Kenali Penyakit Berjangkit Herpes & Ketahui Gejalanya

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Ogos 12, 2020

Soalan:
Salam Sejahtera Doktor. Saya wanita yang mempunyai 2 orang anak. Semalam, anak sulung saya dijangkiti cacar air. Pada mulanya dia demam dan selesema, tidak lama kemudian timbul biji-biji berair di pinggang, punggung, dan leher. Dia juga tidak boleh tidur semalam. Adakah disebabkan biji tersebut gatal dan sakit? Perlukah saya bawanya ke hospital? Anak bongsu saya baru sahaja berusia 2 bulan. Adakah dia berisiko dijangkiti cacar air ini? Saya ada terbaca tentang jangkitan herpes. Tetapi banyak pula artikel berkenaan penyakit kelamin. Apakah kaitan antara herpes jangkitan kelamin dan cacar air yang dijangkiti anak saya. Mohon beri pencerahan ya doktor? Terima Kasih.
Jawapan:
Terima Kasih kerana mengajukan soalan kepada DoctorOnCall. Saya akan berusaha menjawab persoalan yang anda ajukan dan menjelaskan dengan lebih lanjut tentang kaitan jangkitan cacar air yang anak anda hadapi dan jangkitan Herpes yang lain. Cacar air yang turut dikenali sebagai “Chicken Pox” merupakan salah satu jangkitan virus daripada kelompok keluarga Herpes. Secara spesifiknya, ia disebabkan oleh virus Herpes yang dikenali sebagai Varicella Zoster. Sememangnya, ia agak mengelirukan. Namun, saya akan perjelaskan secara terperinci agar tiada lagi kekeliruan yang akan anda dan pembaca lain hadapi.

Manusia sering dijangkiti penyakit yang disebabkan oleh Virus-virus Herpes. Seperti virus lain, virus herpes menyebabkan pelbagai jenis jangkitan yang melibatkan pelbagai organ. Virus Herpes yang dijangkiti manusia adalah termasuk Herpes Simplex jenis 1 dan 2, Varicella Zoster yang menyebabkan cacar air, Cytomegalovirus, Epstein Barr Virus, Herpes Virus Manusia 6,7 dan 8. Walaupun banyak lagi virus herpes yang wujud, namun kesemua virus-virus yang disebut sebelum ini merupakan kelompok virus herpes yang kerap menjejaskan kesihatan manusia. 

Kesemua virus yang telah disebutkan mempunyai struktur rupa yang sama menyebabkan ia diklasifikasikan dibawah kelompok keluarga herpes. Tidak perlu saya jelaskan dengan lebih terperinci tentang struktur tersebut agar tidak menambahkan kekeliruan anda tetapi cukuplah dalam erti kata yang mudah saya katakan hidung, mulut, gigi dan muka yang sama menyebabkan mereka dikenali sebagai saudara rapat antara satu sama lain. 

  • Herpes Simplex Jenis 1 & 2
  • Varicella Zoster
  • Cytomegalovirus
  • Epstein Barr Virus
  • Herpes Virus Manusia 6,7,8

Jadi, siapakah yang mudah dijangkiti virus-virus ini? Apakah penyebab Herpes? Bergantung kepada jenis virus herpes, setiap virus menjangkiti manusia disebabkan beberapa faktor. 

  • Herpes Simplex Jenis 1 & 2

Sistem imun yang lemah akan meningkatkan risiko jangkitan kedua-dua virus ini. Ia boleh disebarkan melalui ciuman, hubungan seksual dan sentuhan pada ulser samada mulut, kemaluan dan sebagainya. Hal ini kerana, virus ini tumbuh dan membiak pada sel kulit kemudiannya masuk ke dalam saraf ganglion. Tidak lama kemudian, ia akan kekal diam dalam badan sehingga sistem imun pesakit menjadi lemah kembali. 

  • Varicella Zoster

Virus ini bertanggungjawab menyebabkan cacar air jika ia dijangkiti pertama kalinya. Setelah sembuh daripada cacar air tersebut, ia akan kekal diam dalam saraf. Jika sistem imun menjadi lemah, ia akan kembali menjangkiti pesakit. Jangkitan yang seterusnya dikenali sebagai kayap. Virus ini sangat mudah untuk berjangkit kepada orang terdekat seperti anak kedua anda.

  • Cytomegalovirus

Virus ini membiak di air liur, buah pinggang dan boleh dijangkiti melalui hubungan intim seperti ciuman. Virus ini juga boleh dijumpai dalam air kencing. Virus ini adalah salah satu virus yang kerap dijangkiti masyarakat dunia. 

  • Epstein Barr Virus

Virus ini membiak di bahagian belakang tekak dan boleh dijangkiti melalui pertukaran air liur seperti ciuman. 

  • Herpes Virus Manusia 6,7,8

Virus ini dikaitkan dengan pesakit yang telah menjalani pemindahan buah pinggang yang mengalami reaksi seperti penolakan dan pesakit AIDS.

Kebanyakan jangkitan didiagnos secara klinikal. Ini bermaksud, dengan melihat dan mendengar keluhan pesakit tentang gejala yang mereka hadapi, hal ini sudah memadai untuk melihat jangkitan jenis apa yang mereka sedang hadapi. Oleh itu, kunjungi doktor berdekatan dengan anda untuk mengesahkan jangkitan virus ini. 

Selain itu, terdapat juga ujian khas yang boleh dilakukan melalui ujian darah. Ujian darah yang digunakan untuk melihat kewujudan virus juga boleh dijalankan seperti ujian PCR, iaitu melihat identiti virus yang dijangkiti dan membezakan mereka antara satu sama lain. Selain itu, ujian serologi untuk melihat antibodi bagi mengenalpasti bahawa anda telah terdedah atau sedang terdedah kepada virus tersebut juga boleh dilaksanakan.

  • Herpes Simplex Jenis 1 & 2

Ulser atau lubang kecil di tepi bibir atau berdekatan kemaluan. 

  • Varicella Zoster

Biji-biji berair yang merebak daripada tengah badan ke lengan, tangan, kepala muka dan sebagainya. Ia sangat gatal dan sangat tidak selesa. Sebelum itu, pesakit akan mengalami demam dan selesema

Jika kayap berlaku iaitu jangkitan semula virus ini, pesakit akan mengalami gatal atau sakit pada ruam yang berair mengikut dermatom badan. 

  • Cytomegalovirus

Jangkitan dalam kandungan menyebabkan gejala limpa dan hati membengkak, radang retina, ruam dan penglibatan otak seperti sawan dan sebagainya. Jika virus ini menjangkiti orang dewasa, ia menyebabkan gejala demam, letih yang melampau, sakit tekak kerana keradangan pharynx dan peningkatan sel darah putih dalam darah. Jika virus ini dijangkiti oleh golongan yang lemah sistem imun, ia akan merebak dengan pantas ke paru-paru, mata, hati, perut, usus dan otak. 

  • Epstein Barr Virus

Virus ini akan menyebabkan gejala seperti demam, limpa yang besar, radang tekak, kelenjar noda limfa yang membengkak, ruam dan hati yang membengkak sehingga menyebabkan gejala sakit perut. 

  • Herpes Virus Manusia 6,7,8

Virus-virus ini menyebabkan gejala seperti demam, ruam, sawan dan ketumbuhan barah yang dikenali sebagai Karposi’s Sarcoma.

Jangkitan akibat Herpes Simplex Jenis 1 dan 2, Varicella Zoster dan Cytomegalovirus boleh dirawat dengan anti-virus yang dikenali sebagai Aciclovir, jika perlu. Setakat ini, jangkitan-jangkitan ini yang dialami oleh pesakit lemah sistem imun akan dirawat dengan ubat ini. 

Ubat antivirus lain seperti Ganciclovir digunakan kepada warga emas yang dijangkiti virus-virus ini. Bagi masalah Cytomegalovirus yang melibatkan keradangan retina, ubat Ganciclovir dan Foscarnet digunakan. Namun, umum harus mengetahui ubat-ubat ini boleh mendatangkan kesan sampingan kepada pesakit jika digunakan sewenang-wenangnya. 

Bagi virus Epstein Barr dan Herpes Virus Manusia 6.7 dan 8, masih tiada rawatan yang bersesuaian.

Rujukan

Konsultasi Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA


Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Anda sedia untuk lawan jangkitan?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahui jika badan anda cukup kuat untuk melawan sebarang jangkitan Mula Ujian Percuma

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Penghantaran Ubat Ekspres

Soalan berkenaan - gelembung di bibir, gelembung air, cacar air dibibir, penyakit kelamin, gelembung air di kemaluan

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor Percuma 10.10 Health Fest: Baucar RM10!