Bolehkah doktor terangkan apa bacaan gula normal (Normal Glucose Reading) dan bagaimana memeriksa parasnya?

  • Thu, Apr 26 2018 | 4.80/5 (246 Reviews)
  • Kesihatan Umum
Soalan Berkenaan - kadar gula darah normal, petua kencing manis, tanda gula tinggi dalam badan, tanda kurang gula dalam badan

Soalan:

Baca Soalan Sembunyi
Salam,doktor. Saya berumur 27 tahun dan saya ingin bertanyakan mengenai perihal kesihatan ayah saya. Ayah saya berumur 52 tahun,merupakan pesara polis dan dia merupakan penghidap kencing manis baru diberi diagnosis beberapa bulan yang lalu. Dia dikenalpasti menghidapi diabetes selepas mengadu yang dia kerap kencing,kerap dahaga dan selalu lapar. Selain daripada itu, dia turut mengalami kekurangan berat badan. Menurut ayah saya, dia memang mengambil ubat kencing manis setiap hari dan juga memeriksa paras gula dalam darah setiap 2 minggu. Selain daripada itu, dia juga mempunyai diari diabetes untuk merekod paras glukosa dalam darah.

Ayah saya selalunya menjalani rawatan lanjutan di Klinik Kesihatan yang berhampiran rumah. Baru-baru ini, ayah saya merasakan bacaan bagi paras gula dalam darah kerap berubah-ubah dan saya mula berasa risau. Saya ada bertanyakan kepada ayah sama ada dia mahu berjumpa dengan doktor tapi menurutnya keadaan itu adalah biasa. Jadi, saya ingin bertanyakan sesuatu kepada doktor. Bagaimanakah cara untuk mengetahui bacaan gula normal untuk penghidap kencing manis dan adakah mengalami bacaan yang sentiasa berubah-ubah adalah sesuatu yang serius dan perlukah saya berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dengan lebih terperinci mengenai status kesihatan ayah saya?

Jawapan:

Dr Sri Viknarajan

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan penerangan anda, bacaan paras gula dalam darah boleh berubah-ubah dan ia juga bergantung kepada pemakanan, pengambilan ubat dan aktiviti harian. Ia adalah sesuatu yang tidak terlalu serius. Bacaan gula normal (normal glucose readings) dalam darah untuk penghidap kencing manis ketika puasa atau tidak makan mengikut garis panduan di Malaysia ialah antara 4.4 hingga 7.0 mmol/L manakala jika bacaan diambil secara rawak secara normalnya ialah 4.4-8.5 mmol/L. Anda juga boleh membawa ayah untuk berjumpa dengan doktor untuk membincangkan lebih lanjut mengenai rawatan yang terbaik untuknya.

Apakah kepentingan mencapai bacaan gula normal

  1. Gula darah yang tinggi boleh merosakkan lapisan saluran darah dan tahap gula dalam darah yang sentiasa tinggi secara berterusan juga boleh menyebabkan beberapa penyakit degeneratif. Manakala kadar gula darah yang rendah boleh mencetuskan pembebasan hormon stres kortisol. Atas sebab-sebab ini, otak kita diprogramkan untuk mengekalkan gula dalam darah dalam keadaan yang normal.
  2. Sebaik sahaja gula darah melepasi paras normal,otak akan mengisytiharkan "kecemasan" dan hormon insulin berfungsi untuk mengeluarkan gula darah yang berlebihan daripada saluran darah.
  3. Pada mulanya, insulin akan menyimpan gula atau glukosa tersebut di dalam otot dan hati di mana ia disimpan sebagai glikogen. Malangnya, keupayaan penyimpanan otot dan hati adalah terhad, jadi sebaik sahaja sudah penuh, insulin mula mengangkut gula yang berlebihan ke dalam sel-sel lemak. Ini seperti pesta besar untuk sel-sel lemak. Mereka gembira dapat mengambil semua gula yang berlebihanyang diberikan kepada mereka dan mula berkembang.
  4. Di samping dihantar kepada sel lemak, gula darah yang tinggi juga boleh menyebabkan gula darah untuk menurun.
  5. Seperti yang dinyatakan di atas, badan menghasilkan insulin untuk membersihkan gula darah yang berlebihan daripada saluran. Jadi,apabila gula darah sudah tinggi, kita akan mendapat banyak insulin dalam darah dan ini dapat mendorong gula darah berada di paras normal.
  6. Apabila gula darah kita jatuh di bawah julat normal, otak kita mengisytiharkan satu lagi "kecemasan".
  7. Otak berfungsi dengan pertolongan glukosa jadi apabila gula darah rendah, otak menganggapnya sedang mengalami kelaparan. Ia mengeluarkan hormon stres yang dipanggil kortisol/”cortisol”. Hormon ini akan memaksa anda untuk mencari makanan untuk memberi makan kepada otak anda.
  8. Kortisol adalah sebab anda mungkin berasa marah, letih, pitam atau lapar yang tidak terkawal serta menginginkan karbohidrat glisemik yang tinggi. Kortisol juga merupakan hormon penyimpan lemak kerana ia membantu penghasilan glukosa dan meningkatkan paras gula darah apabila bacaan terlalu rendah.

Bagaimana untuk baca paras gula dalam darah?

Tahap glukosa darah yang disyorkan mempunyai tahap tafsiran untuk setiap individu dan anda harus membincangkannya dengan doktor masing-masing. Memahami julat tahap glukosa darah adalah sesuatu yang penting untuk rawatan kencing manis.Pemeriksaan ini akan memberitahu tahap glukosa darah pada satu-satu masa. Jika seseorang yang mengalami diabetes mempunyai meter, jalur ujian dan bersedia untuk diuji, adalah penting untuk mengetahui apakah maksud tahap glukosa darah tersebut dan cara-cara untuk melakukan ujian untuk memeriksa gula dalam darah ialah:
  1. Selepas mencuci tangan, masukkan jalur ujian ke dalam meter anda.
  2. Gunakan ‘lancing device’ / alat pencucuk di sisi hujung jari anda untuk mendapatkan setitik darah.
  3. Sentuh dan tahan tepi jalur ujian untuk mendapatkan setitik darah, dan tunggu hasilnya.
  4. Tahap glukosa darah anda akan muncul di paparan meter.
  5. Nota: Semua meter sedikit berbeza, jadi rujuklah manual pengguna anda untuk arahan khusus.
  6. Apabila selesai pemeriksaan glukosa darah di rumah, tuliskan keputusannya dan semak kembali untuk melihat bagaimana makanan, aktiviti dan tekanan mempengaruhi glukosa darah anda. 
  7. Lihatlah rekod glukosa darah anda dengan betul-betul untuk melihat sama ada paras anda terlalu tinggi atau terlalu rendah untuk beberapa hari berturut-turut pada masa yang sama. 
  8. Jika perkara yang sama terus berlaku, mungkin masa untuk mengubah pelan rawatan anda. Berjumpalah dengan doktor atau pendidik diabetes anda untuk membantu mengawal paras gula dalam darah dengan baik.

Apakah bacaan gula normal mengikut panduan CPG di Malaysia

Berdasarkan garis panduan CPG di Malaysia, untuk pesakit kencing manis, bacaan normal bagi paras gula dalam darah ketika puasa ialah 4.4-7.0 mmol/L, manakala bacaan normal bagi paras gula dalam darah selepas makan ialah 4.4-8.5 mmol/L.

Apakah risiko jika bacaan gula dalam darah tinggi atau rendah

Ramai orang yang menghidap diabetes tidak merasakan apa-apa gejala tertentu, melainkan apabila mereka mengalami ‘hyperglycemia’ (paras glukosa terlalu tinggi) atau ‘hypoglycemia’ (tahap glukosa terlalu rendah).

Kategori bacaan gula

A) Hypergylycaemia/bacaan gula terlalu tinggi
‘Hyperglycemia’ boleh menyebabkan kerosakan tehadap beberapa organ, yang kemudiannya membawa kepada komplikasi diabetes. Ini termasuklah:
  • masalah jantung atau vaskular, seperti serangan jantung atau strok;
  • masalah buah pinggang yang memerlukan dialisis;
  • masalah mata, yang boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan (buta);
  • isu seksual, seperti disfungsi erektil/’erectile dysfunction’
  • masalah dengan pengaliran darah, yang boleh menyebabkan amputasi.
B) Hypoglycaemia/bacaan gula terlau rendah
Hipoglisemia/’Hypoglycaemia” atau gula darah rendah boleh menyebabkan gejala yang berbeza untuk semua orang yang menghidap kencing manis. Anda akan terbiasa dengan gejala bagi keadaan ini jika anda selalu mengalaminya, walaupun gejala anda mungkin akan berubah dari semasa ke semasa.
Tanda-tanda awal gula darah rendah termasuklah:
  • berasa lapar
  • berpeluh
  • bibir kesemutan
  • berasa goyah atau menggigil
  • pening
  • berasa penat
  • denyutan jantung yang cepat atau berdebar-debar
  • menjadi mudah marah, menangis atau murung
  • menjadi pucat
C) Sekiranya hypoglycaemia tidak dirawat
  • lemah badan
  • penglihatan kabur
  • kesukaran menumpukan perhatian
  • kekeliruan
  • tingkah laku yang pelik, percakapan yang tidak jelas atau cemerkap (seperti mabuk)
  • rasa mengantuk
  • sawan
  • pengsan
Jika terdapat apa-apa kemusykilan, sila rujuk nasihat doktor yang boleh dijumpai di klinik atau hospital. Jika ia bukan kecemasan, anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor di laman web www.doctoroncall.com.my. Terima kasih.

Tentang DOC

Jawapan perubatan di atas ditulis oleh Dr Sri Viknarajan. Ia diedit, dikemas kini dan diselenggarakan oleh Syarikat DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@doctoroncall.com.my. Baca tentang syarikat DoctorOnCall kami di sini.

Promosi Ubat
Setinggi 50%

Jangan lepaskan peluang anda untuk promosi hebat kami! Langgani servis kami untuk maklumat lanjut.

Promosi Terkini

10 doktor sedia membantu anda...