Kenapa saya rasa sakit leher (Neck Pain) dan bagaimana mengatasinya?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Jun 9, 2020

Soalan:

Selamat pagi, doktor. Saya seorang lelaki berusia 42 tahun. Saya bekerja sebagai seorang akauntan di sebuah syarikat swasta. Saya sudah berkahwin dan isteri saya berusia 40 tahun. Kami mempunyai 3 orang anak yang masih sedang menuntut pelajaran di sekolah menengah. Baru-baru ini kami baru sahaja pindah ke rumah baru. Jadi, perabot yang dibelikan semuanya perabot baru termasuk juga katil, tilam dan bantal yang digunakan.

Setelah tidur atas katil baru tersebut, saya mendapati saya mula mempunyai masalah sakit leher. Pada mulanya, saya ingat ianya akan hilang dengan sendiri tetapi saban hari semakin sakit dan ianya sangat menjengkelkan kerana saya tidak dapat tumpukan perhatian kepada kerja saya. Saya telah menggunakan minyak angin dan meminta bantuan isteri saya untuk mengurut bahagian leher saya yang sakit itu tetapi usaha tersebut tidak membuahkan hasil kerana saya masih berasa sakit. Sebelum ini, semasa di rumah lama saya, saya tidak pernah mengalami masalah ini. Ini merupakan kali pertama saya mengalami masalah seperti ini.

Bolehkah doktor memberitahu saya kenapa saya mendapat sakit leher seperti ini? Apakah rawatan yang boleh diambil untuk mengatatsi masalah ini daripada mendatangkan sakit yang lebih teruk? Saya berharap doktor sudi menjawab soalan saya ini supaya saya dapat menyelesaikan masalah ini.

Jawapan:

Terima kasih encik atas soalan tersebut.

Apakah punca sakit leher?

Sakit leher merupakan suatu gejala umum yang kerap dialami oleh masyarakat kita.Sakit leher boleh terjadi dengan sendirinya atau terjadi berikutan masalah kesihatan lain.

Terdapat beberapa punca berlakunya masalah sakit leher ini.

  • Punca utama berlakunya masalah sakit leher adalah posisi tidur yang salah atau kerap disebut sebagai silap tidur. Hal ini kerana apabila kita tidur dalam posisi yang salah untuk berjam lamanya dan apabila kita bangun, leher kita boleh menjadi kejang. Ini kerana kekejangan pada otot leher adalah disebabkan oleh postur tidur yang salah.
  • Selain itu, kita juga akan menghadapi masalah sakit leher akibat kecederaan pada leher. Hal ini selalunya terjadi kepada atlit. Kecederaan pada leher berkemungkinan melibatkan saraf lalu menyebabkan rasa sakit yang melampau serta menyebabkan leher menjadi kaku dan tidak boleh digerakkan.
  • Di samping itu, kecederaan pada leher juga boleh diakibatkan oleh kemalangan jalan raya. Hal ini kerana apabila kepala terhantuk kuat, otot, saraf, urat dan struktur lain yang terdapat pada leher akan cedera lalu menyebabkan berlakunya masalah sakit leher.
  • Sakit leher juga boleh terjadi kepada mereka dengan postur badan yang salah. Hal ini kerana mereka sering kali berjalan atau duduk dengan postur badan yang salah. Golongan ini lebih suka tunduk sedikit apabila berjalan. Ini lama kelamaan akan menyebabkan masalah sakit leher kerana otot dan saraf perlu bekerja keras untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
  • Seterusnya, masalah sakit leher boleh terjadi apabila berlaku degenerasi pada disk di bahagian leher. Ini merupakan suatu keadaan yang sering menghantui golongan dewasa dan selalunya menjadi punca utama mereka mendapat sakit leher. Isu ini berlaku apabila air tulang belakang pada bahagian leher berkurang atau kering sehingga mengakibatkan disk bergesel lalu menyebabkan sakit leher.
  • Selain itu, masalah sakit leher juga boleh berpunca dari penyakit meningitis. Meningitis merupakan suatu keadaan di mana terdapat jangkitan bakteria atau virus pada bahagian meninges dalam otak. Individu yang terlibat akan mengalami demam, sakit leher atau leher menjadi kaku serta sensitif terhadap cahaya.

Apakah gejala sakit leher?

Terdapat banyak gejala lain yang berkaitan dengan masalah sakit leher ini. Antaranya adalah:

  • Pening kepala
  • Sakit kepala
  • Otot menjadi kaku sehingga tidak boleh gerakkan leher ke sebelah kiri atau sebelah kanan
  • Sakit merebak ke tangan
  • Terasa kebas pada bahagian tangan
  • Muntah atau loya

Apakah rawatan sakit leher?

Rawatan sakit leher bergantung kepada tahap kesakitan. Hal ini kerana jika sakit leher ringan sahaja, maka bolehlah dirawat di rumah. Terdapat beberapa tips yang boleh diamalkan sekiranya anda mengalami sakit leher yang ringan.

  • Tips pertama adalah tuam otot leher. Ini akan membantu melegakan serta meredakan sakit tersebut. Kaedah ini sebaiknya diamalkan dengan kerap sehingga sakit tersebut hilang.
  • Selain itu, sakit leher juga boleh dirawat dengan ubat tahan sakit.
  • Di samping itu, sakit leher juga dapat ditangani dengan mengamalkan posisi tidur yang betul. Ini bukan sahaja bergantung kepada posisi tidur malah turut bergantung kepada bantal yang digunakan. Hal ini kerana penggunaan bantal yang empuk akan memastikan leher kita tidak tercedera. Selain itu, posisi tidur yang betul juga akan memastikan kita tidak menghadapi masalah kekejangan otot pada leher yang membawa kepada masalah sakit leher.
  • Sehubungan dengan itu, sekiranya sakit leher tersebut disebabkan oleh jangkitan kuman, maka anda dinasihatkan agar berjumpa doktor.

Kesimpulannya, seseorang individu disarankan untuk segera mendapatkan rawatan dan jika dibiarkan begitu sahaja ianya akan melarat. Anda juga boleh mendapatkan nasihat darpada doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my


Rujukan

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >