Apakah sebenarnya yang digeruni oleh keluarga atau pesakit skoliosis? Penyakit ini boleh menyebabkan komplikasi seperti masalah kegagalan fungsi paru-paru, masalah sakit belakang kronik dan kemurungan kerana rupa paras fizikal yang tidak memberansangkan. Komplikasi ini boleh dielakkan dengan rawatan dan diagnosis pada peringkat awal lagi.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, majoriti gejala yang dialami oleh pesakit adalah tidak begitu teruk. Maka, mereka tidak memerlukan rawatan namun hanya perlu dipantau secara klinikal dan menggunakan imbasan X-ray. Jika pesakit memerlukan rawatan, mereka akan dirawat menggunakan cara-cara berikut:
Jika anak anda mengalami masalah skoliosis sederhana dan masih mengalami tumbesaran, doktor akan memilih rawatan ini. Pemakaian pendakap ini tidak menyembuhkan masalah skoliosis yang anak anda hadapi, namun merencatkan keterukan penyakit dengan mengelakkan tulang belakang daripada menjadi semakin melengkung.
Pendakap jenis plastik ialah pendakap yang paling kerap digunakan kerana ia mudah dipakai disekeliling tulang rusuk, tulang belakang dan pinggul serta dibawah ketiak. Jika dipakai dibawah baju, ia tidak kelihatan sama sekali. Keberkesanan rawatan ini bergantung kepada tempoh kekerapan ia digunakan. Maka, lebih lama dan kerap digunakan, kesan penggunaannya lebih bagus. Apabila kanak-kanak sudah mencapai tahap kematangan tumbesaran fizikal, pendakap ini tidak perlu lagi digunakan.
Walaupun jarang, jika doktor dapati perkembangan masalah tulang belakang skoliosis yang anak anda hadapi semakin meneruk, doktor akan menyarankan pembedahan tulang belakang dengan mencantumkan dua bahagian vertebrae agar tulang belakang tidak bergerak dengan sewenang-wenangnya.
Doktor pakar tulang akan memasukkan rod ke dalam tulang belakang dan jika ia berlaku ketika kanak-kanak sedang mengalami tumbesaran yang mendadak, rod tersebut merupakan rod yang boleh diubah ketinggiannya. Ketinggi ini akan diubah setiap 6 bulan.
Antara komplikasi pembedahan ini ialah pendarahan, jangkitan kuman, sakit pada tulang atau saraf dan jika tulang belakang tidak sembuh, kemungkinan besar pembedahan yang sama akan diulang semula.