Apakah Penyebab Dan Rawatan Penyakit Kudis (Scabies)?

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Jun 5, 2020

Soalan:
Salam, doktor. Saya ingin bertanya tentang kudis buta. 4 hari lepas, anak perempuan saya yang berumur 11 tahun mengadu mengenai gatal-gatal di kedua-dua bahagian tapak tangan,celah-celah jari, pergelangan tangan dan siku. Gatal-gatal tersebut tidak melibatkan bahagian lain seperti punggung, kaki atau lutut. Kemudian, pada waktu malam, dia akan mengalami kesukaran untuk tidur dengan nyenyak kerana kegatalan yang sangat teruk terutamanya pada bahagian tapak tangan dan celah-celah jari. Untuk pengetahuan doktor, anak saya tinggal di asrama yang disediakan untuk pelajar yang mana jarak rumahnya jauh dari sekolah.

Apabila dia pulang ke rumah pada hari minggu, saya lihat ada ruam kecil kemerahan dan bekas-bekas garu di bahagian tapak tangan dan celah-celah jari. Ruam tersebut terdiri daripada bintik kecil merah yang kelihatan seperti gigitan kecil serangga. Baru-baru ini, keadaan menjadi lebih teruk kerana kawasan gatal tersebut mula mengeluarkan cecair jernih atau air bisa dalam istilah Melayu. Atas nasihat ibu saya, saya cuba untuk membersihkan tangan anak saya dengan menggunakan air suam.Saya ingin tahu, doktor, adakah penyakit anak saya ini disebabkan oleh kudis buta atau penyakit kulit yang lain seperti eczema atau gigitan serangga? Bagaimanakah cara untuk mengatasi penyakit ini dan haruskah saya membawa anak ke klinik atau hospital untuk rawatan yang lebih terperinci?
Jawapan:
Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan butir-butiran yang anda beri, kemungkinan besar penyakit yang anak anda alami adalah disebabkan oleh jangkitan kutu/hama kecil yang dipanggil sebagai “Sarcoptes Scabiei”. Kudis buta ataupun lebih dikenali sebagai ‘scabies’ lazimnya berlaku pada kanak-kanak dan anak berdasarkan keterangan anda, anak anda juga mempunyai faktor yang lain iaitu tinggal di tempat awam iaitu asrama. Wabak jangkitan ‘Scabies’ biasanya berlaku di tempat-tempat awam seperti taska dan tadika, sekolah, asrama dan pusat-pusat penjagaan di mana orang ramai kerap berhubung dan berinteraksi antara satu sama lain kerana penyakit kudis buta ini mudah berjangkit.

Penyakit ini hanya boleh dijangkiti dengan sentuhan langsung antara kulit ke kulit kerana kutu kudis yang berada di permukaan kulit tidak mampu terbang atau melompat dari permukaan kulit seseorang. Oleh hal yang demikian, bahagian tangan merupakan bahagian yang biasa untuk dijangkiti kutu kudis ini.
Saya mengesyorkan untuk anda berjumpa dengan doktor kerana penyakit ini boleh dirawat dan diubati dengan sempurna. Rawatan yang selalu digunakan adalah dengan menyapukan ubat antiscabies.

APAKAH ITU KUDIS

Kudis buta atau ‘Scabies’ merupakan sejenis penyakit kulit yang mudah berjangkit di mana ia dijangkiti melalui sentuhan langsung kulit seseorang dengan orang yang mengalami kudis buta. Penyebab utama penyakit ini adalah kerana jangkitan makhluk parasit iaitu“Sarcoptes Scabiei”, suatu organisma yang hidupnya menumpang pada makhluk hidup lain dan merugikan makhluk hidup yang ditumpangi. Kutu kudis ini bersaiz amat kecil dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Secara purata, bilangan kutu kudis yang boleh menyerang seseorang adalah dalam lingkungan 10-12 ekor. Penyakit kudis buta akan menyebabkan rasa kegatalan yang keterlaluan pada permukaan kulit. Kebanyakan simptom atau gejala jangkitan kudis buta ini adalah disebabkan oleh tindak balas sistem imun seseorang individu terhadap kutu kudis ataupun terhadap telur, najis dan bangkai kutu kudis tersebut.

Oleh itu, ruam dan rasa kegatalan yang timbul pada permukaan kulit sebenarnya berpunca daripada reaksi alahan badan terhadap kutu kudis.

APAKAH PENYEBAB KUDIS

Seseorang individu boleh dijangkiti dengan penyakit kudis buta apabila terdedah kepada kutu kudis ini walaupon dalam tempoh masa yang singkat, iaitu hanya dalam 15-20 minit. Jika terdapat bilangan kutu kudis yang sangat banyak pada permukaan kulit individu yang terjejas seperti luka, maka transmisi kutu kudis antara kulit boleh berlaku dalam jangka masa yang sangat cepat. Kutu kudis juga boleh merebak melalui perkongsian barangan peribadi seperti tuala, cadar, selimut dan pakaian antara seorang individu yang terjejas dengan yang lain dan kebiasaannya boleh dilihat di asrama. Malah, kutu kudis juga mampu merebak melalui patung-patung permainan kanak-kanak dan sesetengah alatan perabot.
Kumpulan berisiko untuk penyakit kudis buta termasuklah:
  • Kanak-kanak (terutamanya berumur kurang 2 tahun)
  • Orang tua
  • Pesakit yang mempunyai sistem imun yg lemah seperti kencing manis (diabetes mellitus)
  • Pesakit yang tidak boleh bergerak/lumpuh
  • Pesakit yang tinggal di pusat-pusat jagaan tertentu seperti rumah orang tua
  • Di tempat-tempat awam lain seperti asrama, tadika, sekolah dan penjara
Walau bagaimanapun, kutu kudis hanya mampu kekal dan terus hidup selama 24-36 jam setelah berpisah daripada makhluk yang ditumpangi.

APAKAH GEJALA KUDIS

Simptom-simptom penyakit ini akan mengambil masa lebih kurang dalam 2-6 minggu untuk timbul dalam badan seseorang yang telah dijangkiti kutu kudis. Berikut adalah senarai gejala-gejala penyakit kudis buta:

 KEGATALAN
- Rasa kegatalan yang amat teruk sehingga menyebabkan keadaan yang tidak selesa yang selalunya berlaku pada waktu malam dan ini akan menganggu tidur orang yang dijangkiti. Pada mulanya, rasa kegatalan hanya wujud pada 1 tempat, khususnya bahagian tapak tangan tetapi akan terus merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain. Rasa kegatalan juga boleh menjadi lebih teruk apabila mandi air panas. Individu yang terjejas dengan penyakit kudis buta boleh berasa gatal di seluruh badan walaupon dijangkiti dengan bilangan kutu kudis yang kecil sahaja.

 RUAM
- Ruam akan terbentuk dengan serta merta pada permukaan kulit setelah rasa kegatalan muncul. Ia akan kelihatan berbintik-bintik dan ketul-ketul merah yang boleh muncul di mana-mana bahagian badan setelah dijangkiti kutu kudis. Bahagian badan di mana ruam kelihatan jelas adalah pada kawasan lipatan kulit iaitu:
  • Tangan dan kaki, terutamanya celah-celah jari
  • Bahagian dalam peha
  • Pusat
  • Abdomen
  • Punggung
  • Celah-celah ketiak
Kesemua bahagian tersebut menjadi tumpuan kutu kudis disebabkan suhu yang lebih tinggi berbanding dengan kawasan lain di tubuh badan.

LALUAN/TEROWONG KUTU KUDIS
- Laluan yang dibentuk oleh kutu kudis betina dapat dilihat pada permukaan kulit. Biasanya, ia kelihatan seperti garisan-garisan yang nipis, halus dan berwarna gelap sekurang-kurangnya 2-10 mm panjang. Garisan ini biasanya dapat dilihat pada bahagian kulit yang longgar antara jari, bahagian dalam pergelangan tangan dan tapak tangan. Ia juga boleh muncul pada bahagian lain badan tetapi hanya timbul setelah wujudnya rasa kegatalan dan ruam.

KESAN-KESAN CALAR/GARU
- Ia boleh diperhatikan pada permukaan kulit dan mungkin disebabkan oleh kegiatan menggaru secara agresif. Kawasan ruam yang digaru secara berterusan dengan agresif akan menyebabkan bahagian permukaan kulit tersebut cedera dan seterusnya menyebabkan kerosakan pada kulit. Kerosakan pada kulit ini boleh menjadi parah dan akan terdedah kepada bakteria dan kuman yang lain. Kulit yang dijangkiti bakteria pula akan kelihatan merah, sakit dan boleh membengkak kerana inflamasi.

APAKAH RAWATAN KUDIS

Rawatan yang diberi kepada individu yang dijangkiti penyakit kudis buta ialah dengan sapuan krim anti-scabies seperti:
  • Permethrin 5% - sesuai untuk kanak-kanak, ibu mengandung dan menyusu
  • Benzyl Benzoate (12.5-25%) – sesuai untuk orang dewasa
  • Sulphur 6%
  • Crotamiton
  • Lindane –tidak sesuai untuk kanak dan ibu mengandung
Krim-krim ini merupakan sejenis racun yang bertindak untuk membunuh kutu kudis pada permukaan kulit . Ia amat berkesan jika digunakan secara konsisten dan dengan cara yang betul mengikut arahan doktor. Rawatan adalah berbeza bagi bayi, kanak-kanak, ibu yang mengandung, orang dewasa dan warga tua. Mereka yang bergaul rapat dan tinggal bersama individu yang telah dijangkiti penyakit kudis buta haruslah dirawat pada masa yang sama.
Walaupun krim anti-scabies membunuh kutu dengan berkesan, kegatalan boleh berlanjutan untuk beberapa minggu. Kegatalan ini disebabkan oleh tindakbalas imun badan terhadap bangkai-bangkai kutu. Doktor anda boleh merawat kegatalan ini dengan ubat yang berlainan.

TIPS-TIPS PENJAGAAN

  •  Pesakit perlu mandi dengan air suam, mandi menggunakan sabun dan keringkan badan sebelum menggunakan ubat. Pakai pakaian, cadar dan tuala yang bersih selepas mandi.
  •  Cuci pakaian, tuala dan cadar yang telah digunakan oleh individu yang dijangkiti dengan air panas lebih daripada 50 degree Celsius menggunakan mesin basuh untuk membunuh kutu kudis.
  • Masukkan barangan yang tidak boleh dicuci seperti patung permainan ke dalam beg plastic yang diikat ketat dan disimpan selama 7 hari untuk membolehkan kutu kudis dan telurnya mati.
  • Perabut dan tempat tidur haruslah dibersihkan dengan pencuci hampagas (vacuum cleaner).
Jika terdapat apa sahaja kemusykilan, sila rujuk nasihat doktor yang boleh dijumpai di klinik atau hospital. Jika ia bukan kecemasan, anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor di laman www.doctoroncall.com.my.
Terima kasih.

Rujukan

Konsultasi Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA


Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Anda sedia untuk lawan jangkitan?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahui jika badan anda cukup kuat untuk melawan sebarang jangkitan Mula Ujian Percuma

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Penghantaran Ubat Ekspres

Soalan berkenaan - perawatan kudis, gambar penyakit kudis

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor Percuma Sambutan Hari Malaysia: Baucar RM20