Ketahui Punca Rahim Kembang Pada Wanita, Ibu Hamil & Berpantang

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Mei 18, 2020

Soalan:
Salam sejahtera doktor. Saya Sarimah, baru sahaja melahirkan anak 2 hari yang lalu. Saya ada terbaca tentang masalah rahim kembang yang dialami wanita selepas bersalin. Masalah ini sangat serius rupanya kerana ia bukan sahaja menjejaskan badan wanita secara fizikal, tetapi boleh menyebabkan pendarahan selepas bersalin. Saya risau jika saya ada risiko komplikasi tersebut. Siapa sebenarnya yang mengalami rahim kembang ini, dan sebetulnya apa yang menyebabkan risiko rahim kembang berlaku. Selain itu, betulkah ais menyumbang kepada rahim kembang? Mohon pencerahan doktor ya. Terima Kasih.
Jawapan:
Terima Kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak DoctorOnCall. Saya sedia memberi pencerahan kepada anda tentang isu rahim kembang ini. Saya faham tentang kebimbangan anda mengenai masalah ini memandangkan anda baru sahaja melahirkan anak 2 hari yang lalu. Tahniah saya ucapkan. Untuk makluman anda, rahim kembang ialah masalah yang boleh berlaku pada wanita yang baru sahaja melahirkan anak atau wanita yang masih belum melahirkan anak. Namun, wanita yang baru sahaja bersalin, lebih berisiko tinggi untuk mengalami rahim kembang kerana keadaan rahim yang telah menegang dan membesar untuk menempatkan bayi sepanjang 9 bulan. Namin, bukan semua wanita yang bersalin berisiko untuk mengalami komplikasi ini. Saya akan jelaskan lebih lanjut tentang masalah rahim kembang ini.

Rahim kembang, adakah ia benar-benar merujuk kepada masalah rahim yang secara fizikalnya dalam keadaan kembang dan tidak mengecut? Ya, dalam erti kata mudah, sel otot rahim gagal untuk mengecut walaupun apabila hormon oxytocin yang berfungsi untuk mengecut dan memulakan kontraksi sewaktu bersalin dirembeskan. Seperti yang anda risaukan, jika ia berlaku pada wanita selepas bersalin, kondisi ini akan menyebabkan masalah serius seperti pendarahan setelah bersalin. Saya akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai persoalan yang sering diajukan oleh masyarakat umum iaitu cara merawat rahim kembang, rahim kembang tanda mengandung, petua kecutkan rahim, cara naikkan peranakan, dan tanda rahim jatuh. 

Selepas bayi dilahirkan, rahim akan mengecut dan mengetat untuk bersiap sedia mengeluarkan uri daripada rahim wanita. Pada masa yang sama, kontraksi ini juga akan mengecilkan saluran darah yang menghubungkan antara rahim dan uri. Hal ini mengurangkan pendarahan yang banyak atau peristiwa yang secara tradisionalnya dikenali sebagai tumpah darah. Jika saluran darah tidak di kecilkan kerana tiada otot rahim tidak mengecut, pendarahan akan berlaku sehingga boleh mengakibatkan antara penyumbang utama kematian kepada wanita yang baru sahaja bersalin. 

Maka, apakah yang berlaku jika anda mengalami rahim kembang? Apabila anda mengalami kondisi ini, otot rahim anda tidak mengecut. Anda mungkin mengalami risiko pendarahan selepas bersalin. Jika hal ini berlaku, anda akan melihat banyak darah keluar daripada faraj anda, anda akan merasa pening kerana tekanan darah anda rendah, jantung anda akan berdebar kencang, anda akan berasa sakit pada rahim, demam dan sakit pinggang.

Walaubagaimanapun, bukan semua wanita yang baru sahaja bersalin berisiko mengalami kondisi ini. Terdapat beberapa penyebab rahim kembang dan kurang mengecut selepas bersalin. Antaranya ialah:

  • Tempoh melahirkan bayi yang panjang

Apabila tempoh ini panjang, otot rahim telah letih sehingga tidak mampu mengecut. Hal ini menyebabkan masalah rahim kembang dan meningkat risiko pendarahan setelah bersalin

  • Tempoh melahirkan bayi yang terlalu singkat

Tempoh yang terlalu singkat pula menyebabkan otot rahim tidak sempat untuk mengecut. 

  • Rahim yang terlalu mengembang disebabkan masalah air ketuban berlebihan, kembar

Rahim yang terlalu kembang pula meningkatkan risiko kurang pengecutan otot rahim. Oleh itu, masalah rahim kembang berlaku

  • Penggunaan ubat menggalakkan kontraksi seperti Oxytocin

Walaupun, ia boleh digunakan sebagai salah satu rawatan rahim kembang, namun, ia juga berisiko mengakibatkan kondisi ini. Hal ini kerana, ubat ini berupaya meningkatkan kontraksi rahim sehingga rahim menjadi letih untuk mengecut selepas bersalin. 

Oleh itu,adakah anda berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan ini? Anda akan lebih berisiko tinggi untuk mengalami rahim kembang jika:

  • Hamil anak kembar
  • Bayi anda lebih besar daripada biasa
  • Anda menghidap obesiti
  • Air ketuban berlebihan dikenali sebagai Polyhydramnios
  • Melahirkan banyak anak

Jika doktor mengesyaki bahawa anda sedang alami rahim kembang, doktor akan menyukat jumlah pendarahan dengan menggunakan pad yang menyerap darah tersebut. Semakin banyak pad digunakan, semakin banyak pendarahan berlaku. Doktor juga akan memantau nadi, tekanan darah anda, sel darah merah dan macam-macam lagi. 

Rawatan utama rahim kembang adalah dengan menstabilkan pesakit dan berusaha menghentikan pendarahan. Pesakit akan diberi cecair melalui saluran darah, transfusi darah dan bahan pembeku darah. 

Doktor akan mengurut rahim dengan memasukkan tangan ke dalam rahim melalui faraj dan meletakkan sebelah lagi tangan pada atas perut serta mengurut rahim dari luar. Doktor juga akan memberi ubat mengecutkan rahim. Bagi kes yang teruk, pesakit mungkin akan dibawa ke dewan pembedahan untuk mengikat salur darah yang terjejas. Selain itu, doktor mungkin akan memasukkan bahan beku pada salur darah yang terjejas dan dalam kes yang jarang-jarang berlaku, doktor akan membuang rahim.

Jawapannya tidak sama sekali. Menurut doktor, tiada kajian yang membuktikan rahim kembang akibat minum ais. Ia hanya desas desus dan petua orang zaman dahulu kala. Namun, hal ini tidak bermakna ibu yang baru sahaja bersalin digalakkan makan atau minum ais.

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >