Apakah itu penyakit beguk (Mumps) dan apakah rawatannya?

Anonymous

Selamat pagi doktor. Saya seorang ibu ingin bertanya mengenai anak lelaki saya, berusia 8 tahun dan sedang bersekolah. Hari ini, dia mengadu kepada saya bahawa rahang di sebelah kanannya terasa sakit. Apabila diamati, saya dapati kedua-dua belah bahagian rahangnya agak bengkak dan berwarna kemerahan walaupun tidak terlalu ketara.


Seminggu sebelum ini, dia pernah mengalami demam yang tidak terlalu kuat. Oleh itu, saya cuma memberinya ubat Panadol kerana menyangka ianya demam biasa. Dia juga pernah mengadu berasa cepat letih dan tidak mahu ke sekolah, selain selera makan yang turut berkurangan. saya melakukan carian di internet, dan merasakan bahawa anak saya sedang menghidapi penyakit beguk. Saya perlukan pendapat doktor.

Anonymous
Selamat pagi doktor. Saya seorang ibu ingin bertanya mengenai anak lelaki saya, berusia 8 tahun dan sedang bersekolah... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Terima kasih atas soalan puan. Berdasarkan gejala yang diceritakan, saya bersetuju bahawa anak puan berkemungkinan besar sedang menghidapi beguk (Mumps), iaitu sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus bergelar ‘Paramyxovirus’. Jangkitan ini menyebabkan keradangan dan sakit pada kelenjar air liur parotid, sehingga menyebabkan pembengkakan berlaku di bahagian rahang wajah. Ujian makmal biasanya tidak diperlukan kerana penyakit ini boleh didiagnos secara klinikal, melainkan doktor mengesyaki penyakit lain. Beguk juga merupakan ‘self-limiting disease’, bermakna ianya sembuh dengan sendiri tanpa memerlukan ubatan. Sekiranya tiada komplikasi, rawatan yang diberikan hanya berupa jaminan berserta nasihat daripada doktor supaya pesakit kekal terhidrat dan terasing dari orang awam.

Terima kasih atas soalan puan. Berdasarkan gejala yang diceritakan, saya bersetuju bahawa anak puan berkemungkinan be... See More

Apakah itu beguk?

Beguk atau nama lainnya ‘mumps’ merupakan sejenis keradangan akut (acute) yang berlaku pada kelenjar air liur bernama parotid yang disebabkan oleh jangkitan virus. Kelenjar parotid ini bersaiz kecil, berpasangan, dan terletak di bahagian atas sudut kiri dan kanan rahang muka. Disebabkan kedudukan ini, sesetengah beguk turut disalah-ertikan sebagai pembengkakan leher sedangkan ia sebenarnya pembengkakan pada kelenjar parotid. Radang kelenjar ini juga turut digelar ‘parotitis’.

Beguk ialah suatu penyakit berjangkit. Di Malaysia, beguk merupakan salah satu penyakit yang perlu dimaklumkan dengan kadar segera kepada pihak kesihatan (notifiable disease) setelah diagnosis disahkan. Ini kerana pihak kesihatan perlu mengambil langkah pencegahan bagi mengawal penyebaran serta mengelakkan penyakit ini daripada menjangkiti orang lain.

Vaksin beguk

Beguk juga merupakan penyakit yang mempunyai vaksin. Sejak kombinasi vaksin MMR (measles, mumps, rubella) mula diberikan beberapa tahun lalu, berlaku penurunan dalam kes-kes beguk terutamanya kanak-kanak. Menghindari pemvaksinan ini boleh mendedahkan mereka kepada beguk.

Apakah penyebab beguk?

Sejenis virus yang dinamakan sebagai ‘Paramyxovirus’ merupakan punca kepada penyakit beguk. Selain daripada kelenjar parotid, virus ini juga boleh menjangkiti organ lain dalam badan manusia seperti hati, pankreas, testis, ovari, sendi, buah pinggang serta lapisan meninges otak. Setiap organ yang dijangkiti akan menghasilkan simptom yang berbeza.

Bagaimanakah beguk berjangkit?

Beguk boleh tersebar melalui cecair yang keluar dari mulut atau hidung seseorang yang telah terjangkit. Contohnya seperti ketika bersin, batuk, ataupun bercakap. Ianya juga boleh terjangkit apabila seseorang yang sihat memegang objek yang telah dicemari dengan air liur atau cecair hidung pesakit beguk. Orang dewasa dan kanak-kanak boleh menghidapi penyakit ini.

Cecair yang mengandungi virus akan masuk ke dalam rongga mulut serta hidung seseorang yang sihat lalu masuk ke dalam darah melalui lapisan-lapisan sel rongga. Dari sinillah virus beguk mampu menjangkiti organ lain. Dan mendatangkan komplikasi.

Bagaimanakah proses jangkitan beguk?

Setelah virus ini memasuki tubuh badan, inkubasi akan bermula dimana jumlah virus ini akan meningkat secara senyap di dalam badan melalui proses yang dinamakan replikasi (replication). Pada waktu ini, simptom yang dipamerkan oleh mereka yang telah terjangkit selalunya tidak spesifik dan jelas sehingga menyukarkan para doktor untuk membuat diagnosis yang tepat. Tempohnya pula boleh berlangsung selama 14 hingga 25 hari.

Mereka yang disahkan beguk perlulah mengelak daripada keluar ke tempat-tempat awam bagi menghalang jangkitan kepada orang lain. Sekiranya ada keperluan untuk berjalan, topeng muka (mask) haruslah dipakai bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Apakah gejala beguk?

Gejala yang dialami oleh pesakit beguk termasuklah:

  • Bengkak pada satu atau dua sisi wajah
  • Sakit dan kemerahan di bahagian rahang
  • Kekeringan mulut
  • Demam
  • Selesema
  • Sakit kepala
  • Keletihan
  • Sakit otot
  • Hilang selera makan

Komplikasi beguk

Disebabkan virus ‘Paramyxovirus’ yang menjadi punca kepada beguk juga boleh menjangkiti organ lain, gejala spesifik yang ditunjukkan adalah berbeza. Penyakit ini juga boleh berlaku pada masa yang sama dengan beguk dan dianggap sebagai komplikasi. Contohnya:

  • Orkitis (keradangan testis)
  • Keradangan meninges (meningitis)
  • Keradangan otak (encephalitis)
  • Keradangan ovari (oophoritis)
  • Keradangan pankreas (pancreatitis)
  • Keradangan sendi (arthritis)

Orkitis (Keradangan Testis)

Keradangan testis atau bahasa perubatannya ‘orchitis’ boleh berlaku beberapa hari selepas jangkitan beguk. Ketidaksuburan selepas jangkitan ini sembuh jarang berlaku. Simptom orkitis yang perlu diketahui ialah:

  • Sakit kuat di bahagian testis
  • Pembengkakan skrotum
  • Sakit kepala
  • Menggigil

Keradangan Meninges dan Otak (Meningitis and Encephalitis)

Virus beguk juga sekiranya menjangkiti bahagian meninges dan otak mampu menjejaskan sistem saraf pesakit. Tanda-tandanya termasuklah:

  • Sakit di belakang leher
  • Otot leher tegang
  • Sakit kepala ketika tunduk

Apakah penyakit-penyakit lain yang boleh menyerupai beguk?

  1. Radang parotid disebabkan virus atau bakteria lain
  2. Batu karang kelenjar air liur (Parotid calculus)
  3. Ketumbuhan pada kelenjar parotid
  4. Keradangan nod limfa di bahagian leher (cervical lymphadenitis)
  5. Keradangan mastoid
  6. Sindrom Sjögren

Apakah ujian diagnostik bagi penyakit beguk?

Disebabkan beguk boleh didiagnos secara klinikal, bermakna ujian makmal tidak sering dilakukan melainkan doktor mengesyaki punca kepada pembengkakan kelenjar parotid adalah berbeza. Sekiranya perlu kepada ujian laboratori, sampel air liur pesakit yang disyaki menghidap beguk akan diambil dan disaring di dalam makmal. Jumlah antibodi virus beguk yang dikesan akan membantu para doktor bagi membuat diagnosis.

References