Salam sejahtera, apa khabar doktor? Nama saya Muhammad dan saya berumur 34 tahun. Terlebih dahulu, ingin saya jelaskan bahawa saya mewakili ayah saya yang berumur 52 tahun untuk bertanyakan soalan ini. Sejak sebulan yang lalu, ayah saya sering mengadu beberapa simptom yang berkaitan dengan membuang air kecil, iaitu beliau merasakan bahawa kencing yang tidak lawas, susah untuk memulakan pengaliran kencing serta kerap kali bangun malam untuk kencing. Adik saya yang juga merupakan seorang pembantu doktor ada mengatakan bahawa masalah ini mungkin berpunca daripada kelenjar prostat yang membengkak. Organ tersebut kedengaran agak asing bagi saya, maka bolehkah doktor terangkan dengan lebih lanjut berkenaan dengan organ prostat.
Tahniah kerana mengambil inisiatif tepat untuk bertanyakan soalan ini bagi pihak ayah anda. Oh ya, khabar saya baik-baik sahaja dan semoga Muhammad sihat hendaknya. Terus kepada jawapan untuk soalan anda, saya agak bersetuju dengan pendapat bahawa masalah ini bersangkut-paut dengan organ prostat. Namun harus juga diingat bahawa masalah ini boleh berpunca daripada fenomena lain seperti jangkitan kuman pada pundi kencing, trauma kepada saluran kencing serta parut pada uretra. Memandangkan ramai yang kurang arif berkenaan dengan organ ini, ada baiknya saya menjelaskan dengan lebih lanjut kerana bak kata pepatah, “tak kenal, maka tak cinta”.
Pernahkah anda meilhat ataupun mencuba kacang walnut walau hanya sekali ? Jika pernah, pastinya mudah bagi anda untuk membayangkan bentuk prostat kerana rupanya seakan-akan sama dengan kekacang tersebut. Seperti halkum, organ ini hanya dijumpai pada kaum lelaki dan terletak di bawah pundi kencing serta mengelilingi saluran yang menyalurkan air kencing. Organ ini pula bersambung dengan tiub vas deferens yang menyalurkan sperma dari testis. Ketika ejakulasi, prostat akan mengecut dan sekawanan sperma yang melalui organ tersebut akan disaluti dengan cecair prostat. Maka afdallah bahawa organ ini hanya dijumpai pada kaum Adam kerana kaum ini sahaja yang menghasilkan sperma.
Setiap organ pasti ada fungsinya yang tersendiri, bagi prostat pula ia penting dalam menghasilkan cecair prostat atau nama timangannya jus prostat. Jus ini bertanggungjawab dalam memberikan nutrien kepada sperma dalam memastikan ia selamat sampai ke destinasi dan boleh disenyawakan. Untuk pengetahuan am, cecair prostat mengandungi beberapa enzim serta zat penting seperti asid citrus dan zinc.
Bayangkan situasi di mana pundi kencing masih berasa penuh walau setelah penat meneran untuk menitiskan air kencing. Hal ini dirumitkan lagi dengan bangun malam-malam buta, menyeret badan hanya untuk mengalirkan kencing yang keluar bagaikan hidup segan mati tak mahu. Situasi membuntukan ini amatlah menganggu kualiti kehidupan seseorang. Ekoran itu, gejala awal penyakit prostat perlu untuk dikenalpasti agar masalah ini dapat ditangani dari akar umbi. Antara simptom yang boleh menimpa pesakit adalah seperti berikut:
Seperti yang telah dimaklumkan pada awal penulisan, penyakit bersangkut paut dengan pembengkakan kelenjar ini berlaku pada insan yang berumur iaitu secara puratanya 50 tahun ke atas. Secara amnya, setiap lelaki menghasilkan hormon testosterone yang mana akan ditukarkan kepada dihydrotes-tosterone (DHT). DHT ini pula akan bertindak balas dengan tisu pada organ prostat yang mana akan meransang pembesarannya. Hatta, semakin meningkat umur seseorang, semakin lama mereka terdedah kepada hormon ini dan akhirnya menyebabkan ‘kacang walnut’ tersebut bertambah saiznya. Pembesaran kelenjar ini akan memberikan tekanan pada saluran uretra dan akhirnya mengundang kepada simptom yang baru sahaja saya kupas pada mukadimah artikel ini. Obat prostat farmasi yang selalunya diberikan pada pesakit adalah seperti Alpa-Blocker yang bertujuan untuk merehatkan otot prostat dan juga saluran pundi kencing. Selain itu, ubat Finasteride juga diberikan untuk mengurangkan simptom seperti kencing tidak lawas.
Bagi yang selalu mengintai ruangan ilmiah DoctorOnCall ini, pastinya sudah sebati dengan terma keradangan. Asal sahaja sakit, pastinya ada keradangan dan punca bagi keradangan adalah pelbagai namun yang paling lazim ialah jangkitan kuman. Keradangan yang disebabkan oleh jangkitan berlaku dengan mudah apabila air kencing yang kaya dengan bacteria memasuki atau terkena pada prostat. Simptom bagi sakit ini mungkin bertindan dengan simptom pembengkakan prostat namun ditambah dengan gejala, sakit ketika kencing, darah dalam kencing serta simptom am seperti demam. Obat prostat tradisional sering menjadi pilihan kerana mudah untuk didapati namun, beringatlah bahawa antibiotik merupakan penawar terbaik dalam membunuh bakteria tersebut.
Kalau diteliti bancian tentang kanser prostat, ia menjuarai tangga teratas jenis kanser yang kerap dialami oleh lelaki. Selain menunjukkan simptom seperti di atas, pesakit juga akan mengalami simptom am seperti penurunan berat badan dan kurang selera makan. Jika kanser ini tidak dibendung pada peringkat awal, masalah penyebaran sel kanser ke organ terutamanya tulang belakang akan berlaku dan akhirnya pesakit akan mengadu sakit belakang. Namun jangan gelabah kerana kanser prostat boleh sembuh dan merupakan antara kanser yang memiliki jangka kesembuhan yang paling memberansangkan.
Setiap masalah hendaklah ditangani dengan segera dan begitulah juga terhadap sakit bengkak pada prostat. Jika masalah ini dibiarkan berlarutan, banyak komplikasi yang tidak sepatutnya timbul. Keadaan ini juga menjadi inidikator bahawa seseorang mungkin memerlukan rawatan susulan segera yang lebih terperinci. Antara komplikasi yang boleh timbul adalah seperti berikut:
Kami, dari laman (DoctorOnCall) amat mengalu-alukan sebarang pertanyaan ataupun konsultasi secara atas talian untuk berbincang tentang masalah kesihatan terutamanya berkenaan dengan isu ini iaitu prostat. Jangan malu, jangan segan, kami sedia membantu anda.
Rujukan
Soalan berkenaan - tanda sakit prostat, ubat prostat farmasi, gejala awal penyakit prostat, kanser prostat boleh sembuh, obat prostat tradisional
Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my