Bolehkah Penyakit Hati Menjejaskan Fungsi Dan Menyebabkan Kegagalan Hati?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Februari 10, 2020

Soalan:

Salam sejahtera doktor. Nama saya Oliver dan saya berumur 45 tahun. Saya sangat risau dengan keadaan kesihatan saya doktor. Saya kuat minum arak sebelum ini dalam 3 tin bir sehari selalunya selepas balik kerja. Saya juga baru disahkan menghidap kencing manis 2 tahun lepas. Saya juga baru sahaja pulang dari India untuk urusan kerja di sana. Kebelakangan ini, saya mengalami pedih di ulu hati dan kulit saya bertukar menjadi warna kuning. Doktor di hospital menjelaskan bahawa saya mempunyai penyakit hati. Boleh doktor terangkan lebih lanjut dalam bahasa yang mudah mengenai kondisi yang saya alami ini? Sekian

Soalan berkenaan - penyakit hati keras, penyakit hati mengecut, penyebab penyakit hati, jenis penyakit hati, tanda-tanda ada masalah hati, penyakit hati kecut

Jawapan:

Salam sejahtera dan terima kasih saudara Oliver kerana bertanyakan soalan. Berdasarkan keterangan yang anda berikan, terdapat pelbagai punca kepada gejala-gejala yang anda alami seperti hepatitis (radang hati), hati bengkak akibat lemak atau batu karang hempedu. Namun, berdasarkan simptom dan sejarah kesihatan yang telah anda berikan, kemungkinan anda menghidapi hepatitis atau bengkak hati adalah sangat tinggi. Bagi mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat, maklumat dan ujian tambahan adalah diperlukan. Oleh itu, anda disarankan untuk mengikut rapi perkembangan kesihatan anda seperti yang disarankan oleh doktor hospital anda. Punca penyakit hati dan tanda-tanda penyakit hati akan diterangkan lagi dengan lebih lanjut didalam artikel dibawah.

Boleh doktor terangkan secara ringkas apakah fungsi hati?

Sebelum saya terangkan mengenai masalah berkaitan organ ini, adalah amat wajar sekiranya kita ambil tahu mengenai fungsi hati terlebih dahulu. Antara fungsi hati adalah untuk:

  • Penyimpanan tenaga dalam bentuk gula simpanan
  • Penyah-toksin bahan-bahan kimia dalam badan
  • Penghasilan protein albumin 
  • Penghasilan kolesterol
  • Memecahkan sel darah lama
  • Penghasilan bahan pembekuan darah

Kepentingan organ ini tidak dapat dinafikan lagi dan menjadi sebab mengapa penyakit berkaitannya memerlukan pemerhatian rapi agar fungsi-fungsi organ ini tidak terjejas. 

Apakah punca-punca penyakit hati ini ya doktor?

Terdapat banyak penyebab penyakit berkaitan dengan hati ini namun saya akan menjelaskan kondisi yang selalu dijumpai dalam kalangan rakyat Malaysia. Berikut merupakan punca-punca penyakit hati:

Jenis-jenis penyakit hati seperti Penyakit Hati Berlemak dan Hepatitis akan dibincangkan secara teliti pada seksyen di bawah. 

Berapa jeniskah Penyakit Hati Berlemak yang wujud?

Penyakit Hati Berlemak ini boleh dikategorikan dalam dua jenis berdasarkan punca utama mereka iaitu Penyakit Hati Berlemak Alkoholik (ALD) dan Penyakit Hati Berlemak Bukan-Alkohol (NAFLD). Kedua-dua sub-kategori Penyakit Hati Berlemak ini merupakan antara punca hati bengkak yang utama di kebanyakkan negara. Alkohol merupakan punca utama bagi negara-negara maju manakala di negara kita, kencing manis merupakan antara punca utama. ALD adalah subset kepada Penyakit Hati Alkohol yang mana hati mula berlemak akibat pengambilan alkohol berpanjangan.

NAFLD dan ALD ini boleh berterusan menjadi teruk sekiranya tidak dicegah dan menyebabkan keradangan dan bengkak hati. Apabila organ ini mula membengkak, ia akan menunjukkan gejala-gejala sakit kepada seseorang. Tanda penyakit hati bengkak adalah seperti:

  • Kurang selera makan
  • Cirit-birit
  • Perut membesar
  • Kulit kekuningan
  • Sakit perut

Ada terdapat berapa jenis hepatitis atau penyakit radang hati?

Hepatitis adalah kondisi keradangan hati yang disebabkan oleh jangkitan virus. Terdapat lima jenis virus penyebab kondisi ini iaitu virus hepatitis A, B, C, D dan E. Berikut adalah deskripsi mengenai virus-virus ini:

  • Hepatitis A

Virus ini sering dikaitkan dengan kebersihan kerana cara penyebarannya iaitu secara oral-najis (“Fecal-Oral”). Ianya berkait dengan makanan yang tidak dimasak dengan cara yang bersih dan sempurna terutamanya makanan laut. 

  • Hepatitis B

Virus ini adalah jenis virus hepatitis yang berbahaya kerana kesan jangka panjangnya kepada seseorang. Ia selalunya mengambil masa 1-6 bulan untuk pesakit menunjukkan simptom selepas mendapatkan jangkitan virus ini. Ianya disebarkan melalui hubungan seksual ataupun melalui intravena (suntikan).

  • Hepatitis C

Hampir serupa dengan virus hepatitis B, virus ini juga mempunyai cara penularan yang agak sama dan mempunyai kesan jangka panjang yang teruk pada kesihatan seseorang seperti kanser hati dan sirosis hati. 

  • Hepatitis D

Virus ini hanya boleh wujud sekiranya pesakit mempunyai jangkitan hepatitis B sahaja.

  • Hepatitis E

Seperti virus hepatitis A, virus ini juga dikaitkan dengan kebersihan kerana cara penyebarannya yang sama disamping gejala yang sama ia bermanifestasi. 

Apakah tanda-tanda awal hepatitis dan penyakit hati?

Penyakit hepatitis dan penyakit hati yang lain mempunyai gejala yang agak serupa yang mana menyebabkan kesukaran mencapai diagnosis dengan hanya berdasarkan simptom-simptom dan tanda-tanda mereka sahaja. Hal ini berikutan kesan yang penyakit-penyakit ini lakukan pada organ ini yang mengakibatkan gangguan fungsi hati dan seterusnya menyebabkan tanda-tanda penyakit hati dan hepatitis. Berikut adalah tanda-tanda awal hepatitis dan penyakit hati:

  • Demam
  • Lemah dan lesu badan
  • Mual dan muntah
  • Tiada selera makan
  • Kekuningan
  • Pendarahan yang susah beku
  • Hilang berat badan
  • Sakit perut

Disebabkan simptom-simptom penyakit hati dan hepatitis yang serupa, maka ujian makmal serta pengimejan amat penting dalam mendapatkan diagnosis yang tepat. 

Apakah ujian hati yang dilakukan di hospital?

Di hospital, terdapat ujian darah yang dinamakan sebagai Ujian Fungsi Hati yang melihat kepada penanda organ ini bagi melihat pola turun naik sesetengah bacaan dan membolehkan samada ujian tambahan dibuat atau diagnosis dicapai. Antara ujian-ujian untuk mengenal pasti masalah hati adalah:

  • Ujian Fungsi Hati (“Liver Function Test”) - melihat penanda seperti AST, ALT, Albumin, PT dan banyak lagi
  • “Arterial Blood Gas (ABG)” - bagi melihat kandungan gas-gas dalam darah seperti oksigen dan pH mereka
  • Ujian darah lain-lain - seperti tahap gula, “Complete Blood Count” dan “Urea dan Elektrolit”
  • Ujian Mikrobiologi - bagi menentukan jenis jangkitan yang dialami oleh pesakit. Ujian mikrobiologi termasuklah ujian kultur dan mikroskopi.
  • Ujian Pengimejan - seperti X-ray, CT-Scan dan Ultrasound
  • Ujian-ujian khas - bergantung kepada suspek penyakit seperti ujian auto-imun, kandungan zat besi mahupun toksin seperti lebihan dos ubat

Adakah kegagalan hati dan sirosis hati adalah perkara yang sama?

Sebenarnya kedua-dua kondisi di atas adalah keadaan yang berlainan patologinya namun berkait rapat dengan penyakit hati kronik (berpanjangan). Sirosis hati adalah keadaan dimana tisu hati menjadi fibrosis (keras) akibat keradangan berpanjangan manakala kegagalan hati adalah kondisi dimana fungsi hati berhenti sama sekali. Kegagalan hati boleh menjadi akut (sebentar) atau kronik (berpanjangan) dan salah satu puncanya juga boleh disebabkan sirosis hati. 

Bagaimanakah cara untuk merawat Penyakit Hati Berlemak dan penyakit hati yang lain?

Untuk merawat penyakit hati, ia memerlukan diagnosis yang tepat kerana tiada satu ubat untuk merawat semua kondisi. Ubat penyakit hati tidak boleh menyelesaikan masalah-masalah lain jika tujuan ubat tersebut spesifik untuk kegunaan penyakit hati tertentu sahaja. 

  • Hepatitis - Penggunaan anti-virus bagi hepatitis B dan C
  • Hepatitis Alkohol - Vitamin B berdos tinggi dan ubat chlordiazepoxide 
  • Haemochromatosis (lebihan zat besi) - Venesection (pembuangan darah terkawal)
  • Penyakit auto-imun - Ubat anti-imun seperti Prednisolone dan Azathioprine
  • Kanser - pembedahan ataupun kimoterapi

Disebabkan begitu banyak kondisi penyakit hati, cara-cara rawatan yang dinyatakan diatas adalah sekadar ringkasan sahaja dan segala prosedur dan kaedah rawatan memerlukan input doktor pakar. 

Boleh doktor terangkan cara-cara mencegah penyakit hati?

“Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati” begitulah kata-kata hikmat yang boleh diguna pakai dalam isu penyakit hati. Antara langkah pencegahan penyakit hati adalah:

  • Kurangkan gula dan kawal kencing manis
  • Berhenti merokok
  • Berhenti atau kurangkan pengambilan alkohol
  • Tidak terjebak dalam perlakuan seks bebas dan pengambilan dadah
  • Mengamalkan pemakanan sihat dan kurang kolesterol
  • Cakna dengan pengambilan ubat-ubatan

Akhir kata, penyakit hati adalah terma yang merangkumi pelbagai jenis penyakit dan punca. Dengan mengambil langkah-langkah pencegahan, pastinya banyak penyakit berkaitan dengan hati yang boleh dielakkan.


Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy