Anak Anda Sukar Dikawal? Berkemungkinan Anak Anda Mengalami Penyakit ADHD

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Jun 1, 2020

Soalan:
Salam sejahtera doktor. Saya wanita berumur 22 tahun dan sekarang mengandung anak yang pertama. Saya mempunyai sepupu yang disahkan oleh doktor mengalami masalah ADHD. Dapat saya lihat kesusahan dan kepayahan mak cik dan pak cik saya dalam menjaga dia sehinggakan mak cik saya terpaksa berhenti bekerja untuk menjaga dan mengasuh anaknya di rumah. Jadi, saya ingin mengetahui punca untuk penyakit ini agar saya dapat menghindarinya dari awal. Terima kasih doktor.
Jawapan:
Salam sejahtera, puan. Terima kasih di atas soalan yang diajukan. Pertama sekali tahniah di atas kandungan anda. Semoga segalanya berjalan dengan lancar. Tidak dapat disangkal lagi bahawa menjaga anak yang mengalami masalah ADHD (attention deficit hyperactive disorder) ini adalah sangat mencabar. Lebih-lebih lagi kerana masalah ini tidak akan hilang dan berterusan sehingga individu tersebut meningkat dewasa. Selain itu, untuk persoalan anda, sejujurnya punca ADHD belum dikenal pasti lagi. Akan tetapi,terdapat teori berlaku ketidakseimbangan neurotransmitter di dalam otak dan ianya berkait rapat dengan faktor genetik dan persekitaran yang menjadi punca ADHD. Sekiranya anda ingin mengetahui maklumat lain berkaitan dengan penyakit ini, anda boleh membaca penulisan artikel di bawah.

ADHD (attention deficit hyperactivity disorder) adalah gangguan jangka panjang yang disebabkan perbezaan dalam perkembangan otak dan aktiviti otak. Ianya dimanifestasikan dengan perilaku impulsif, hiperaktif, dan sukar untuk menumpukan perhatian dalam jangka masa yang panjang. Masalah ini boleh mempengaruhi prestasi kanak-kanak tersebut di sekolah, tingkah laku serta dalam hubungan.

Terdapat 3 jenis ADHD, iaitu:

  • Hiperaktif-impulsif: individu tersebut mengalami masalah hiperaktif-impulsif yang lebih dominan
  • Inattentive: individu tersebut mengalami masalah untuk fokus yang lebih dominan
  • Kombinasi hiperaktif-impulsif dan inattentive: kedua-dua dominan boleh diperhatikan dalam individu tersebut.

1. Sukar untuk fokus 

Mudah terganggu, pelupa, mengabaikan orang lain, tidak mengikuti arahan, tidak dapat menyelesaikan pekerjaan atau tugas di sekolah, kehilangan fokus, mempunyai masalah dengan keteraturan, dan mengelak dari tugas yang memerlukan perhatian panjang.

2. Hiperaktif

Selalu nampak bersemangat, bercakap berlebihan, sukar untuk menunggu giliran, tidak dapat duduk tenang, menghentakkan tangan atau kaki, selalu gelisah, tidak dapat duduk untuk waktu lama, suka berlari atau memanjat di situasi yang tidak sesuai, tidak dapat bermain dengan tenang, sukar untuk bersantai, sering mengganggu orang lain, dan selalu memberi jawapan sebelum habis soalan.

3. Impulsif

Kelakuan yang berisiko tanpa memikirkan akibat dari tindakannya.

Secara umun gejala bagi penyakit ADHD ini muncul sebelum usia 12 tahun dan boleh dikesan seawal 3 tahun lagi. Penyakit ini lebih senang dikesan dan jelas dalam kanak-kanak dan remaja akan tetapi, ianya sukar dikesan dalam orang dewasa. Ia tidak bermaksud penyakit ini menyerang hanya ketika individu tersebut dewasa namun, penyakit ini berlalu tanpa dikesan sejak dari kecil lagi. 

Dalam orang dewasa, hiperaktif berkurang, tetapi individu tersebut masih bergelut dengan masalah impulsif, kegelisahan dan kesukaran memberi perhatian. Selalunya individu dewasa tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalami masalah ADHD namun mereka tahu mereka sering bergelut untuk menyempurnakan tugas seharian. Mereka mungkin sukar untuk memberi tumpuan dan keutamaan, menyebabkan mereka sering tidak dapat meyiapkan tugasan dalam tempoh masa yang diberikan atau terlupa temu janji. Mereka juga sukar untuk mengawal emosi seperti sukar untuk menunggu atau menjadi pemandu yang baran di atas jalan. 

Sekiranya anda mengalami salah satu dari gejala yang disenaraikan di atas, ia tidak semestinya tanda bahawa anda mengalami masalah ADHD. Gejala tersebut haruslah dialami sejak kecil lagi dan bukannya sesuatu yang berlaku hanya sekali sekala sahaja. 

Bagi mendapatkan diagnosa ADHD, ia memerlukan bukan hanya satu ujian. Terdapat beberapa langkah yang akan dilakukan. Antaranya: 

  • Pengumpulan maklumat mengenai sebarang masalah perubatan semasa, sejarah perubatan peribadi dan keluarga, dan sejarah gejala anda dan rekod sekolah.
  • Melakukan sesi soalan serta soal selidik dengan individu yang mengenali rapat pesakit tersebut seperti ahli keluarga, guru, penjaga.
  • Pemeriksaan fizikal dan psikologi oleh doktor pakar bagi menolak keberangkalian penyakit lain bagi gejala yang dihadapi oleh pesakit
  • Skala penilaian ADHD atau ujian psikologi untuk membantu mengumpulkan dan menilai maklumat mengenai gejala

Oleh itu, sekiranya anak atau sesiapa sahaja yang ada mengalami gejala yang mungkin merujuk kepada ADHD, amat disarankan untuk anda membawa individu tersebut berjumpa dengan doktor kerana pemeriksaan terperinci harus dilakukan sebelum kesimpulan dapat dilakukan. 

Penyakit ini tidak ada penawarnya namun untuk terdapat rawatan untuk membantu menguruskan banyak gejala ADHD agar pesakit boleh menjalani hidup dengan normal. Gabungan rawatan yang melibatkan ubat, pendidikan, latihan kemahiran dan kaunseling psikologi merupakan rawatan yang standard untuk penyakit ini dan yang paling berkesan. Setiap individu mungkin mempunyai gabungan dan cara rawatan yang berbeza dan setiapnya memerlukan sedikit masa untuk menentukan perkara yang paling sesuai.

Ubat-ubatan

  • Stimulan- seperti methylphenidate atau amphetamine. Ubat ini berfungsi dalam meningkatkan dan menyeimbangkan tahap bahan kimia (neurotransmitter) otak 
  • Ubat-ubatan lain- bukan stimulan seperti atomoxetine dan antidepresi tertentu seperti bupropion. Kesan ubat ini adalah lebih lambat berbanding stimulan, tetapi pilihan yang lebih selamat sekiranya seseorang tidak boleh mengambil ubat stimulan disebabkan masalah kesihatan atau sekiranya ubat stimulan menyebabkan kesan sampingan yang teruk.

Kaunseling psikologi

Ianya merangkumi psikoterapi, memahami penyakit yang dihadapi, dan kemahiran belajar untuk membantu individu tersebut berjaya.

Jenis psikoterapi biasa untuk ADHD termasuk 

  • Terapi tingkah laku kognitif (CBT)- kaunseling berstruktur ini mengajar kemahiran khusus untuk mengurus tingkah laku anda dan mengubah corak pemikiran negatif menjadi positif. Ini dapat membantu dalam menangani cabaran hidup, seperti masalah sekolah, pekerjaan atau hubungan, dan membantu mengatasi keadaan kesihatan mental yang lain, seperti kemurungan atau penyalahgunaan bahan.
  • Kaunseling perkahwinan dan terapi keluarga- bertujuan untuk membantu individu yang hidup bersama pesakit ADHD bagi mengatasi tekanan hidup dan bagi individu dengan ADHD belajar apa yang boleh mereka lakukan untuk membantu. Kaunseling seperti itu dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dan menyelesaikan masalah

Pengurusan Mengenai Hubungan

  • Orang dewasa dengan ADHD sering lupa janji temu, tidak menyiapkan kerja dalam tempoh masa yang diberikan dan membuat keputusan secara impulsif atau tidak rasional. Masalah sebegini merencatkan fungsi seseorang individu sebagai seorang pekerja, kawan atau pasangan.
  • Terapi ini memberi tumpuan kepada isu-isu ini dan cara untuk menambah baik tingkah laku anda. Begitu juga kelas untuk meningkatkan komunikasi dan mengembangkan penyelesaian konflik dan kemahiran menyelesaikan masalah. Terapi pasangan dan kelas di mana ahli keluarga memahami dan belajar lebih lanjut mengenai ADHD dapat menambah baik hubungan antara pesakit dan orang sekeliling. 

Kedua-dua penyakit ini berkongsi gejala sukar untuk fokus, impulsif dan menghadapi masalah dalam berkomunikasi. Ianya seakan sama namun, kedua-dua penyakit ini adalah perkara yang berbeza. ADHD mempengaruhi ketumbuhan dan perkembangan otak manakala autism berkaitan dengan masalah perkembangan yang mempengaruhi kemampuan berbahasa, perilaku, kebolehan bersosial, dan kemampuan belajar 

Aspek fokus

  • ADHD sukar untuk melakukan aktiviti yang memerlukan fokus yang tinggi seperti membaca buku. 
  • Autisme sukar untuk fokus dengan aktiviti yang tidak diminati. Namun, mereka boleh memberi perhatian dengan baik pada aktiviti yang mereka sukai 

Aspek interaksi dan komunikasi

  • ADHD kebiasaannya bercakap tanpa henti dan sering mengganggu saat orang lain sedang bercakap. Mereka juga suka menjadi seseorang yang dominan dalam perbincangan. 
  • Autisme sering mengalami kesulitan meluahkan fikiran dan perasaan mereka. memasukkan kata-kata ke dalam fikiran dan perasaan.Mereka juga sering mengelak melakukan kontak mata.

Aspek rutin

  • ADHD tidak suka melakukan rutin yang sama setiap hari atau melakukan sesuatu aktiviti dalam waktu lama
  • Autisme terikat dengan rutin harian yang sama dan tidak suka sekiranya rutin mereka diganggu atau berubah. 

Rujukan

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >