Apakah Penyebab Dan Gejala Sakit Bawah Perut (Lower Abdominal Pain)?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Mac 29, 2021

Sulit
Selamat pagi, doktor. Saya berumur 38 tahun dan sedang berkerja sebagai seorang guru. Saya sedang mengalami sakit bawah perut dan pendarahan faraj selama 1 minggu. Tempoh haid terakhir saya ialah 2 minggu yang lalu. Saya juga mengalami sakit ketika hubungan seksual. Suami saya memberitahu saya bahawa saya telah turun berat badan secara drastik walaupun saya tidak perasan kehilangan berat badan. Saya rasa sentiasa letih. Kadangkala, saya juga mengalami masalah sembelit dan perubahan tabiat buang air kecil. Ini adalah kali pertama saya mengalami gejala-gejala ini. Saya tidak pernah masuk wad untuk tujuan lain kecuali untuk melahirkan anak.Saya sudah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak. Saya telah menjalani pemeriksaan ‘pap smear’ selepas melahirkan kedua-dua anak saya dan keputusannya negatif. Tetapi, saya tidak menjalani pemeriksaan tersebut selepas itu. Saya juga tidak pernah menjalani pemeriksaan seluruh badan.Ibu saya telah meninggal dunia kerana kanser payu dara 2 tahun yang lalu. Ibu saya pernah memberitahu bahawa sebelum nenek sebelah ibu meninggal dunia, beliau pernah mengalami gejala-gejala yang saya sedang mengalami sekarang, tetapi tidak dapat mengenalpasti apakah penyakit yang dihadapinya. Adik-beradik perempuan saya semua sihat dan tidak ada masalah serupa saya. Saya amat risau tentang keadaan saya sekarang sehingga saya tidak dapat berkerja seperti dulu. Anak-anak saya masih bersekolah. Boleh doktor terangkan apakah masalah yang saya sedang hadapi dan cara untuk mengatasinya?
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih untuk soalan anda. Berdasarkan gejala-gejala yang dinyatakan, ada kemungkinannya sakit bawah perut dan pendarahan faraj adalah berkaitan dengan kanser ovari. Walaubagaimanapun gejala tersebut boleh berkait dengan penyakit-penyakit lain. Beberapa pemeriksaan harus dijalankan untuk mengenalpasti penyakit yang anda alami dengan tepat. Saya nasihatkan puan untuk merujuk kepada doktor dengan segera untuk mendapati rawatan yang mencukupi sebelum keadaan puan semakin merosot.


Terdapat banyak penyebab sakit perut bahagian bawah. Punca-punca sakit perut bahagian bawah boleh dibahagikan kepada keadaan berkaitan reproduktif, sistem perkumuhan, perut dan usus. Antara penyebab sakit perut bahagian bawah adalah:

Keadaan berkaitan perut dan usus:

  • sembelit

  • gastroenteritis

  • sindrom iritasi usus

  • divertikulitis

  • penyakit Crohn’s

  • usus buntu

  • penyakit refluks gastroesophageal

  • kolitis

  • ileus

  • penyakit lambat mengosongkan perut

  • Angin pasang (hernia)

  • apendiks

Keadaan berkaitan organ reproduktif:

  • senggugut

  • kehamilan

  • endometriosis

  • sindrom pramenstruasi

  • ”cyst” ovari

  • fibroid rahim

  • kanser ovari

  • kanser pangkal rahim

  • kehamilan ektopik

  • penyakit radang pelvis

Perkumuhan

  • Jangkitan saluran kencing

  • Batu karang di saluran air kencing


Seperti yang dinyatakan di atas, penyebab-penyebab tersebut akan dipertimbangkan apabila seorang wanita mengadu sakit perut bahagian bawah. Kebiasaannya, sakit perut bahagian bawah untuk wanita adalah penyakit berkaitan organ reproduktif seperti rahim, ovari, pangkal rahim, faraj dan tiub fallopian.

Berikut adalah gejala-gejala biasa yang diadukan kepada doktor:

a. Senggugut yang terlampau ketika haid

b. Pendarahan faraj

c. Sembelit

d. Sakit dan sukar untuk membuang air kecil

e. Sakit ketika hubungan seksual

f. Perut kembung

Antara penyebab dan tanda-tanda penyebab adalah:

  • Kehamilan - melangkau tempoh haid, pendarahan sedikit, kekejangan, rasa loya, kemuntahan, perubahan emosi, perubahan payudara, keinginan makanan, rasa lemah, cepat letih.

  • Endometriosis - sakit yang terlampau ketika haid, sakit ketika hubungan seksual, sakit ketika membuang air kecil atau air besar, pendarahan yang terlampau ketika haid, kemandulan, keletihan, perut kembung.

  • Sindrom pramenstruasi - keletihan, perubahan emosi, perut kembung, perubahan berat badan, jerawat, kesakitan payudara, perubahan tidur, perubahan makan.

  • “Cyst”ovari - perut kembung, sakit ketika hubungan seksual, sakit ketika pergerakan usus, sakit perut ketika haid, rasa loya, kemuntahan.

  • Fibroid rahim - pendarahan yang banyak ketika haid, tempoh haid lebih daripada seminggu, kerap kencing, sukar untuk mengosongkan pundi kencing, sembelit, perut kembung.

  • Kanser ovari - senak atau rasa loya yang berterusan, sakit ketika hubungan seksual, perubahan tabiat usus, pendarahan faraj terutamanya pendarahan selepas menopaus, sentiasa letih, turun berat badan yang tidak sengaja.

  • Kanser pangkal rahim - pendarahan yang tidak normal (seperti pendarahan antara haid, selepas seks, selepas ujian pelvis, atau selepas menopaus), discaj yang tidak normal dalam jumlah, warna, konsistensi, atau bau, kerap kencing, sakit ketika kencing.

  • Kehamilan ektopik - rasa loya and kemuntahan, sakit perut yang tajam, kelemahan, kepeningan, sakit tajam di bahu, demam.

  • Penyakit radang pelvis - discaj faraj yang terlampau dengan bau yang tidak menyenangkan, pendarahan yang tidak normal (seperti pendarahan semasa dan selepas seks, antara haid), demam dan menggigil.


Doktor harus dirujuk dengan segera jika mengalami perut kembung atau sakit perut bersama gejala berikut:

  • tidak upaya untuk kentut

  • kemuntahan yang terlampau

  • demam

  • muntah darah

  • najis berdarah

  • discaj faraj yang tidak normal

  • sakit perut yang semakin teruk

Jika gejala-gejala ini berlarutan lebih daripada dua hari atau menjejaskan kehidupan seharian, anda harus jumpa doktor dengan secepat yang mungkin supaya penyakit anda boleh dikenalpasti pada tahap awal dan dirawat dengan rapi.



Untuk mengenalpasti penyakit yang dihadapi dengan tepat, gejala-gejala yang dialami tidak mencukupi. Maka, beberapa ujian harus dijalankan. Antaranya:

  • pemeriksaan air kencing untuk mengetahui jika ada jangkitan kuman saluran kencing dan mengesahan kehamilan.

  • sampel discaj atau lendiran faraj boleh didapatkan jika mengalami discaj atau pendarahan faraj yang tidak normal. Discaj tersebut akan dikaji dibawah mikroskop untuk mengetahui perubahan sel dan tisu yang tidak normal.

  • pemeriksaan darah boleh dibuat untuk mengenalpasti kekurangan darah, jangkitan kuman atau fungsi buah pinggang yang tidak normal. Pemeriksaan ini juga boleh digunakan untuk mengenalpasti penyakit kanser melalui penanda kanser seperti CA-125 untuk kanser ovari. Penanda “beta-hCG” boleh mengenalpasti kehamilan ektopik.

  • pemeriksaan ultrasound perut dan pelvis boleh dibuat untuk mengenalpasti tumbuhan atau struktur organ yang tidak normal. Ciri-ciri tumbuhan juga boleh dikenalpasti melalui ultrasound dan rawatan yang sesuai untuk penyakit tersebut boleh dicadangkan oleh doktor. Kehamilan ektopik boleh dikenalpasti dengan ciri-ciri seperti kantung dan aktiviti jantung bayi diluar rahim.


Semasa jumpa doktor untuk rawatan, doktor akan bertanya beberapa soalan untuk mengenalpasti penyakit yang dihadapi berdasarkan gejala-gejala yang dialami dalam jangka masa tertentu. Antara beberapa rawatan yang boleh dipertimbangkan berdasarkan penyakit-penyakit berikut adalah:

  • usus buntu boleh dirawat dengan cecair intravena, tiub nasogastrik, rehatkan usus dan kadangkala memerlukan pembedahan.
  • apendiks pecah memerlukan pembedahan segera dan ubat tahan sakit dan antibiotik selepas pembedahan.
  • gastroenteritis bakteria, colitis atau penyakit radang pelvis memerlukan ubat antibiotik dan tahan sakit.
  • senggugut semasa haid boleh dirawat dengan ubat “over-the-counter” seperti ubat tahan sakit.
  • penyakit kanser memerlukan kemoterapi dan radioterapi berdasarkan tahap kanser tersebut. Tahap tinggi penyakit kanser selalunya diberi penjagaan paliatif dan sokongan moral amat penting.
  • wanita dinasihatkan untuk mendapati vaksin kanser serviks. Vaksin ini juga boleh mengelak ketuat kemaluan dan kanser faraj dan vulva. Vaksin ini memberi perlindungan terhadap virus yang mengakibatkan penyakit-penyakit yang dinyatakan, iaitu “human papillomavirus (HPV)”.

Sakit bawah perut boleh juga dirawati di rumah jika gejala sesuatu penyakit tidak membimbangkan atau terlalu serius:

  • senaman untuk kurangkan perut kembung. Senaman harus dibuat selama 30 minit sekurang-kurangnya 5-7 hari seminggu. Jenis senaman harus disesuaikan dengan kemampuan diri.
  • minum banyak air untuk masalah sembelit. Air kosong harus diminum sekurang-kurangnya 2 liter sehari.
  • ubat “over-the-counter” untuk masalah sakit perut ketika haid, pedih ulu hati atau refluks asid.
  • lebihkan sayuran dan buahan dalam diet harian untuk mengelakkan masalah sembelit.

Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan, sila merujuk kepada doktor anda. Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada para doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my.

Terima kasih.


Rujukan

Konsultasi Doktor Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80


Soalan berkenaan - sakit perut, kembung perut sebelah kiri, sakit perut kiri bawah, sakit pinggang sebelah kiri, perut kembung dan keras

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Kategori


Alahan (13) Anemia (37) Asid Refluks (24) Asthma (12) Badan Gemuk (26) Batuk (203) Benjolan Di Kulit (286) Bisul (62) Buasir (192) Cara Berhenti Merokok (37) Chlamydia (10) Cirit Birit (47) Darah Nifas (14) Darah Tinggi (148) Dehidrasi (2) Demam (571) Derma Darah (14) Ejakulasi Pramatang (184) Ekzema (14) ENT (917) Fibroid (27) Gallstone (3) Gastrik (41) Gigi & Gusi (448) Gonorea (58) Haid Berlebihan (146) Haid Berpanjangan (739) Haid Lewat (1643) Haid Sakit (188) Haid Tidak Teratur (1993) Hepatitis A (3) Hepatitis B (38) Hepatitis C (10) Herpes (75) Hipotensi (17) HIV (300) HPV (38) Insomnia (75) Jangkitan Coronavirus (2657) Jerawat (161) Kahak (83) Kandidiasis (7) Kebas (236) Keguguran (110) Kehamilan (1846) Kencing Manis (194) Keputihan (653) Keputusan Siasatan (42) Keracunan Makanan (15) Kesihatan Am (4771) Kesihatan Am Wanita (398) Kesihatan Kanak-Kanak (820) Kesihatan Rambut (96) Kesihatan Seksual (1977) Ketuat (54) Kolesterol Tinggi (63) Kulat di Faraj (140) Kurang Berat Badan (65) Kurang Selera Makan (43) Kurap (40) Kutu (5) Lebam (5) Makanan Tambahan (51) Masalah Buah Pinggang (53) Masalah Kencing (879) Masalah kesuburan (6) Masalah Peluh (65) Masalah Penglihatan (15) Masalah Psikiatri (475) Masalah Tangan Dan Kaki (340) Masalah Tidur (65) Mati Pucuk (307) Migrain (44) Mual & Muntah (90) Mulut Berbau (16) Najis Abnormal (236) Najis Berdarah (123) Pedih Ulu Hati (69) Pelindung muka (3) Pencegahan Koronavirus (59) Pendarahan Coklat (134) Pendarahan Spotting (157) Penerangan Penyakit (38) Pening Kepala (82) Penuaan (6) Penyakit Jantung (216) Penyakit Kelamin (1055) Penyakit Kulit (1534) Perancangan Keluarga (1030) Pil Perancang Kecemasan (528) Pitam (78) Prosedur Perubatan (103) Psoriasis (16) Sakit Badan (574) Sakit Belakang (120) Sakit Dada (903) Sakit Kepala (1192) Sakit Lutut (176) Sakit Mata (290) Sakit Mulut (74) Sakit Otot (35) Sakit Payudara (356) Sakit Perut (1408) Sakit Pinggang (157) Sakit Tekak (550) Sakit Telinga (67) Sakit Tulang (80) Sakit Tumit (71) Selsema (32) Selsema burung (5) Sembelit (97) Sendawa (23) Sesak Nafas (661) Sifilis (107) Sinusitis (35) Strok (35) Tidak Datang Haid (100) Tidur Berdengkur (7) Tiroid (165) Tonsil (76) Trauma (6) Ubat-Ubatan (472) Ujian Kehamilan (495) Ulser mulut (20) URTI (107) Vaksin COVID-19 (14) Vitamin dan Nutrisi (87) Wabak bubonic (4)