Penyakit Kutil Kelamin Dikemaluan, Adakah Perlu Saya Berasa Risau?

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Ogos 11, 2020

Soalan:
Salam doktor. Nama saya Katelin, berusia 33 tahun dan saya mempunyai soalan berkenaan masalah pada kemaluan saya. Sejak seminggu lepas, saya perasan terdapat seperti ketulan daging tumbuh dalam miss V saya. Ketulan daging ini juga kemudiannya tumbuh dibibir kemaluan saya dalam tempoh seminggu ini. Saya menjangkakan bahawa ini adalah kutil kelamin. Saiz bintikan kelamin ini didalam dan diluar kemaluan saya adalah seperti saiz kacang tanah. Saya ada membaca mengenai penyebab kutil kelamin serta bahaya kutil kelamin ini secara dalam talian (online) dan kaitannya dengan virus HPV, namun saya tidak berapa faham dan menyebabkan saya semakin rungsing. Saya berharap doktor dapat menjelaskan lebih lanjut punca ini serta cara menghilangkan virus HPV dan ketuat kelamin. Sekian.
Jawapan:
Terima kasih kepada soalan saudari. Berdasarkan keterangan saudari mengenai daging tumbuh dalam miss V ataupun vagina saudari, ianya boleh disebabkan oleh pelbagai punca selain daripada kutil (ketuat) kelamin. Kami memahami kerisauan saudari mengenai kondisi serta bahaya kutil kelamin. Antara punca-punca kepada gejala yang anda alami ini boleh disebabkan seperti kutil kelamin, keratosis seborrhoeic, kanser vagina, sista (cyst) Bartholin, polip ataupun lipoma (ketumbuhan sel lemak berlebihan). Untuk mengetahui punca-punca gejala yang anda alami, pemeriksaan lanjut oleh doktor diperlukan agar rawatan yang bersesuaian dan tepat dapat diberikan. Penyebab kutil kelamin serta bahayanya dan cara menghilangkan virus HPV akan dibingcangkan dengan lebih mendalam disegmen diskusi bawah. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan konsultasi lanjut dengan doktor anda bagi menangani permasalahan ini. Sekian.

Kutil kelamin atau juga dikenali sebagai ketuat kelamin (“genital warts”) adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan virus HPV. Jenis kutil kelamin tidak mempunyai banyak perbezaan dari segi fizikalnya mahupun dari segi biologinya.

Seperti yang dinyatakan diatas, penyakit ketuat kemaluan ini adalah disebabkan oleh jangkitan virus HPV iaitu “Human Papilloma Virus”. Virus ini mempunyai lebih daripada 200 jenis dan sebanyak 40 jenis telah dikenalpasti berkait rapat dengan jangkitan secara seksual baik secara kelamin/kemaluan ataupun secara seks oral. 

Apakah HPV berbahaya? Virus HPV mempunyai dua kategori iaitu jenis risiko tinggi dan jenis risiko rendah. Virus HPV dalam kategori risiko tinggi adalah seperti HPV 16 dan 18. HPV 16 dan 18 adalah dua contoh virus HPV yang menyebabkan kanser serviks. Virus HPV kategori tinggi juga dikaitkan dengan kes kanser kepala dan tekak. Manakala virus HPV 6 dan 11 adalah jenis virus yang menyumbang kepada lebih 90% kes bintikan kemaluan. 

Siapakah yang berisiko untuk mendapat ketuat kelamin ini? Terdapat beberapa faktor risiko yang mendedahkan sesetengah golongan kepada jangkitan HPV ini seperti:

  • Tidak menerima vaksin HPV - Vaksin HPV mempunyai formulasi khas untuk mencegah bukan setakat virus HPV yang menyebabkan kanser serviks bahkan juga virus HPV 6 dan 11. Golongan wanita yang tidak menerima vaksin ini adalah berisiko tinggi untuk mendapat bintikan kemaluan. Vaksin ini juga sedang dalam pertimbangan untuk diberikan dalam kalangan lelaki berikutan risiko virus HPV terhadap perkembangan kanser kepala dan tekak dalam kalangan kaum lelaki.
  • Pertahanan sistem imun lemah - Golongan yang mempunyai sistem imun lemah dilihat mempunyai risiko berlipat kali ganda mendapat ketuat kelamin berikutan kegagalan sistem imun melawan virus HPV. Golongan-golongan ini adalah seperti pesakit kencing manis (diabetes), pesakit kanser, penerima ubat steroid dan pesakit HIV/AIDS.
  • Hubungan seksual bebas tanpa perlindungan - Oleh sebab virus HPV 6 dan 11 ini mudah disebarkan melalui hubungan seksual, maka golongan yang kerap melakukan hubungan seksual tanpa perlindungan adalah lebih terdedah kepada risiko ini. 
  • Perokok - Umum mengetahui rokok membahayakan kesihatan. Data kesihatan yang sedia ada juga menunjukkan perokok mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk dijangkiti bintikan kemaluan. Ianya dipercayai kerana kandungan rokok juga menyebabkan sistem pertahan imun menjadi lemah lalu menyebabkan badan mudah dijangkiti virus ini. 

Bintikan pada kelamin boleh mendatangkan keresahan kepada kebanyakkan orang. Maka pentingnya disini untuk mengetahui ciri-ciri atau tanda-tanda yang biasa dialami oleh pesakit bintikan kemaluan seperti:

    • Ketumbuhan “daging” yang bergerutu di kemaluan, di dubur atau dicelah kelangkang. 
    • Warna seperti putih, gelap mahupun kemerahan.
    • Bentuk yang tidak seragam. 
  • Kegatalan disekitar kemaluan dan kawasan ketumbuhan/ketuat.
  • Kesukaran membuang air besar dan air kecil. 

Penyakit bintikan kemaluan ini boleh dikenalpasti melalui pemeriksaan fizikal oleh doktor yang berpengalaman seperti doktor sakit puan. Pada amnya, tiada ujian diperlukan dalam kebanyakkan kes melainkan sekiranya doktor yang memeriksa pesakit berasa risau untuk komplikasi lain seperti kanser. 


Ujian yang boleh dijalankan bagi penyakit ini adalah pengsampelan biopsi. Biopsi adalah kaedah pengambilan sedikit tisu ketuat untuk dianalisa dimakmal bagi tujuan pengecaman jenis sel/tisu tersebut. Biopsi tisu dilakukan bagi mengenalpasti samada ianya adalah kanser atau ketumbuhan lain. Ianya dilakukan sekiranya pesakit tidak sembuh dengan rawatan yang diberikan ataupun mempunyai sistem imun lemah.

Cara mencegah kutil kelamin ini memerlukan pengetahuan mengenai faktor risiko kerana dengan mengambil langkah seperti berhenti merokok, amalkan seks selamat, mengambil suntikan vaksin HPV dan merawat penyakit kronik (diabetes, HIV), maka peluang untuk seseorang mendapat jangkitan penyakit ini adalah sangat rendah. 

Apakah komplikasi kutil kemaluan? Apakah HPV berbahaya? Seperti yang sedia maklum, tidak semua jenis virus HPV boleh menyebabkan kanser serviks dan kanser kepala dan tekak. Namun begitu, masalah ini perlu dirawat segera kerana jika dibiarkan maka rawatan akan menjadi lebih sukar.

Rawatan kutil kelamin ataupun cara menghilangkan virus HPV yang menyebabkan ketuat kelamin boleh dilihat dari perspektif rawatan dirumah, rawatan diklinik dan rawatan gabungan. Rawatan dirumah bermaksud rawatan yang pesakit boleh ambil ubatnya dari farmasi dengan preskripsi doktor. Rawatan diklinik pula bermaksud rawatan yang memerlukan kepakaran doktor untuk membuang ketuat kemaluan. Rawatan gabungan adalah apabila kedua-dua kaedah digunakan. 

  • Rawatan dirumah 
  • Penggunaan krim Imiquimod - Krim Imiquimod adalah sejenis ubat sapuan yang meransang sistem pertahanan badan untuk melawan penyakit ini. Krim ini perlu disapu sebelum tidur untuk dibiarkan selama 6-8 jam bagi kesan yang lebih efektif. Krim ini amat berkesan bagi kebanyakkan kes.
  • Penggunaan krim Podophyllotoxin - Krim ini adalah berlainan sedikit daripada krim Imiquimod dari segi cara ia membasmi virus HPV. Krim Podophyllotoxin berfungsi dengan menghalang tisu ketuat daripada mereplika atau bertambah jumlahnya. Ianya perlu digunakan dengan mengikut arahan yang diberikan oleh sebab kesannya yang tidak menyenangkan seperti ketidakselesaan ketika hubungan seksual. 
  • Sinecatechins - Ini juga adalah sejenis ubat sapuan yang telah lulus ujian klinikal dan dapat membasmi gejala ketuat kelamin dalam 50% kes dalam tempoh 16 minggu.
  1. B) Rawatan diklinik
  • Kryoterapi - Kryoterapi adalah teknik pembuangan ketuat kemaluan menggunakan gas cecair nitrogen yang menyebabkan pembekuan ketulan ketuat lalu menyebabkan kematian dan penanggalan ketuat. 
  • Elektrosurgeri - Ini adalah kaedah penggunaan arus elektrik terkawal untuk membakar ketuat. Pesakit diklinik akan dibius terlebih dahulu bagi mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan ketika menjalani prosedur ini. 
  • Asid Trikoloroasetik (TCA) - TCA adalah bahan kimia yang boleh menyebabkan penggumpalan protein. Ianya sesuai digunakan untuk ketuat bersaiz kecil.
  • Pengasingan melalui pembedahan (“Surgical excision”) - Ini adalah cara menghilangkan ketuat yang selamat dan efektif bagi bintikan yang bersaiz besar. Ia juga memerlukan pesakit dibius terlebih dahulu sebelum prosedur dijalankan.
  • Terapi laser - Terapi laser menggunakan gas karbon dioksida (CO2) yang memanaskan tisu yang dituju sehingga ia mati dan boleh ditanggalkan daripada kulit. Teknik ini juga agak menyakitkan dan pesakit juga akan diberikan bius setempat bagi keselesaan. 

Penyakit kutil kelamin ini adalah kondisi yang memerlukan pemeriksaan segera bagi tujuan rawatan dan pencegahan penyakit berkait jangkitan virus HPV. Oleh itu, ianya amat disarankan untuk mereka yang mempunyai masalah ini berjumpa dengan doktor bagi konsultasi lanjut. 

Rujukan

Konsultasi Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA


Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Anda sedia untuk lawan jangkitan?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahui jika badan anda cukup kuat untuk melawan sebarang jangkitan Mula Ujian Percuma

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Penghantaran Ubat Ekspres

Soalan berkenaan - bahaya kutil kelamin, cara mencegah kutil kelamin, kutil kelamin malaysia, bentuk kutil kelamin, jenis kutil kelamin

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor Percuma 10.10 Health Fest: Baucar RM10!