Apa Beza Epilepsi Dalam Budak Dan Dewasa? Adakah Gangguan Otak Ini Sama?

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Jun 2, 2020

Soalan:

Hi doktor, saya seorang isteri kepada suami yang menerima rawatan bagi masalah sawan sejak usia remaja. Alhamdulillah, keadaan dia telah banyak bertambah baik berbanding dengan peringkat awal dan dia tidak mempunyai sebarang kecacatan mental. 3 bulan yang lepas, saya melahirkan anak lelaki, Zadri yang sihat dan comel. Tetapi pada minggu lepas, dia menghidapi demam panas serta sawan sebanyak 3 kali dan setiap sawan ini berlarutan selama 30 saat! Kami membawa Zadri ke hospital dengan segera untuk mendapatkan rawatan. Selepas kembali ke rumah, suami saya menyalahkan diri sendiri kerana dia ingat dialah yang mewariskan sawan ini kepada anak kami. Oleh itu, saya mohon doktor boleh terangkan adakah sawan ini adalah penyakit warisan dan adakah sawan anak sama dengan suami saya? Terima kasih!

Jawapan:

Selamat sejahtera puan dan terima kasih atas soalan yang diajukan. Berdasarkan keterangan anda, suami anda mempunyai masalah sawan berterusan yang digelar sebagai Epilepsi. Epilepsi boleh disebabkan oleh pelbagai punca termasuklah faktor genetik, tetapi dalam kebanyakan kes, puncanya tidak dapat dikesan. Pada pendapat saya, sawan yang dihidapi anak anda berkemungkinan adalah jenis sawan demam (febrile seizure) yang selalunya disebabkan oleh jangkitan. Jenis sawan ini adalah sangat jarang berlaku dalam orang dewasa, oleh itu, ia berkemungkinan besar berlainan dengan jenis sawan yang dihidapi oleh suami anda. Sebagai doktor, saya perlu mendapatkan informasi yang lebih terperinci dan membuat pemeriksaan untuk memberi diagnosa yang tepat. Saya akan mencuba sedaya upaya untuk menjelaskan persoalan puan dalam artikel di bawah.

Apa Itu Epilepsi Dan Mengapa Epilepsi Berlaku?

Epilepsi adalah satu penyakit di mana sawan yang dialami oleh pesakit ini berlarutan dan berlaku dengan kerap. Ia juga dikenali ramai dengan nama sawan babi. Epilepsi berlaku kerana gangguan aktiviti elektrik pada sel-sel saraf dalam otak di mana isyarat yang dihasilkan menjadi terlalu kerap dan cepat. Signal yang tidak normal ini boleh menjejaskan fungsi otak yang mengawal tubuh badan kita, menyebabkan kekejangan otot, hilang kesedaran atau menunjukkan tingkah laku yang pelik. 

Dalam kebanyakan kes, puncanya tidak dapat dijumpai. Gangguan ini boleh disebabkan oleh banyak punca seperti:

  • Faktor genetik.
  • Cedera pada otak (semasa kandungan) akibat kekurangan oksigen.
  • Cedera pada otak (selepas kelahiran).
  • Jangkitan pada struktur otak.
  • Ketumbuhan dalam otak.
  • Masalah saluran darah dalam otak.
  • Angin ahmar (Strok).
  • Penyakit hati.
  • Systemic Lupus Erythematous (SLE).
  • Penyakit kerosotan otak seperti Penyakit Alzheimer.
  • Kesan sampingan ubat-ubatan seperti cyclosporin, lithium atau SSRI.
  • Gejala berhenti daripada bahan ketagihan.

Dalam golongan kanak-kanak, ia boleh terbahagi kepada punca sawan dengan demam dan punca sawan tanpa demam. Saya akan terangkan dengan lebih lanjut di bahagian yang seterusnya.

Gejala Apa Yang Akan Dialami?

Gejala yang berlaku pada pesakit ini akan berlainan kerana ia bergantung pada jenis sawan dan kawasan otak yang terjejas. Bagi kes sawan tarik yang melibatkan keseluruhan otak, seseorang akan mengalami gejala seperti:

  • Hilang sedar secara tiba-tiba. 
  • Kekejangan otot.
  • Pergerakan yang tersentak-sentak.
  • Mulut berbuih.
  • Terbuang air kecil atau air besar. 
  • Biasanya mengambil masa sepanjang 1 hingga 3 minit. Jika melebihi 5 minit, pesakit memerlukan pertolongan perubatan dengan segera. Terdapat satu kecemasan perubatan yang digelar sebagai status epilepticus, berlaku semasa sawan berlanjutan melebihi 10 minit atau 3 episod sawan berterusan. 
  • Selepas sawan, pesakit akan berada dalam situasi keliru, penat atau terganggu. 

Bagi kes sawan setempat yang melibatkan kawasan tertentu pada bahagian otak sahajapula, gejala adalah seperti:

  • Perubahan emosi secara tiba-tiba.
  • Halusinasi (sensasi dengaran, bau, rasa atau lihatan yang tidak benar).
  • Pergerakan yang berulang-ulang yang tidak sedar diri seperti kelipan mata atau menggerakkan bibir.
  • Aura (suatu “perasaan” atau “amaran” sebelum sawan berlaku).

Adakah Ia Sama Antara Kanak-kanak Dan Orang Dewasa?

Seperti yang dikatakan, sawan bayi boleh terbahagi kepada dua, iaitu, sawan demam dan sawan tanpa demam. Sawan demam biasanya akan menjejaskan kanak-kanak yang berumur daripada 6 bulan hingga 5 tahun dan sawan ini dicetuskan oleh demam panas. Kanak-kanak akan mengalami gejala seperti sawan tarik atau sawan setempat, yang tidak akan melebihi 15 minit. Jenis sawan ini jarang berlaku dalam individu yang berumur 5 tahun ke atas, sekiranya ia berlaku, punca-punca lain haruslah diperiksa.

Sawan tanpa demam boleh merangkumi jenis seperti Absence Seizure di mana budak kecil ini akan tetiba berubah tingkah laku serupa mengelamun dan tidak akan memberi balasan semasa dipanggil. Kanak ini juga mungkin mempunyai pergerakan mata yang tidak normal seperti kelipan mata yang kerap atau mata juling. Kebanyakan ibu bapa menganggap ini sebagai termenung kosong tetapi ini merupakan sejenis sawan yang sukar disedari. Ibu bapa perlu merujuk anak mereka kepada doktor jika ia berlaku dengan kerap kerana sawan ini mampu menyebabkan proses tumbesaran kanak-kanak terjejas.

Sawan tangis sebenarnya bukanlah sejenis sawan. Ia merupakan keadaan di mana bayi menangis secara berlarutan, lebih spesifik didefinisikan dengan kriteria:

  • Tangisan melebihi 3 jam dalam sehari
  • Melebihi 3 hari dalam seminggu
  • Melebihi 3 minggu

Dan gejala ini berlaku pada bayi yang cukup makan dan sihat. Ini memerlukan kepakaran doktor untuk mengetepikan punca-punca lain yang membahayakan.

Komplikasi Apa Yang Boleh Terjadi?

Bagi individu yang menghidapi epilepsi, risiko mereka untuk mendapat komplikasi adalah tinggi jika tidak dirawat dengan betul. Komplikasi adalah seperti:

  • Masalah pembelajaran.
  • Masalah tingkah laku dan emosi.
  • Tercekik dengan makanan atau air liur ke dalam saluran pernafasan semasa serangan sawan mengakibatkan aspiration pneumonia.
  • Kecederaan daripada jatuh, terhentak atau kemalangan jalan raya semasa sawan berlaku.
  • Kecederaan otak selama-lamanya.
  • Strok.

Bagaimana Doktor Merawat Epilepsi?

Sebelum memulakan sebarang rawatan, doktor perlu melaksanakan pemeriksaan dan ujian yang wajib untuk mengesahkan jenis sawan yang dialami oleh pesakit kerana ubat yang digunakan adalah berlainan. Berikut adalah jenis-jenis ubat sawan:

  • Phenytoin
  • Carbamazepine
  • Sodium valproate
  • Topiramate
  • Ethosuximide
  • Lamotrigene

Ubat-ubatan ini hanya boleh didapati dengan preskripsi oleh doktor setelah diteliti keperluannya kerana terdapatnya kesan sampingan dengan penggunaan ubat ini. Hingga hari ini, tiada sebarang petua yang terbukti berkesan malah ada yang boleh memburukkan masalah sawan. Cara menghilangkan sawan masih bergantung kepada ubat-ubatan ini.

Jika seorang pesakit mempunyai masalah pembelajaran, pertuturan, tingkah laku dan sebagainya, doktor akan merujuk kepada fisioterapi yang pakar dalam bidang tersebut untuk membantu pesakit untuk mengembalikan serba sedikit skil-skil ini supaya mereka masih boleh melakukan sedikit sebanyak aktiviti harian.

Sebagai seorang ibu bapa, saya amat memahami perasaan suami dan anda. Saya menyarankan anda berkongsi artikel ini dengan suami anda untuk memberi pemahaman yang lebih teliti tentang keadaan beliau dan anak anda! Jika anda mempunyai sebarang persoalan, anda boleh mengunjungi laman web kami https://www.doctoroncall.com.my/ untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor kami melalui forum, live chat, sesi audio atau video sebelum membuat sebarang keputusan untuk anak anda.


Rujukan

Konsultasi Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA


Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Anda sedia untuk lawan jangkitan?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahui jika badan anda cukup kuat untuk melawan sebarang jangkitan Mula Ujian Percuma

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Penghantaran Ubat Ekspres

Soalan berkenaan - rawatan epilepsi, punca epilepsi, cara merawat epilepsi, definisi epilepsi, epilepsi pada orang dewasa, jenis epilepsi

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor Percuma Sambutan Hari Malaysia: Baucar RM20