Seperti yang dinyatakan di atas, sakit dada sebelah kanan atau kiri berkemungkinan bermakna ia adalah kerana sakit jantung atau penyakit lain yang serius. Penyakit ini perlu diberi perhatian kerana ia boleh membahayakan kesihatan dan nyawa anda secara mengejut. Anda sangat digalakkan untuk terus berjumpa doktor sekiranya mempunyai sakit dada yang berterusan atau yang memenuhi ciri-ciri sakit dada angina.
Antara ciri-ciri sakit dada angina ialah rasa berat atau menekan di dada , sakit dada datang ketika sedang melakukan aktiviti fizikal dan hilang apabila berehat. Setelah mendapat pemeriksaan dari doktor, kemungkinan penyakit serius boleh dikesan dengan bantuan pemeriksaan fizikal dan ujian makmal. Sekiranya anda ke klinik dan mendapati bahawa sakit dada anda ialah bukan kerana sakit jantung, ini juga akan menenangkan fikiran anda. Oleh itu, berjumpa dengan doktor sekiranya anda merasakan sakit dada mengganggu urusan harian anda.