Gejala autisme ini sememangnya sukar diabaikan kerana ianya membimbangkan ibu bapa mereka kerana tingkah laku anak mereka akan berubah. Antara ciri-ciri autisme ini ialah tidak suka bersosial dengan orang lain, berkelakuan anti-social, sering kali melakukan perbuatan yang sama berulang kali, suka membuat aktiviti bersendirian, tidak mempunyai minat dalam sebarang aktiviti dan banyak lagi. Antara yang disenaraikan inilah yang menjadi titik-titik pertama yang menjadi petanda bahawa anak mempunyai ciri masalah autisme ini.
Dalam kegiatan sosial, kanak yang mempunyai autisme ini akan kurang melihat seseorang itu pada mata dan bercakap. Mereka hanya akan bercakap sedikit dan tidak pandang muka orang di hadapannya. Ini merupakan salah satu masalah yang dapat kita lihat selalu pada kanak-kanak autisme.
Selain itu juga, mereka tidak boleh berpisah daripada ibu bapa mereka. Hal ini kerana mereka menganggap ibu bapa mereka sebagai individu terutama atau terpenting dalam hidup mereka. Jadi, sekiranya mereka harus berpisah dari ibu bapa, ianya akan menimbulkan masalah kerana anak tersebut akan menangis, menjerit dan membuat perangai di mana-mana jua. Ini merupakan salah satu sebab mereka tidak dapat ke sekolah biasa seperti budak lain.
Di samping itu, terdapat juga kanak-kanak autisme yang akan mengulangi perbuatan mereka. Contohnya, mereka akan menggerakkan badan seperti menggoyangkan kepala atau menepuk tangan dan ini akan dilakukan dengan berulang kali tanpa berhenti. Mereka juga akan mempunyai keinginan untuk mencederakan diri sendiri seperti mengetukkan kepala pada dinding atau mencucuk mata dengan menggunakan jari. Ini merupakan masalah yang serius dan ibu bapa haruslah belajar menangani masalah ini dengan kesabaran.
Seterusnya, terdapat juga sesetengah kanak autisme yang akan mengalami masalah dari segi pertuturan. Golongan ini akan bercakap bahasa tersendiri yang tidak boleh difahami oleh orang lain. Selain itu, mereka juga akan mempunyai masalah untuk bercakap kerana perkembangan otak mereka agak perlahan. Jadi, mereka akan mengalami kelambatan dalam proses bercakap.
Akhirnya, terdapat bilangan yang kecil kanak-kanak autisme mempunyai kondisi Asperger Syndrome atau Savant Syndrome. Mereka merupakan golongan yang amat berbakat berbanding dengan individu biasa tetapi mempunyai gejala austisme.