Perkembangan Janin Ikuti Minggu: Bagaimana Proses Bayi Membesar Dalam Kandungan?

Proses Perkembangan Janin Dalam Kandungan Mengikuti Minggu - DoctorOnCall
Anonymous
Salam sejahtera doktor. Saya seorang pelajar universiti dan baru-baru ini kakak saya yang baru berkahwin telah mengandung. Beberapa hari lepas, kami berbual-bual tentang kehamilan dan penjagaan bayi, ada satu persoalan telah menarik perhatian saya, iaitu bagaimana bayi ini tembentuk dalam badan seorang wanita yang hamil? Saya bukan pelajar sains dan tidak sesekali pun saya terfikir tentang bagaimana proses pembentukan seorang manusia ini, sekarang saya teringin tahu perkembangan janin dalam rahim kakak saya. Saya tahu ini bukan persoalan medikal atau penyakit, tetapi saya berharap doktor boleh menjelaskan proses ini supaya saya boleh mendapat serba sikit pengetahuan. Terima kasih!
Anonymous
Salam sejahtera doktor. Saya seorang pelajar universiti dan baru-baru ini kakak saya yang baru berkahwin telah mengandun... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Salam sejahtera cik. Terima kasih dan tahniah atas sifat ingin tahu dan minat anda untuk menambah ilmu pengetahuan. Saya sedia berkongsi dengan anda serba sikit tentang fasa perkembangan bayi dalam rahim. Pembentukan janin ini amatlah rumit, ia juga bab yang paling sukar diingati oleh para doktor. Saya akan cuba sedaya upaya untuk menerangkan proses ini dengan lebih mudah mengikut perkembangan mingguan janin di dalam rahim. Ianya amat ajaib bagaimana pembentukan seorang insan ini, daripada gabungan sperma dan telur, pembentukan sistem organ dalam badan sehingga menjadi tubuh badan yang lengkap, setiap proses ini adalah seperti dirancang dengan sempurna oleh seorang arkitek! Saya akan berkongsi dengan anda tentang perkembangan janin mengikut setiap fasa perkembangan dalam artikel di bawah.
Salam sejahtera cik. Terima kasih dan tahniah atas sifat ingin tahu dan minat anda untuk menambah ilmu pengetahuan. Saya... See More

Fasa Perkembangan Janin

Tahniah kepada kakak anda yang telah hamil kerana beliau dapat berkongsi detik-detik yang ajaib ini dengan ibu-ibu yang lain! Jika anda memahami proses pembentukan janin, mesti anda akan berasa kagum dan akan amat menghargai diri serta berterima kasih terhadap ibu anda. Seperti yang dikatakan di atas, perkembangan ini mengikuti minggu kandungan dan terdapat kalkulator kehamilan dan kelahiran yang boleh didapati secara atas talian atau secara manual bagi ibu dan para doktor membuat kiraan minggu dan bulan kehamilan. Dengan pengetahuan ini, ibu-ibu akan lebih bersedia dan dapat menjangka apa yang sedang berlaku pada bayi dalam kandungan mereka. Contohnya pembentukan kaki dan tangan bayi akan sempurna pada minggu kelapan. 

Trimester Pertama

  • Persenyawaan 

Persenyawaan merupakan permulaan nyawa semua manusia. Pasangan yang merancang untuk mendapatkan anak akan menggunakan kalkulator kesuburan untuk mengetahui masa yang paling sesuai bagi menjalankan hubungan intim. Apabila hampir 300 juta sperma menemui telur selepas pasangan menjalani hubungan seksual, sperma ini akan bertanding sesama mereka untuk menembusi telur itu bagi proses persenyawaan. Hanya satu sperma yang boleh diterima oleh satu telur. Oleh itu, kita semua merupakan pemenang sebelum kita menjejak kaki ke dunia ini! Selepas pergabungan ini, telur yang disenyawakan akan tertanam pada dinding rahim dan bermulalah perkembangan janin. 

  • Minggu 1-3

Tahap hormon oestrogen dan progesterone akan berubah pada minggu pertama, menyebabkan wanita hamil putus haid dan mengalami perubahan fisiologi badan. Ujian kehamilan (UPT) akan menjadi positif dan kantung akan kelihatan melalui ultrasound. Sel-sel akan berganda dalam kuantiti dan bertambah dalam saiz. 

  • Minggu 4 

Pembentukan struktur organ akan bermula seperti otak, jantung, tulang belakang dan sebagainya. Uri atau plasenta yang berperanan untuk menyalurkan nutrisi ke janin juga akan mulai terbentuk pada minggu ini. 

  • Minggu 5

Struktur seperti kaki atau tangan akan mula terbentuk tetapi ia tidak serupa dengan apa yang kita lihat setelah kita lahir. Selain itu sistem saraf akan mula tumbuh, bercabang dan berkembang ke setiap struktur di badan. 

  • Minggu 6

Saiz janin pada minggu ini akan menjadi kali dua ganda berbanding dengan minggu keempat, iaitu 6mm. Detak jantung janin juga boleh dikesan melalui ultrasound, sistem pencernaan juga akan mulai terbentuk ketika ini. Mata, telinga dan mulut turut mula terbentuk pada minggu ini walaupun ia masih kelihatan kabur. 

  • Minggu 7

Struktur mata seperti kanta dan cawan optik yang memberi penglihatan terjadi ketika usia wanita hamil 7 minggu. Organ-organ dalam sistem pencernaan dan juga buah pinggang akan mula terbentuk dengan lebih jelas daripada imej imbasan. Ketika ini saiz janin akan mencapai saiz 9mm panjang. 

  • Minggu 8 

Ukuran janin pada minggu ini akan mencecah 12mm dan janin akan mulai bernafas dengan bermulanya pembentukan paru-paru. Struktur lain yang sedia ada akan semakin bertambah dari segi saiz dan fungsinya. Sistem limfa akan mula terbentuk dan bercabang ke seluruh badan. 

  • Minggu 9

Ibu akan menjadi teruja dan gembira apabila doktor menunjukkan detak jantung bayi mereka dengan mesin Doppler. Puting dada dan folikel rambut akan mula terbentuk, manakala jari kaki dan tangan akan kelihatan lebih jelas. Kadang kala, pergerakan anggota badan janin boleh dikesan dengan ultrasound. 

 

  • Minggu 10-12

Struktur yang penting telah menjadi pada minggu ini dan janin ini akan dikenali sebagai fetus. Ukuran saiz akan mencapai 30 hingga 80mm. 

  • Usus akan berputar ke bentuk yang sepatutnya.
  • Ciri muka akan menjadi lebih jelas.
  • Saiz kepala akan mencapai hampir separuh daripada saiz kepala bayi.
  • Kelopak mata akan tertutup sehingga minggu kedua puluh lapan.
  • Alat kelamin akan menjadi lebih jelas.
  • Darah merah akan mula dihasilkan di dalam hati.

Trimester Kedua

  • Minggu 13-16

Perkembangan janin 3 bulan biasanya akan berukuran dalam 15cm. Rambut fetus yang dikenali sebagai Lanugo akan timbul di kepala fetus. Otot dan tulang akan bertambah dan berubah menjadi keras. Pada minggu ke-15, perut akan tertutup dan ibu bapa sudah boleh tahu tentang jantina anak mereka! Organ-organ seperti hati dan pankreas akan mulai menghasilkan cecair yang mengandungi enzim atau bahan-bahan yang penting untuk fungsi tubuh badan manusia. 

  • Minggu 17-23

    Saiz kandungan 20 minggu akan mencapai 20cm panjang dan Lanugo akan menutupi seluruh badan. Biasanya ibu juga akan mulai berasai pergerakan bayi dan detakan jantung bayi akan menjadi lebih kuat dan boleh didengar melalui stetoskop. 

  • Minggu 23-26

Berat fetus akan mencapai hampir 1kg pada minggu ini dan panjangnya akan mencecah 28cm. Komponen mata, paru-paru dan cap jari akan lengkap terbentuk. 

  • Minggu 27-28

Fungsi dan perkembangan otak akan mula berkembang dengan cepat mulai daripada minggu ini. Sistem saraf juga akan menunjukkan kebolehannya dalam mengawal sesetengah fungsi badan. Mata fetus sudah boleh berkelip. Doktor akan mengajar ibu bagaimana untuk membuat carta pergerakan bayi untuk memantau aktiviti dan status kesihatan anak mereka. Sekiranya pergerakan anak itu tidak normal, ibu dikehendaki mengunjungi hospital segera untuk mendapatkan pemeriksaan yang lebih lanjut. 

Trimester Ketiga

  • Minggu 28-31
  • Rahim ibu akan membesar dan fetus akan mempunyai kepanjangan sebanyak 38-43cm dengan berat sebanyak 1.5kg. Lemak badan juga akan bertambah. Walaupun imbasan ultrasound boleh mengesan pergerakan nafas fetus, paru-paru mereka masih belum matang sepenuhnya. Mineral seperti iron, calcium dan phosphorus akan mulai disimpan di dalam badan. 

  • Minggu 32-35
  • Lanugo akan hilang dan lemak badan akan bertambah secara progresif. Kuku tangan dan kaki juga boleh dilihat pada kesemua jari. Berat badan juga akan mececah 2.5 hingga 3kg. 

  • Minggu 36-40
  • Fetus cukup bulan atau matang pada minggu ke-36 di mana panjang bayi ini akan mencapai 48-53cm. Rambut di kepala juga akan nampak lebih lebat dan hitam. Minggu inilah detik yang dinanti-nantikan oleh semua ibu, mereka akan dimasukkan ke dalam wad hospital untuk proses bersalin yang lebih selamat dan lancar. 


    Tahniah kerana anda telah menambahkan ilmu pengetahuan dan saya berharap agar anda boleh berkongsi ilmu dengan kakak anda yang hamil atau kawan-kawan anda. Bagi sebarang persoalan, anda boleh mengunjungi laman web kami https://www.doctoroncall.com.my/ untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor kami melalui forum, live chat, sesi audio atau video.




References