Apakah Punca Yang Menyebabkan Masalah Batuk Dan Cara Merawatnya

4 Petua Menghilangkan Batuk Mengunakan Bahan Semulajadi - DoctorOncCall
Anonymous

Salam sejahtera saya ucapkan kepada doktor, saya merupakan suri rumah tangga dan mempunyai 2 orang anak. Tujuan saya menulis ini adalah untuk bertanyakan pendapat doktor berkenaan dengan kesihatan anak sulung saya yang berumur 5 tahun. Sejak 3 hari yang lalu, dia asyik sahaja batuk sehingga menganggu tidurnya. Saya juga perasan bahawa batuk tersebut disusuli dengan demam dan juga berkahak. Apa yang lebih membimbangkan saya adalah berat badan dia mula susut kerana seluar dia kelihatan longgar dan juga hilang selera makan termasuklah ayam goreng makanan kegemarannya. Apakah yang perlu saya lakukan ? Saya harap doktor dapat bantu saya.

Anonymous
Salam sejahtera saya ucapkan kepada doktor, saya merupakan suri rumah tangga dan mempunyai 2 orang anak. Tujuan saya ... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Ibu mana yang tidak risaukan anak mereka, oleh itu saya amat memuji tindakan puan kerana mengambil pendekatan tepat dengan bertanyakan soalan tersebut demi kesihatan anak anda. Pada hemat saya, anak anda mungkin menghidapi jangkitan kuman ataupun virus pada bahagian paru-paru. Jangkitan pada paru-paru merupakan sakit yang lazim berlaku pada kanak-kanak kerana sistem imuniti mereka yang lemah. Namun begitu, terdapat sakit lain yang juga menunjukkan simptom yang sama seperti batuk kering (jangkitan tuberkulosis), asma, pneumonia dan banyak lagi. Batuk juga merupakan fisiologi normal berlaku keatas manusia untuk melegakan tekak yang gatal namun jika berpanjangan, kelazimannya disebabkan sakit penyakit. Bagi mengetahui punca sebenar, beberapa soalan, sejarah sakit serta pemeriksaan fizikal perlu dilaksanakan.

Jika masalah batuk masih berlarutan dan dituruti dengan simptom lain seperti demam, susut berat badan, hilang selera makan dan sesak nafas, anda digalakkan untuk mendapatkan khidmat nasihat doktor. Anda juga boleh mengunjungi laman web kami https://www.doctoroncall.com.my/ untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor kami melalui forum, live chat, sesi audio atau video. 

Ibu mana yang tidak risaukan anak mereka, oleh itu saya amat memuji tindakan puan kerana mengambil pendekatan tepat d... See More

Apakah punca bagi masalah batuk?

Kanak-kanak merupakan insan yang mudah untuk dijangkiti penyakit kerana sifat mereka yang sentiasa aktif meneroka dunia baru yang terkadang menyebabkan penyakit mudah untuk disebarkan antara satu sama lain. Oleh itu, punca sakit seperti batuk perlu untuk diketahui supaya pencegahan dapat digagaskan. Antara punca batuk adalah seperti:

  1. Jangkitan kuman ataupun virus pada paru-paru
  2. Tahukah anda, jangkitan pada paru-paru akan menyebabkan iritasi pada lapisan tersebut dan fenomena inilah yang menyumbang kepada penghasilan kahak. Am mengetahui bahawa jangkitan kuman dan virus menyumbang kepada permasalahan batuk berkahak dan bagi membezakan kedua-dua entiti tersebut, warna kahak perlu diteliti. Kelazimannya, kahak yang tidak berwarna adalah berpunca daripada virus manakala yang berwarna kuning kehijauan selalunya disebabkan oleh jangkitan kuman. Bagi batuk yang berlarutan lama iaitu melebihi dua minggu, pengesahan jangkitan kuman tuberkulosis perlu untuk dilakukan. Pesakit juga akan mengalami gejala seperti berpeluh malam, kurang berat badan dan selera makan.

  3. Sakit asma
  4. Orang kita, bila mana seseorang itu sesak nafas, terus dikatanya serangan asma. Untuk menjelaskan keadaan ini, simptom asma bukan sahaja terhad kepada sesak nafas tetapi terdapat simptom lain seperti batuk, bernafas dengan laju dan nafas berbunyi. Pesakit asma juga boleh untuk menunjukkan simptom seperti ekzema, mata berair dan bersin yakni reaksi alahan kepada persekitaran ataupun barangan. Bagi kes asma pula, alahan ini berlaku dalam paru-paru dan hal inilah yang menyebabkan batuk.

  5. Bronkitis (keradangan pada saluran bronkus)
  6. Bronkus merupakan komponen yang membentuk paru-paru dan merupakan saluran penyampaian oksigen serta pembebasan karbon dioksida luar dari badan. Terma bronkitis merujuk kepada keadaan di mana berlakunya keradangan pada bronkus dan menyebabkan komponen tersebut membengkak serta pengumpulan kahak dalam bronkus. Hal inilah yang membawa kepada masalah sesak nafas dan batuk pada pesakit.

  7. Penyakit paru-paru obstruktif kronik (Chronic Obstructive Pulmonary Disease)
  8. Penyakit ini amat sinonim dengan perokok tegar dan selalunya berlaku pada individu yang berumur. Asap rokok berpotensi untuk mencederakan lapisan paru-paru dan jika perkara ini berlarutan, keanyalan paru-paru akan rosak dan keadaan inilah menyebabkan paru-paru gagal untuk berfungsi dengan sempurna. Perkara ini akan menyebabkan gas karbon dioksida terperangkap dalam badan. Batuk pula merupakan refleks badan bagi mengeluarkan gas yang terperangkap tersebut.

Petua melegakan batuk menggunakan bahan semulajadi

  1. Pengambilan madu asli
  2. Terdapat beberapa kajian menunjukkan bahawa pengambilan makanan ataupun minuman yang manis terutamanya madu dapat melegakan batuk.  Bagi kanak-kanak, pengambilan sebanyak 2 sudu teh sudah cukup untuk mengurangkan batuk. Madu juga secara tidak langsung dapat mengembalikan selera makan pesakit.

  3. Minum air masak secukupnya
  4. Batuk merupakan suatu perbuatan yang amat memenatkan terutamanya jika berlaku berulang kali serta berlarutan. Dari masa ke masa, tekak akan mula kering dan menjadi sakit. Oleh itu, pengambilan air yang secukupnya bukan sahaja untuk mengelakkan dehidrasi (kekurangan air) tetapi juga mengelakkan tekak daripada berasa sakit.

  5. Pengambilan teh halia suam
  6. Pengambilan teh halia suam mungkin kedengaran agak kurang saintifik namun percayakah anda bahawa ia telah dibuktikan berkesan terutamanya jika diminum secara panas ataupun suam. Teh ini berpotensi untuk melegakan saluran pernafasan yang mana akhirnya melegakan batuk.

  7. Pengambilan aiskrim
  8. Sifat aiskrim yang sejuk dan lembut teksturnya akan melegakan tekak dan sekaligus menimbulkan rasa kebas. Hal ini akan menyebabkan pesakit rasa lebih selesa. Tambahan pula, bagi pesakit yang kurang selera makan, aiskrim berpotensi untuk mengembalikan selera makan serta memberikan tenaga secara langsung.

Cara menghilangkan batuk melalui ubat-ubatan

  1. Ubat batuk untuk menyingkirkan kahak (Expectorant)
  2. Ubat seperti ini berkesan untuk menyingkirkan kahak terutamanya pada pesakit yang mengalami batuk berkahak berterusan. Kahak yang terkumpul berpotensi untuk menjadi medium pembiakan bakteria. Oleh itu, ubat ini penting untuk mengurangkan risiko jangkitan paru-paru dan perlu juga untuk diketahui bahawa ubat ini akan menyebabkan pesakit batuk kronik yakni untuk menyingkirkan kahak.

  3. Ubat untuk menghentikan batuk (Anti-tussive)
  4. Pesakit yang mengalami batuk kering sebaiknya mendapatkan ubat jenis ini. Hal ini kerana, tiada keperluan bagi menggalakkan pesakit untuk terus batuk kerana tiada kahak yang perlu untuk disingkirkan.

  5. Ubat batuk lelah (Asthmatic cough)
  6. Seperti telah dibincangkan pada awal artikel ini, batuk juga boleh disebabkan oleh sakit asma terutamanya batuk pada waktu malam. Bagi batuk jenis ini, ubat batuk lelah sesuai untuk digunakan. Contoh ubat batuk seperti ini ialah, Ventolin dan Salmodil expectorant.

  7. Ubat batuk pencair kahak (Mucolytic)
  8. Terdapat beberapa situasi yang mana pesakit batuk berkahak perlu untuk mengambil ubat untuk mencairkan kahak bagi memudahkan proses penyingkiran kahak dari paru-paru. Ubat ini juga secara tidak langsung juga dapat melegakan sakit dada dan juga sesak nafas yang dialami oleh pesakit. Contoh ubat seperti ini ialah Bromhexine ataupun Stenac.

  9. Antibiotik
  10. Untuk pengetahuan am, pengambilan ubat antibiotik adalah dibawah pengawasan doktor dan tidak boleh dibeli di kedai farmasi sebarangan jika tidak mendapatkan preskripsi dari doktor. Oleh itu, pesakit perlu menjalani pemeriksaan kesihatan supaya doktor dapat mengesahkan sama ada seseorang itu memerlukan antibiotik ataupun tidak.

References