Bagaimana langkah terbaik untuk mengatasi penyakit arthritis (Osteoarthritis)?

Anonymous

Selamat pagi, doktor. Saya seorang lelaki berumur 55 tahun yang merupakan bekas jurulatih bola jaring. Sejak setahun yang lalu, saya telah mengalami rasa sakit pada lutut kanan saya walaupun tidak pernah mengalami kecederaan di bahagian tersebut. Rasa sakit ini paling teruk pada waktu malam, sehingga terpaksa makan ubat tahan sakit. Saya ingin bersenam untuk menjaga berat badan kerana doktor saya mengatakan bahawa punca kesakitan saya ini disebabkan saya berkeadaan obes, tetapi kesukaran untuk bersenam saya juga disebabkan oleh masalah lutut ini.


Rasa sakit ini telah bertambah teruk dalam beberapa bulan ini sehingga susah untuk saya memanjat tangga di rumah. Isteri saya terasa amat bimbang kerana dia berasa saya sudah terlebih makan ubat tahan sakit. Apakah sebab saya mengalami sakit sendi lutut ini doktor? Mungkin berpunca daripada arthritis dan jika ya, apa itu arthritis?Bolehkah doktor terangkan tentang cara merawat sakit sendi ini? Terima kasih.

Anonymous
Selamat pagi, doktor. Saya seorang lelaki berumur 55 tahun yang merupakan bekas jurulatih bola jaring. Sejak setahun ... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Terima kasih atas soalan anda. Pada pendapat saya, berdasarkan gejala yang digambarkan encik mungkin mengalami masalah osteoarthritis. Namun demikian, saya tidak boleh memberi suatu diagnosis tanpa menjalankan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh. Hai ini adalah kerana terdapat beberapa jenis penyakit sakit sendi atau arthritis.

Saya ingin menasihatkan encik supaya berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan segara. Doktor akan memeriksa lutut yang terbabit serta menjalankan ujian seperti X-ray untuk mengenal pasti punca sakit lutut. Sekiranya sakit lutut ini menganggu aktiviti seharian encik bermakna masalah ini sudah agak serius.

Saya juga bersetuju dengan pendapat isteri encik. Ubat tahan sakit tidak boleh dimakan dalam kuantiti yang banyak kerana mungkin mengakibatkan kesan sampingan seperti gastrik atau ulser perut (bergantung kepada jenis ubat) Oleh itu, encik disarankan berjumpa dengan doktor bagi mengelakkan kesihatan semakin merosot.

Terima kasih atas soalan anda. Pada pendapat saya, berdasarkan gejala yang digambarkan encik mungkin mengalami <stron... See More

Apakah itu arthritis?

Arthritis adalah kesakitan, bengkak, kemerahan atau kekejangan sendi. Arthritis ini boleh disebabkan oleh pelbagai jenis penyakit yang mempunyai gejala yang hampir sama.

Arthritis yang sering dialami dalam kalangan orang dewasa adalah:

  1. Osteoarthritis. Osteoarthritis merupakan penyakit yang paling lazim dalam kalangan warga tua.
  2. Rheumatoid arthritis. Penyakit ini pula lebih kerap dihidapi oleh kaum wanita dalam nisbah 3:1 dan serangan boleh bermula pada bila-bila masa, terutamanya dalam lingkungan umur 35 tahun hingga 45 tahun.
  3. Arthritis yang disebabkan oleh jangkitan kuman (“septic arthritis”). Arthritis ini disebabkan oleh kuman dan biasanya melibatkan sebelah sendi sahaja.
  4. Gout. Gout pula lebih kerap menyerang kaum lelaki di pertengahan umur.

Apakah penyebab arthritis?

Punca arthritis terpulang kepada jenis arthritis yang dialami. Osteoarthritis biasanya disebabkan oleh penggunaan sendi yang terlalu kerap. Lapisan rawan pada hujung tulang dalam sendi menjadi semakin nipis sehingga hujung tulang selalu bergeseran semasa pergerakan sendi sekali gus mengakibatkan rasa sakit sendi. Sakit sendi osteoarthritis ini biasanya menjadi lebih teruk apabila melakukan pergerakan berulang kali dan pada penghujung hari. Faktor-faktor risiko untuk menghidapi osteoarthritis adalah:

  1. Usia meningkat, terutamanya 50 tahun ke atas.
  2. Pernah cedera pada sendi, contohnya terseliuh atau patah tulang
  3. Obesiti. Berat badan yang berlebihan menambah beban pada sendi.
  4. Pekerjaan atau aktiviti fizikal yang lasak, contohnya pekerja buruh
  5. Jika ada ahli keluarga yang juga menghidap arthritis

Rheumatoid arthritis pula adalah satu penyakit autoimmune yang menyebabkan radang sendi. Penghidap penyakit ini mempunyai sistem imun yang tidak normal di mana badan sendiri akan menghasilkan antibodi terhadap tisu sendi. Biasanya, kekejangan ini berlaku pada waktu pagi dan mengambil masa lebih daripada 30 minit untuk reda.

Manakala, arthritis jangkitan kuman pula disebabkan oleh jangkitan bakteria yang memasuki sendi melalui luka terbuka ataupun jangkitan darah. Penghidap penyakit ini akan mengalami sakit yang amat teruk berserta demam sehingga menggigil.

Gout pula disebabkan oleh kandungan asid urik yang terlalu tinggi dalam badan. Asid urik ini akan terkumpul di sendi-sendi dan mengakibatkan rasa sakit walaupun disentuh. Gout sering menyerang pangkal ibu jari kaki para lelaki yang mempunyai tabiat memakan daging merah dan mengambil alkohol.

Apakah gejala arthritis?

Arthritis biasanya melibatkan sendi-sendi seperti lutut, punggung, tulang belakang di bahagian bawah, serta pergelangan tangan dan jari. Arthritis boleh terjadi pada lebih dari satu sendi atau melibatkan kedua-dua belah sendi yang sama pada satu waktu. Berikut merupakan gejala-gejala arthritis:

  • Sakit sendi
  • Sendi bengkak
  • Kekejangan sendi
  • Susah untuk mula bergerak
  • Sakit apabila bergerak
  • Perubahan kepada rupa sendi
  • Kekuatan sendi berkurangan
  • Lutut berbunyi bagi penyakit osteoarthritis lutut
  • Otot betis menjadi kecil bagi penyakit osteoarthritis lutut
  • Sakit apabila sekeliling sendi ditekan

Apakah rawatan arthritis?

Arthritis ini boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan, fisioterapi serta pembedahan. Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk melindungi sendi dan mengurangkan gejala sakit adalah seperti:

  • Mengurangkan berat badan untuk mengurangkan tekanan pada sendi.
  • Melakukan senaman sendi yang sesuai, contohnya berenang dan senaman untuk menguatkan otot.
  • Mengelakkan aktiviti yang menambahkan tekanan pada sendi seperti aktiviti lasak
  • Menjaga postur badan
  • Penggunaan kasut yang boleh menyerap daya apabila berjalan.
  • Untuk osteoarthritis lutut, elakkan bercangkung dan duduk secara pasif terlalu lama supaya dapat membantu pergerakan yang lancar.
  • Penggunaan alat pembantu seperti tongkat untuk mengurangkan tekanan pada lutut.
  • Untuk gout, elakkan makan makanan yang mengandungi purin yang tinggi seperti makanan laut ataupun daging merah.

Untuk merawat penyakit arthritis, ubat yang boleh digunakan adalah:

  1. Ubat sapu “salicylate”
  2. Ubat tahan sakit seperti paracetamol
  3. Ubat anti-radang seperti ibuprofen untuk meredakan sakit. Namun demikian, perlu berhati-hati kerana ubat ini mungkin boleh mengakibatkan kesan sampingan.
  4. Ubat steroid untuk dimakan atau disuntik pada sendi yang sakit.
  5. Ubat pengubah penyakit (“disease-modifying anti-rheumatic drugs”) digunakan oleh penghidap penyakit rheumatoid arthritis untuk mengelakkan kecacatan sendi.
  6. Ubat untuk menurunkan asid urik untuk penghidap gout contohnya allopurinol

Bagi mereka yang mengalami simptom yang amat teruk sehingga menjejaskan kehidupan seharian dan tidak dapat dikawal menggunakan rawatan konservatif, pembedahan juga boleh dilakukan. Biasanya, pembedahan ini bertujuan untuk menggantikan sendi lutut atau pinggang yang rosak (“total knee replacement” atau “total hip replacement”) dengan sendi yang diperbuat daripada besi atau logam kobalt. Biasanya, selepas pembedahan rasa sakit ini akan hilang serta-merta.

Saya berharap saya dapat menjawab soalan encik. Sekiranya encik mempunyai sebarang pertanyaan yang lanjut, sila layari laman web kami diwww.doctoroncall.com.my. Terima kasih.

References