Sakit kepala di sebelah kiri ada banyak penyebab, seperti :
Sakit kepala disebabkan oleh Ketegangan (Tension headache)
Migrain
Sakit kepala kluster
Sakit kepala harian yang kronik
Penyalahgunaan ubat
Sakit kepala kerana masalah berkaitan gigi atau gusi
Sakit kepala disebabkan kafein
Sakit kepala kerana sinus
Sakit kepala semasa haid
Ini adalah penyebab sakit kepala yang paling biasa dialami oleh semua orang.
Sakit kepala disebabkan ketegangan (Tension Headache)
Sakit kepala jenis ini adalah yang paling lazim. Sakit kepala ini menghantui seramai 75% orang dewasa. Anda mungkin akan berasa seperti tali diikat ketat sekeliling kepala dan tekanan boleh dirasai di kedua-dua belah kepala. Sakit kepala ini sering terjadi dalam kalangan pelajar kerana mereka terlalu stres semasa belajar. Pesakit akan merasakan sakit yang berterusan ataupun sakit yang berdenyut di satu belah kepala ataupun di bahagian belakang kepala. Sakit ini boleh dirasai sepanjang hari ataupun apabila anda mengalami stres yang berlebihan seperti waktu peperiksaan ataupun apabila keputusan peperiksaan keluar. Pencetus boleh merangkumi tekanan, kebimbangan ataupun posisi badan yang buruk.
Migrain
Sakit kepala ini lebih biasa dialami oleh wanita daripada lelaki. Migrain boleh menyebabkan kesakitan yang sederhana hingga teruk dan biasanya berdenyut. Simptom seperti loya, muntah, atau sensitif terhadap cahaya atau bunyi. Sakit ini boleh bertumpu hanya pada satu sisi kepala atau mungkin kedua-dua belah kepala. Sakit ini juga akan menjejaskan aktiviti harian. Kalau tidak dirawat, ini boleh berlanjutan antara 4 hingga 72 jam.
Sakit kepala migrain dibahagikan kepada dua kategori. Migrain dengan aura dan migrain tanpa aura. Sesetengah orang mengalami sakit kepala beserta aura, yang boleh bertahan sekitar 10 hingga 30 minit. Aura biasa termasuk gangguan visual seperti bintik-bintik hitam, kilauan zigzag, dan percikan cahaya. Aura biasanya hilang apabila sakit kepala bermula, tetapi ada beberapa pertindihan. Kadang-kadang aura akan berlaku tanpa sakit kepala tetapi seringkali tidak ada aura berlaku sebelum sakit kepala.
Sakit kepala kluster (Cluster Headache)
Sakit kepala kluster jarang berlaku tetapi amat menyakitkan. Sakit kepala ini mendapat namanya kerana sakit ini berlaku dalam kluster seperti sakit kepala sepanjang tempoh beberapa hari atau minggu. Sakit kepala sebelah kiri atau kanan ini berjangka masa pendek selama 15 minit ke 3 jam tetapi tahap kesakitannya tinggi. Sakit kepala kluster berulang-ulang, sekerap beberapa kali setiap hari, dalam tempoh masa tertentu dan kemudian boleh diikuti dengan tempoh bebas sakit kepala selama beberapa bulan ataupun tahun. Mata mungkin keerahan atau berair semasa episod sakit kepala. Lebih kerap terjadi dalam kalangan lelaki berbanding wanita. Pencetus merangkumi pengunaan alkohol, merokok, berada di tempat yang tinggi, dan makanan tertentu.
Sakit kepala harian yang kronik (Chronic Daily Headache)
Migrain dan juga sakit kepala kerana ketegangan adalah contoh sakit kepala harian yang kronik. Jenis-jenis sakit kepala ini diklasifikasikan oleh kekerapan dan tempoh mereka terjadi. Sakit kepala jenis ini dikelaskan sebagai kronik kerana ia berlaku sekurang-kurangnya 15 hari setiap bulan untuk sekurang-kurangnya 6 bulan. Gejala dan ciri-ciri berbeza antara jenis-jenis sakit kepala harian kronik dan dari semasa ke semasa. Biasanya sakit kepala kronik dijelaskan sebagai sakit berdenyut, hanya tertumpu pada satu bahagian kepala dan diibaratkan seperti kepala sedang diperah.
Hubungi doktor anda atau dapatkan bantuan kecemasan jika:
Kesakitan sakit kepala yang dialami adalah yang paling teruk dalam hidup anda
Anda telah mengalami perubahan dalam pola sakit kepala anda.
Sakit kepala membuatkan anda terjaga pada waktu malam.
Sakit kepala bermula selepas trauma atau kecederaan pada kepala.
Sakit kepala berserta kekeliruan, demam, kabur penglihatan atau kurang pendengaran, kekejangan, atau tidak sedarkan diri.
Penyalahgunaan Ubatan
Sakit kepala juga boleh disebabkan anda menggunakan ubat tahan sakit, ubat selesema atau ubatan lain secara berlebihan iaitu untuk jangka masa lebih daripada 2-3 kali seminggu. Keadaan ini dinamakan “rebound headache” yang disebabkan oleh penyalahgunaan ubat.
Antara ubat-ubatan yang boleh mengakibatkan sakit kepala sedemikian adalah ubat cair darah (aspirin), ubat tahan sakit (Ibuprofen, Tramadol, Oxycodone), ubat migrain (Sumatriptan) dan lain-lain lagi. Jikalau anda mengambil ubat - ubat ini secara berterusan dan berhenti secara tiba - tiba anda akan mengalami sakit kepala jenis ini. Anda akan alami sakit kepala sebelah kiri atau kanan. Anda boleh mengelak sakit kepala jenis ini dengan mengambil ubat hanya bila diberitahu oleh doktor dan untuk jangka masa yang tertentu. Jikalau anda sudah mengambil ubat untuk jangka masa yang panjang anda boleh mengurangkan dos sedikit setiap hari dan menghentikannya dengan perlahan,dan bukan secara tiba-tiba.
Sakit kepala kerana masalah berkaitan gigi (Dental Headache)
Sakit kepala kerana masalah pergigian boleh berlaku tidak kira kumpulan umur. Masalah pergigian seperti karang gigi, jangkitan gusi, gigi reput dan juga gigi bongsu (wisdom tooth) boleh menyebabkan sakit kepala sebelah kiri atau kanan mengikut lokasi masalah tersebut.
Sakit kepala kerana kafein (Caffeine Headache)
Sakit kepala ini adalah kerana anda minum terlalu banyak kopi, teh atau minuman lain yang mengandungi kafein. Apabila anda tidak minum minuman tersebut pada masa yang sama setiap hari anda akan mengalami sakit kepala ini. Sakit ini boleh dialami di sebelah kiri atau kanan atau dua- dua belah. Penyebab sakit ini adalah kerana anda sudah menjadikan badan anda ketagih terhadap kafein dan jikalau anda tidak minum minuman yang mengandungi kafein badan anda mengalami kekurangan kafein dan sakit kepala akan bermula. Anda boleh mengurangkan kuantiti kafein yang diminum setiap hari ataupun anda perlu memastikan anda minum kafein tersebut pada masa yang sama setiap hari.
Sakit kepala sinus
Sakit kepala sebelah kiri juga boleh disebabkan oleh masalah sinus.
Gejala seperti sakit pada bahagian tengah muka berdekatan hidung, hidung tersumbat, dan mata berair juga boleh dialami. Sakit kepala sinus berkait rapat dengan jangkitan sinus dan hadir dengan keluarnya hingus berwarna hijau atau berwarna merah. Anda perlu membezakannya dari sakit kepala migrain.
Sakit kepala semasa haid
Sakit kepala semasa haid boleh berlaku kerana penurunan hormon estrogen secara tiba-tiba. Keadaan ini biasanya berlaku tiga hari sebelum dan dua hari selepas haid anda bermula. Wanita lain mungkin mengalami sakit kepala yang berkaitan dengan PMS. Ini berlaku kira-kira enam hari atau lebih sebelum haid anda, pada masa yang sama gejala seperti keresahan, atau kekejangan boleh berlaku. Anda boleh berbincang dengan doktor untuk mengetahui penyebab sakit kepala yang lain.