Dikemaskini pada: Jun 11, 2020
Selamat pagi Doktor. Saya Cik A berusia 26 tahun, seorang veterinar. Saya seorang yang sihat dan tiada penyakit kronik. Sejak sebulan yang lalu, terdapat ruam berwarna kemerahan yang timbul di bahagian dagu saya. Pada mulanya, saiz ruam tersebut agak kecil, lalu saya abaikan kerana menganggap ia ruam biasa. Tetapi sekarang, saiznya semakin besar. Kadang-kadang turut terasa gatal terutama ketika saya berpeluh dengan banyak. Sebelum ini, saya pernah menyapu ubat ‘cream’ yang dibeli secara online di bahagian tersebut untuk menghilangkan jerawat saya.Sekarang, jerawat telah hilang, tetapi ruam ini pula yang timbul. Saya juga risau kerana ada ahli keluarga saya yang menghidap penyakit psoriasis. Adakah saya turut mengalami penyakit yang sama atau mungkin penyakit kulit lain seperti kurap atau ekzema?
Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan gejala yang diceritakan, berkemungkinan besar anda sedang menghidapi penyakit kulit yang dsebabkan oleh jangkitan kulat. Di Malaysia, penyakit ini turut dikenali sebagai kurap (Ringworm). Ia boleh berlaku atas beberapa faktor, dan sesetengah orang lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini. Beberapa ujian perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mengesahkan diagnosis kurap. Sekiranya betul, anda perlu mendapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor untuk merawat dan mencegah penyakit ini daripada berulang semula.
Kurap atau nama lainnya ‘ringworm’ merupakan sejenis jangkitan kulat yang berlaku pada kulit manusia. Dalam dunia perubatan, kurap turut dikenali sebagai ‘tinea’. Kawasan yang sering dijangkiti termasuklah kulit kepala, kemaluan, dan kaki. Selain itu, rambut dan kuku juga boleh terkena jangkitan kulat.Kebiasaannya, kurap tidak terjadi kepada manusia yang sihat. Sebaliknya, mereka yang lemah sistem imun tubuh badan berisiko untuk mendapat penyakit ini. Sebagai contoh, orang tua, kanak-kanak, penghidap kencing manis, pesakit kegagalan buah pinggang, HIV, dan AIDS.
Simptom yang terjadi dalam kurap banyak bergantung kepada sistem imun seseorang selain daripada kawasan yang terlibat sama ada jangkitan di kepala, kaki, alat sulit, kuku, dan sebagainya. Secara umumnya, gejala yang biasa berlaku ialah:
Ruam Kurap
Walaupun kurap banyak terjadi terutamanya di negara-negara dunia ketiga, namun untuk mengesahkan diagnosis penyakit ini memerlukan pemerhatian yang tinggi. Ini kerana gejala kurap seperti ruam selalunya tidak ketara, selain daripada bentuk ruam yang seakan-akan sama dengan beberapa penyakit lain. Antaranya:
Ujian darah tidak membantu dalam kebanyakan kes jangkitan kurap kerana kulat tidak masuk ke dalam darah dan sekadar berada di permukaan kulit. Pada kebanyakan masa, ujian yang dilakukan adalah ‘skin scraping’, iaitu mengikis sedikit kulit yang dijangkiti untuk dilihat sampelnya di bawah mikroskop.
Terdapat juga satu lagi cara iaitu ‘skin culture’, dimana bahagian kulit yang telah terjangkit akan diambil dan disimpan di dalam makmal selama beberapa hari untuk membiakkan kulat. Cara ini lebih panjang dan memakan masa serta tidak dilakukan melainkan tiada keputusan muktamad daripada kaedah ‘skin scraping’.
Setelah diagnosis disahkan, rawatan akan dimulakan oleh doktor. Kaedah ubati bergantung kepada luas kawasan yang telah dijangkiti, kurap yang berulang, atau yang tidak sembuh setelah menerima rawatan pertama.
Sekiranya kawasan yang dijangkiti kecil dan terhad pada satu kawasan, maka ubat sapu krim akan diberikan. Contohnya ‘clotrimazole’, ‘miconazole’, ‘terbinafine’, atau ‘amorolfine’. Ubat ini perlu disapu pada kawasan yang dijangkiti selama beberapa kali sehari selama 2 ke 4 minggu bergantung kepada ubat.
Sekiranya kawasan yang terlibat lebih besar, merebak, atau tidak berjaya dirawat dengan ubat krim, maka ubat dalam bentuk pil atau kapsul akan diberikan. Antaranya ialah ‘itraconazole’ dan ‘terbinafine’. Ubat oral ini perlu diambil dalam jangka masa yang lebih panjang, bermula dari sebulan hingga ke 6 bulan bergantung kepada bahagian badan yang terlibat.
Pastikan nasihat daripada doktor adalah jelas berkenaan kesan sampingan ubatan serta elakkan daripada mengambil ubat tanpa arahan doktor.
Jangkitan kurap tidak serius serta jarang merebak sehingga memasuki dalam badan. Mereka yang berisiko untuk mendapat komplikasi ialah golongan yang lemah sistem imun. Rawatan buat mereka juga mengambil masa yang lebih panjang.
Selain orang tua, kanak-kanak, dan mereka yang lemah sistem imun tubuh badan, beberapa golongan lain juga turut berisiko untuk mendapat jangkitan kulat. Hal ini kerana mereka lebih kerap terdedah kepada sumber penyakit sama ada melalui pekerjaan ataupun pengambilan ubatan. Selain itu, kurangnya penjagaan kebersihan turut menjadi salah satu risiko.
Kumpulan ini termasuklah:
Langkah pencegahan amat penting supaya penyakit ini tidak terkena atau berulang kembali, terutamanya kepada golongan yang berisiko di atas. Antaranya adalah seperti yang di bawah:
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau keraguan, anda boleh mendapatkan nasihat daripada para doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my. Terima kasih.
Rujukan
Soalan berkenaan - ubat kurap, punca kurap, gejala kurap
Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my