawa mereka yang mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti masalah jantung, kencing manis, penyakit buah pinggang dan sebagainya adalah mereka yang berisiko tinggi untuk mendapatkan komplikasi yang lebih teruk dan disebabkan itu, mereka yang lebih berusia mempunyai statistik kematian yang lebih tinggi.

Walaupun masih tiada ubat yang mampu merawat COVID-19 dan pesakit COVID-19 dirawat secara simptomatik iaitu mengikut gejala, namun terdapat banyak langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil untuk membendung wabak yang melanda dunia ini. Mulakan dengan amalan kerap membasuh tangan menggunakan sabun dan cecair pembasmi kuman. Pastikan anda sentiasa memakai topeng muka jika mempunyai gejala dan patuhi langkah perintah kawalan berkurung yang dikuatkuasakan oleh kerajaan. Walaupun kita masih tidak mampu menghasilkan ubat untuk virus berkenaan, tetapi setidaknya kita mampu untuk membantu meratakan lengkungan graf jumlah pesakit COVID-19 dan diharapkan jumlah pesakit yang sembuh akan semakin meningkat manakala jumlah mereka yang dijangkiti akan semakin menurun.

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >