Sebelum memulakan rawatan, pesakit perlu menjalani beberapa ujian yang membolehkan perawat atau doktor untuk mengetahui punca atau jenis kuman yang mengakibatkan masalah ini. Dengan ini, rawatan yang bakal diterima pesakit akan menjadi lebih spesifik dan efektif. Ujian yang dijalankan merangkumi:
Ujian x-ray paru-paru dijalankan apabila terdapat kriteria klinikal yang menyarankan pnuemonia. Namun, jika fasiliti atau tempat rawatan tidak menyediakan perkhidmatan x-ray, ianya tidak perlu dilakukan. Tambahan lagi, ianya tidak boleh mengenalpasti secara spesifik kuman yang mengakibatkan jangkitan tersebut.
Ujian ini membantu kerana apabila nilai sel darah putih bersama sel polimorfonuklear bertambah, ia mungkin menyarankan jangkitan bakteria. Hal ini membantu dalam memfokuskan punca jangkitan yang menyebabkan bronkopneumonia.
Piawai emas untuk ujian yang tidak invasif bagi pengesanan bronkopneumonia ialah ujian kultur darah. Ujian ini mampu mengesan dengan tepat etiologi bagi penyakit pneumonia. Namun, ujian ini mempunyai daya sensitif yang rendah dan hanya 10% - 30% pesakit pneumonia yang positif terhadap ujian ini. Ujian kultur darah perlu dijalankan terhadap pesakit yang berkeadaan teruk atau apabila pesakit tidak mempunyai tindak balas terhadap antibiotik pertama (first line antibiotic) yang diberikan.
Ujian ini tidak dilakukan secara rutin kerana kuman yang dikenalpasti dari kultur kahak adalah dari rembesan salur pernafasan atasan ’secretions from upper respiratory tract’ dan ianya tidak menggambarkan jangkitan yang berlaku pada bahagian paru-paru. Malah, sampel dari hidung dan tekak sebenarnya tidak mempunyai sebarang nilai ramalan.
‘Bronchoalveolar lavage’ dilakukan dengan cara doktor memasukkan tiub ke dalam tekak dan saluran pernafasan dan mencerat air ke dalam paru-paru. Lalu, sampel diambil untuk ujian lanjut. Ianya diperlukan untuk mendiagnos jangkitan Pneumocystis carini yang selalunya ada pada kanak-kanak yang mempunyai imuniti badan yang lemah. Ianya dilakukan hanya apabila fasiliti dan kepakaran boleh didapati.