Cara Mengatasi Masalah Perut Buncit (Pot Belly)?

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Februari 7, 2020

Soalan:
Selamat pagi, doktor. Saya seorang suri rumah yang berumur 45 tahun. Saya sudah berkahwin dan mempunyai 5 orang anak. Sejak kebelakangan ini, saya mengalami perut buncit. Selain itu, saya juga ada masalah sembelit. Selalunya, saya buang air besar setiap hari, tetapi sejak beberapa minggu ini saya hanya buang air besar setiap 2 atau 3 hari. Walaupun saya banyakkan minum air dan makan sayur-sayuran, masalah ini masih berlarutan. Tiada perubahan pada kitar haid saya. Ada kalanya, saya rasa mual tetapi tidak muntah. 
Saya perasan baju dan seluar saya tidak seketat dulu. Saya juga kurang membuat senaman kerana terlalu sibuk menjaga anak-anak saya. Saya tidak pernah mengalami apa-apa masalah ketika melahirkan anak. Saya tidak pernah masuk wad kecuali untuk melahirkan anak. Saya tiada masalah menghadam makanan. Saya kuat merokok sejak umur 20 tahun, 10 batang sehari. Dulu, saya merokok 20-30 batang sehari. Tiada sejarah penyakit kanser dalam keluarga saya. Masalah perut buncit ini semakin membuat saya tidak senang hati. Bolehkah doktor nasihatkan apakah yang harus saya buat?

Soalan berkenaan - perut buncit perempuan, cara mengecilkan perut buncit pada wanita, penyebab perut buncit, cara mengecilkan perut buncit, punca perut buncit

Jawapan:
Terima kasih puan untuk soalan anda. Terdapat banyak penyebab untuk masalah perut buncit. Berdasarkan gejala-gejala yang puan alami bersama risiko yang puan punyai, saya menasihatkan puan untuk menjalani beberapa ujian untuk mengenalpasti punca penyakit yang puan sedang hadapi dan bagi memudahkan untuk memberi rawatan yang tepat kepada punca penyakit tersebut.

Apakah penyebab perut buncit

Berikut adalah penyebab-penyebab perut buncit:

  • Angin” atau gas adalah penyebab utama perut buncit. Angin terhasil dalam saluran pencernaan apabila makanan tidak tercerna. Hal ini boleh berlaku dalam kalangan mereka yang tidak tahan laktosa (“lactose intolerant”) dan penyakit Coeliac (alahan pada gluten). Namun begitu, gejala perut buncit akibat angin ini hanya bersifat sementara sahaja dan hanya terdapat apabila terdapat makanan pencetus. 

  • Pengosongan perut yang perlahan di samping pengumpulan angin juga boleh menyebabkan pergerakan angin perlahan dan perut kembung atau buncit. Merokok selepas makan menjejaskan aktiviti penghadaman.

  • Antara masalah perubatan yang menyebabkan perut buncit adalah gangguan makan seperti anorexia nervosa dan bulimia nervosa, serta gangguan kesihatan mental seperti stres, keresahan dan kemurungan. Penyakit-penyakit lain seperti sesetengah jenis kanser, penyakit asid refluks (GERD), gout, osteoartritis, Sindrom Polisistik Ovari, dan apnea tidur dikaitkan dengan obesiti yang juga boleh menyebabkan pengumpulan lemak di dalam perut.

  • Berat badan yang semakin meningkat juga antara punca perut buncit. Makanan lemak dan karbohidrat yang berlebihan tanpa senaman yang kerap boleh mengakibatkan obesiti dan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit yang berkaitan dengan jantung. 

  • Penambah-biakkan atau kekurangan bakteria semula jadi dalam saluran usus juga boleh menjadi penyebab perut buncit. Perubahan pergerakan usus boleh menyebabkan pengumpulan angin dalam perut, maka menyebabkan perut buncit.

  • Perubahan hormon, terutamanya apabila menopaus, penghasilan hormon seks estrogen berkurangan yang menyebabkan kepada pengumpulan lemak di perut. Tumpuan lemak yang tidak sekata boleh mengakibatkan perut buncit. Sindrom pramenstruasi juga menyebabkan perut buncit dan juga masalah penghadaman. 

  • Hipotiroidisme boleh menyebabkan berat badan berlebihan atau obesiti. Ini boleh menyebabkan perut buncit. 

  • Pengumpulan lemak juga boleh disebabkan oleh hormon insulin. Apabila tahap glukosa darah meningkat, insulin dirembes oleh pankreas untuk mengurangkan tahap glukosa darah dengan merangsang hati untuk menukar glukosa menjadi glikogen, memaksa sel untuk mengambil lebih banyak glukosa dan mendorong lebih banyak glukosa ke dalam bentuk penyimpanan lemak yang lebih besar.

  • Hormon kortisol juga memainkan peranan dalam pengumpulan lemak. Hormon ini disekat oleh kelenjar adrenal yang berada di bahagian atas buah pinggang. Pengumpulan lemak meningkat apabila tahap kortisol lebih tinggi daripada biasa. Keadaan ini biasanya dilihat dalam penyakit seperti sindrom Cushing dan boleh dikaitkan dengan penggunaan ubat steroid.

  • Hormon seks lelaki dan wanita akan mempengaruhi pengumpulan lemak di dalam perut. Hormon-hormon ini lebih cenderung untuk menjadi tidak normal dalam masalah reproduktif dan penggunaan terapi hormon. Ini adalah salah satu faktor hormon yang mempengaruhi pengumpulan lemak di bahagian tertentu seperti perut, punggung dan peha.

  • Diet rendah berlemak mungkin mengandungi kalori yang tinggi yang boleh menyebabkan pengumpulan lemak di dalam perut. Pengambilan karbohidrat yang berlebihan terutamanya karbohidrat halus mengakibatkan tahap glukosa darah meningkat yang akan menukar kalori tambahan menjadi tisu lemak.

Apakah jenis perut buncit

  • Perut menonjol keluar seperti balon adalah disebabkan oleh angin, makan terlalu berlebihan, mengunyah gula-gula getah dan minum air melalui straw. 
  • Perut stres membentuk gulungan lembut ke bawah dan depan dan diakibatkan oleh stres yang akan menyebabkan tahap hormon kortisol meningkat. Kekurangan aktiviti fizikal akan menyebabkan kelebihan gula dalam badan disimpan sebagai lemak di bahagian hati.
  • Penyebab perut jenis buah pir adalah disebabkan hormon estrogen yang dipengaruhi oleh faktor genetik. Ketidakseimbangan hormon seksual, endometriosis dan tumbuhan fibroid juga boleh menyebabkan perut buncit di kalangan wanita. 
  • Perut ibu atau diastasis recti adalah perut buncit yang dialami selepas melahirkan anak. Otot-otot perut akan mula menyusut dan menyebabkan perut menonjol. Penyebabnya adalah dinding perut sangat lemah dan tidak mampu menahan organ dalam perut. 
  • Perut tiroid disebabkan oleh hormon tiroid juga akan melebarkan seluruh tubuh termasuk kaki dan lengan selain menyebabkan perut buncit. Hipotiroidisme menyebabkan sisa kalori yang tidak dibakar disimpan sebagai lemak.
  • Perut wain adalah perut yang menonjol di hadapan sementara tiada perubahan di bahagian tubuh yang lain. Penyebabnya adalah pengambilan makanan karbohidrat dan minuman alkohol yang berlebihan. Lemak yang diperolehi akan berkumpul di bawah lapisan kulit atau di dinding otot perut. 

Apakah risiko perut buncit

Jika anda mempunyai risiko-risiko berikut, kemungkinan besar anda akan alami perut buncit: 

  • Pengambilan makanan karbohidrat and lemak yang berlebihan
  • Kurang senaman atau aktiviti fizikal
  • Pengambilan minuman alkohol yang berlebihan
  • Merokok
  • Penyakit kronik seperti kanser usus dan ovari, masalah usus, kencing manis
  • Tumbuhan di sekitar perut seperti fibroid dan endometriosis
  • Stres atau kemurungan
  • Makan terlalu cepat
  • Ubatan “over-the-counter

Cara mengatasi perut buncit

  • Lemak viseral berada di sekitar organ dalam yang menjadi penyebab utama untuk perut buncit. Antara cara-cara untuk mengatasi perut buncit adalah membuat senaman untuk mengencangkan otot-otot perut seperti “sit-up” dan “plank”. Senaman ini harus dilakukan bersama strategi diet kurang karbohidrat dan lemak. Cara ini boleh mengurangkan berat badan dan lemak keseluruhan tubuh.
  • Tumpuan kepada keseimbangan kalori secara keseluruhan harus diberikan. Ini mungkin melibatkan mengurangkan pengambilan kalori dalam makanan atau membakar lebih banyak kalori melalui senaman. Indeks glikemik (GI) makanan adalah sama penting kerana makanan makanan yang mempunyai GI rendah tidak akan menyebabkan kenaikan mendadak dalam insulin yang boleh menggalakkan pengumpulan lemak.
  • Kurangkan minuman alkohol dan merokok.
  • Hindari stres dengan melakukan meditasi dan boleh berbincang dengan orang yang rapat dengan anda. Jika kemurungan semakin teruk, sila dapatkan nasihat daripada doktor anda. 
  • Pastikan tidur secukupnya, sekurang-kurangnya 6-7 jam setiap hari.
  • Ubat tambahan probiotik mengandungi bakteria yang baik yang membunuh bakteria buruk. Yogurt juga boleh dimakan disamping ubat probiotik.
  • Tenusu mentah boleh digantikan untuk laktulosa bagi orang yang tidak boleh menghadam laktulosa. 
  • Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Minum air yang banyak, sekurang-kurangnya 2 liter setiap hari.
  • Herba pencernaan semula jadi seperti halia boleh menyenangkan perut yang tidak selesa. Herba-herba ini bertindak sebagai diuretik yang membantu mengurangkan cecair tambahan di dalam badan, membantu perut membebaskan kandungannya dan melonggarkan otot dalam saluran pencernaan. Masalah sembelit juga boleh dilegakan dengan pengambilan herba pencernaan semula jadi.
  • Keadaan perubatan seperti hipotiroidisme atau tahap kortisol yang tinggi juga harus diperbetulkan dengan rujukan doktor.
  • Perut buncit yang disebabkan oleh penyakit-penyakit kronik memerlukan rawatan yang lebih teliti dan dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor anda untuk berbincang tentang rawatan yang boleh didapati. 
Penurunan berat badan dan kehilangan lemak bergantung kepada keseimbangan kalori input (makanan) dan kalori output (aktiviti fizikal). Ini perlu dilakukan di bawah pengawasan doktor dengan berunding bersama penjagaan kesihatan profesional yang lain. Jika perut buncit anda menjadi masalah, sila dapatkan nasihat daripada doktor anda atau para doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my. Terima kasih.

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy