Sila memberi penjelasan lebih lanjut mengenai skizofrenia (Schizophrenia) dan cara rawatannya ?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Jun 22, 2020

Soalan:

Selamat pagi, doktor. Saya seorang wanita berusia 43 tahun. Suami saya berusia 45 tahun dan bekerja sebagai seorang tentera. Beliau baru sahaja tamat sebuah misi untuk menyelamatkan tahanan di luar negara. Sekarang beliau mempunyai beberapa hari untuk bercuti bersama keluarga. Namun demikian saya perasan suami saya tidak seperti dahulu.

Beliau berkelakuan sangat aneh kebelakangan ini dan itu membimbangkan saya. Pada hari itu, beliau berkata kepada saya untuk menghidangkan makanan untuk tetamu di meja makan tetapi pada masa itu tiada orang pun di rumah. Ianya saya dan suami saya. Selain itu juga, beliau seolah-olah sedang bercakap dengan seseorang dan saya tidak tahu siapa orang tersebut. Kadang kala beliau menunjukkan bend yang tidak wujud pun tetapi mengatakan bahawa ia berada di sana. Sekiranya, saya memberitahu bahawa benda tersebut tidak wujud maka beliau akan marah saya dan pada satu hari itu hampir memukul saya. Saya berasa sangat sedih mengenai keadaan suami saya ini. Beliau tidak pernah berkelakuan sebegini langsung. Ini membimbangkan saya dan saya khuathir beliau akan mencederakan saya sekiranya ini berterusan. Saya risau ia adalah penyakit skizofrenia.

Bolehkah doktor memberitahu saya apa yang sedang berlaku kepada suami saya ini? Saya berharap doktor sudi menjawab soalan saya ini supaya saya dapat mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang agak serius ini.

Jawapan:
Terima kasih puan atas soalan tersebut. Berdasarkan apa yang puan ceritakan kepada saya ini, saya mendapati suami puan menghadapi penyakit yang dikenali sebagai Skizofrenia (Schizophrenia). Penyakit skizofrenia ini merupakan penyakit kesihatan mental yang melibatkan tiga aspek iaitu pemikiran, kelakuan serta perasaan mereka. Individu yang mempunyai masalah ini akan berkelakuan seolah-olah mereka telah hilang dari dunia realiti. Suami puan berkemungkinan besar mengalami masalah ini kerana pekerjaan yang dilakukan. Hal ini kerana kemungkinan semasa di medan perang terdapat satu kejadian ngeri yang telah berlaku dan kejadian tersebut telah meninggalkan impak negatif dalam diri suami puan.

Selain itu juga, suami puan mungkin telah mengalami tekanan emosi serta mental berikutan kejadian tersebut dan itulah sebabnya terjadi masalah ini. Berikutan kejadian ngeri tersebut, penyakit ini akan bermula dengan simptom seperti halusinasi yang sememangnya dialami oleh suami puan serta delusi. Perkara ini sememangnya harus dibawa kepada doktor psikiatrik untuk dirawat. Hal ini kerana penyakit ini harus dibendung dengan secepat mungkin supaya simptom yang dialami tidak bertambah teruk serta menjejaskan kesihatan suami serta diri puan. 

Apakah itu skizofrenia

Pada zaman sekarang, apabila disebut tentang penyakit mental, ramai orang akan mula gelisah kerana ianya merupakan satu penyakit yang berkemungkinan tidak dapat dipulihkan 100%. Terdapat banyak penyakit mental yang agak serius dan kritikal pada masa sekarang. Di sini kita akan membincangkan dengan teliti penyakit skizofrenia yang masih menjadi sebuah tanda tanya dalam kalangan masyarakat kerana kurangnya pengetahuan mengenainya.

  • Skizofrenia merupakan masalah kesihatan mental yang kronik serta serius yang melibatkan cara seseorang itu berfikir, berkelakuan dan perasaan mereka.
  • Individu yang mempunyai masalah ini akan berkelakuan seolah-olah mereka telah hilang dari dunia realiti.
  • Simptom yang berikutan agak serius dan boleh membahayakan bukan sahaja mereka malah orang di sekeliling.
  • Penyakit skizofrenia ini juga bukan satu penyakit yang biasa terjadi tetapi haruslah berjaga-jaga untuk kebaikan sendiri.

Apakah penyebab skizofrenia

Untuk seseorang itu menghidap penyakit skizofrenia, ia haruslah mempunyai sebab dan faktor tertentu

  • Penyebab utama penyakit skizofrenia ini ialah diwarisi oleh ahli keluarga. Hal ini kerana sekiranya datuk atau nenek mempunyai masalah ini maka kemungkinan besar ia akan diturunkan kepada anak atau cucu. Ini telah dibuktikan oleh seorang pengkaji dari Amerika yang mendapati sebanyak 10% kemungkinan penyakit ini dapat diwarisi.
  • Selain daripada itu, punca lain masalah skizofrenia ini ialah ketidak seimbangan bahan kimia dalam otak. Hal ini kerana terdapat beberapa neurotransmitter iaitu satu bahan kimia yang dikeluarkan oleh terminal saraf dalam otak seperti dopamine dan serotonin yang bertanggungjawab dalam penyakit ini. Sekiranya berlaku ketidak seimbangan pada kedua-dua neurotransmitter ini maka ia boleh mengakibatkan terjadinya penyakit skizofenia.
  • Di samping itu, penyebab lain penyakit skizofrenia ialah sebarang jangkitan virus atau sebarang trauma pada bahagian kepala atau otak semasa dalam kandungan. Impak negatif seperti ini sangat membahaya dan dipercayai boleh membawa kepada terjadinya masalah skizofrenia ini.
  • Terdapat juga masalah kekeluargaan atau masalah kewangan yang menyebabkan tekanan emosi dan mental kepada seseorang individu secara berlebihan. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan otak kita mengalami tekanan yang tinggi dan boleh menyebabkan berlakunya penyakit skizofrenia ini.
  • Seterusnya, penyebab yang boleh mendatangkan penyakit skizofrenia ialah penyalahgunaan dadah. Dadah yang dimaksudkan adalah seperti marijuana atau LSD. Ianya sangat membahayakan dan dapat mengganggu norma otak yang biasa dan cuba mengubahnya dan inilah yang akan menyebabkan berlakunya penyakit skiozfrenia ini.
  • Selain itu, pengambilan alkohol secara berlebihan juga boleh mendatangkan masalah ini kerana ianya mendatangkan kesan negatif kepada otak kita justeru boleh menyebabkan berlakunya skizofrenia.

Apakah gejala skizofrenia

Semua orang wajar tahu mengenai penyakit skizofrenia serta gejala yang boleh terjadi dengannya kerana ia akan dapat membantu mereka untuk mengenal pasti penyakit ini dan boleh menjelaskan kepada doktor. Gejala yang berikutan penyakit skizofrenia ini ialah seperti:

  • Delusi: Ini merupakan sebuah keadaan di mana individu terbabit mempunyai kepercayaan yang bukan-bukan seperti mereka percaya mereka mempunyai kuasa yang luar biasa atau mereka rasa seperti orang lain ingin mencederakan mereka dan banyak lagi
  • Halusinasi: Mendengar suara yang tidak dapat didengar oleh orang lain atau melihat objek atau lembaga yang tidak dapat dilihat oleh orang lain
  • Pemikiran terjejas: Mereka mempunyai masalah seperti suka mengubah-ubahkan pemikiran mereka apabila bercakap sehingga orang yang mendengar sukar memahami apa yang dimaksudan oleh mereka
  • Kurang motivasi: Tiada minat untuk melakukan aktiviti harian
  • Kurang reaksi terhadap sebarang emosi: Reaksi mereka terhadap sesuatu emosi mungkin kurang atau tidak betul
  • Kurang bersosial: Hal ini kerana individu yang mempunyai penyakit skizofrenia ini selalunya rasa seperti ada orang yang ingin mencederakan mereka lalu mereka akan kurang bersosial dan sentiasa berseorangan
  • Tidak tahu mereka mempunyai penyakit ini: Kesemua halusinasi dianggap benar-benar berlaku dan jika diberitahuanya tipu, mereka akan marah dan tidak mempercayainya.

Apakah rawatan skizofrenia

Rawatan yang diberikan untuk pesakit skizofrenia bukan sahaja dalam bentuk ubatan malah ada kaedah lain yang turut terlibat. Hal ini kerana ubat semata-mata tidak akan membuahkan hasil. Perkara ini harus dibendung dalam semua aspek supaya dapat membantu mengurangkan impak negatif berikutan penyakit ini.

  1. Aspek pertama yang boleh kita lihat ialah ubat-ubatan. Ubat yang diberikan adalah seperti Clozapine atau Risperidone. Ubat ini akan membantu mengurangkan simptom yang berikutan dengan penyakit ini. Hal ini juga akan dapat membantu mengawal tingkah laku serta emosi pesakit yang terbabit suapaya tidak menjejaskan kesihatan dengan lebih teruk.
  2. Selain itu, aspek kedua rawatan bagi pesakit skizofrenia ialah kaunseling. Kaunseling ini bukan sahaja melibatkan golongan pesakit malah golongan keluarga juga turut terlibat. Hal ini kerana kebanyakan ahli keluarga akan cuba mengelakkan diri daripada mendekati pesakit skizofrenia serta berasa seperti mereka ini memang membahayakan. Persepsi ini dengan bantuan kaunseling akan dapat mengubah pemikiran mereka. Pesakit ini semestinya memerlukan sokongan moral daripada ahli keluarga mereka serta mereka juga akan diberikan kaunseling untuk menunjukkan akhlak yag mulia supaya tidak digeruni.
  3. Di samping itu, aspek ketiga rawatan penyakit skizofrenia ialah pertolongan dari segi kewangan serta peluang pekerjaan. Bagi golongan seperti ini kerajaan telah menyediakan sedikit dana untuk membantu mereka ini dan sememangnya mereka akan dapat sedikit sebanyak wang untuk menyara hidup. Selain itu juga, mereka akan dibantu oleh pihak psikiatrik hospital untuk mencari peluang pekerjaan. Ini akan membantu mereka dari segi keyakinan diri dan memberikan mereka sedikit dorongan positif untuk meneruskan hidup dengan berdikari.
  4. Kesimpulannya, pesakit skizofrenia haruslah dikenal pasti dan dibantu dengan segera sebelum simptom mereka menjadi lebih teruk dan menjejaskan kesihatan mereka.
Saya berharap segala persoalan puan telah terjawab, Sekiranya puan masih mempunya keraguan, puan boleh mendapatkan nasihat daripada doktor pakar kami di laman www.doctoroncallcom.my


Rujukan

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >