5 Cara Untuk Memastikan Kesihatan Mental Anda Sepanjang PKP- DoctorOnCall

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Julai 24, 2020

Soalan:
Salam sejahtera doktor. Sekarang sudah hampir sebulan kita dibawah kawalan pergerakan. Pada mulanya saya sangat positif mengenai perintah kawalan ini tetapi, masuk minggu ini saya mulai bosan dan stress. Apabila saya harus keluar untuk mendapatkan barangan dapur, saya menjadi sangat takut kerana saya banyak membaca cerita orang dijangkiti virus ini di luar kemudian membawa balik ke rumah dan menjangkiti ibu bapa mereka yang tua kerana sekarang saya tinggal dengan ibu bapa saya. Selain itu, saya ada kawan yang sentiasa menelefon saya kerana dia tertekan di rumah. Dia jenis yang sering keluar dan berhibur untuk mengurangkan serta melupakan tekanan. Sekarang saya risau dengan keadaan dia. Boleh doktor memberi sedikit nasihat untuk masalah saya dan kawan saya?
Jawapan:
Salam sejahtera. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kerana anda berjaya mengikut arahan kawalan pergerakan. Saya memahami ianya sangat sukar untuk tinggal di rumah sahaja buat tempoh masa yang panjang, namun pengorbanan harus dilakukan untuk memerangi wabak ini. Oleh kerana kita tersekat di rumah, saya amat menyarankan untuk anda mempunyai jadual makan yang ketat dan bersenam secara konsisten di rumah. Hal ini kerana, ramai yang terkecundang dan menjalani gaya hidup tidak sihat di rumah. Badan yang sihat sangat penting untuk minda yang sihat. Oleh kerana saya yakin ramai yang mengalami masalah seperti anda dan kawan anda, jadi saya membuat penulisan secara am yang boleh anda baca di bawah. Semoga ia sedikit sebanyak membantu anda.

Isu wabak coronavirus ini memaksa kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan yang bertujuan untuk mengelak dari penularan coronavirus demi kesejahteraan kita. Namun ia dalam diam boleh memberi impak pada kesihatan mental kita. Tidak dinafikan bahawa terlalu banyak masa yang terpaksa diluangkan bilik yang kecil di rumah boleh memberi ruang kepada masalah minda seperti stress dan sebagainya. Mungkin bukan terhadap semua individu tetapi sebilangan seperti mana jangkitan coronavirus ini hanya memberi kesan yang serius kepada beberapa golongan tertentu. 

Oleh itu, penulisan kali ini adalah mengenai cara untuk mengisi masa lapang dan memenuhi minda anda agar sentiasa dalam keadaan yang sihat.

1. Manfaatkan Internet Sebaik Mungkin

Sentiasa mengikuti maklumat terkini mengenai situasi sekarang terutamanya coronavirus adalah sangat penting. Namun begitu terlalu banyak informasi hanya akan menyebabkan kebimbangan yang melampau. Selain itu, golongan muda terlalu banyak menghabiskan masa dalam alam maya yang penuh dengan kepura-puraan dan tertipu bahawa itulah kehidupan yang sepatutnya. Hal ini boleh menyalakan lagi masalah kesihatan minda. Oleh itu, manfaatkan internet dan media sosial. Hadkan masa dengan memperuntukkan hanya 30 minit sehari untuk diluangkan di alam maya boleh membantu kesihatan minda mengikut satu kajian. Selain itu, pastikan sumber berita yang dibaca adalah sahih. Tanamkan sedikit rasa curiga apabila anda membaca berita yang disebarkan di internet.

2. Bergaul Dengan Ahli Keluarga Dan Kawan-Kawan

Maksud bergaul di sini tidak semestinya keluar dan berjumpa dengan mereka.Cukup dengan satu panggilan telefon kepada kawan lama anda untuk bertanya khabar, panggilan video kepada ibu bapa untuk melihat aktiviti mereka di rumah ketika kuarantin ini atau ‘google meeting’ untuk lepak dengan kawan-kawan. Berkemungkinan dengan panggilan anda, ia boleh membantu meringankan masalah mereka. Selain itu, ambil kesempatan ini untuk melihat bagaimana anak anda di sekolah sementara mereka melakukan pengajaran atas talian dan bantu mereka dalam masa terluang anda. Bukan itu sahaja, masa ini juga boleh dimanfaatkan untuk berbual panjang bersama pasangan anda untuk mengenali mereka lebih lagi.

3. Bina tabiat yang baik atau belajar strategi baru

Anda ada bercita-cita untuk bersenam setiap hari, mengamalkan diet yang sihat, membaca buku secara konsisten atau janji lain yang sentiasa anda azamkan setiap awal tahun? Namun masa sentiasa menjadi kekangan. Ini masanya! Untuk membentuk dan membiasakan seseorang kepada tabiat baru memerlukan masa dan komitmen yang tidak berbelah bagi. Walaupun secara purata 66 hari diperlukan sebelum tabiat boleh menjadi kebiasaan, namun dengan sedikit masa sekarang ia boleh dilaburkan sebagai permulaan. Anda hanya perlukan azam yang kuat. Selain itu, anda boleh belajar strategi tertentu bagi mengatasi masalah yang anda sering hadapi. Sebagai contoh strategi untuk mengawal marah, mengurangkan anxiety atau kebimbangan atau mengurus tekanan anda. Pertimbangkan reaksi serta tindak balas kebiasaan anda terhadap stimulus yang menyebabkan masalah anda. Kemudian cari jalan atau cara yang lebih baik untuk mengatasinya ketika anda tidak menghadapi stimulus tersebut. Seperti membina tabit, ia memerlukan masa dan juga latihan. 

4. Lakukan kebaikan 

Disaat genting ini, banyak individu yang menghadapi kesukaran. Beri jika anda ada banyak atau kongsi sekiranya anda ada sedikit. Hulurkanlah bantuan kepada mereka yang memerlukan dan sebarkanlah kebaikan. Ada banyak cara seperti menyumbang kepada NGO yang boleh dipercayai, membeli barang dari peruncit kecil di kawasan rumah, mendengar masalah kawan anda, bertanya khabar jiran anda, memberi makan kepada haiwan liar atau jangan membeli roti lebih dari yang anda akan makan. Tinggalkan sedikit untuk orang lain selepas anda.

5. Bernafas untuk menenangkan diri

Bukan hanya bernafas secara refleks seperti selalu. Tetapi bernafas di bawah kawalan. Pastikan suasana diam dan tenang. Kawal pernafasan anda melalui hidung sedalam-dalamnya. Pastikan perut anda naik ketika bernafas dan kemudiannya hembus melalui mulut. Ulang untuk beberapa minit atau sehingga anda dapat rasakan badan anda mula rileks. Ini boleh membantu untuk melepaskan ketegangan fizikal dan minda disebabkan oleh situasi sekarang ini.

Rujukan



Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Penghantaran Ubat Ekspres

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tebus baucar RM15 di e-farmasi