Dikemaskini pada: Jun 10, 2020
Salam, doktor. Saya seorang wanita berusia 28 tahun yang mengalami masalah perempuan. Saya perasan bahawa kadang-kadang selepas menjalankan hubungan dengan teman lelaki saya, berlakunya pendarahan walaupun tidak sakit. Hal ini sudah berlaku selama 3 bulan yang lalu. Dalam bulan lepas juga, saya perasan bahawa keputihan dari faraj seringkali berbau busuk dan berwarna coklat. Saya juga sering mengalami rasa sakit semasa kencing dan saya amat bimbang bahawa saya mengalami penyakit kelamin. Sepanjang perhubungan dengan teman lelaki ini, kami tidak menggunakan kondom tetapi saya ada makan pil perancang.
Pada pendapat doktor, adakah saya mengalami masalah wanita biasa atau gejala penyakit kelamin wanita? Dapatkah penyakit ini dirawat? Saya juga khuatir sama ada teman lelaki saya telah curang dan mengakibatkan saya menghidap penyakit ini. Saya berasa malu nak berjumpa dengan doktor untuk masalah ini. Terima kasih doktor kerana sudi memberi nasihat.
Terima kasih atas soalan anda, cik. Berdasarkan gejala yang digambarkan oleh cik, saya berpendapat bahawa cik haruslah berjumpa dengan doktor supaya doktor dapat menjalankan pemeriksaan dan ujian untuk mengetahui punca pendarahan semasa seks serta bau busuk dari faraj. Namun, gejala seperti ini memang sejajar dengan jangkitan penyakit kelamin wanita (“sexually transmitted disease”).
Rawatannya terpulang kepada jenis penyakit yang dihidapi oleh cik. Biasanya, teman lelaki cik juga akan diperiksa untuk doktor. Cik tidak haruslah mengesyaki teman lelaki cik curang tanpa bukti yang kukuh kerana mungkin penyakit ini sudah dihidapi oleh cik sejak dari pasangan sebelum ini. Cik janganlah risau dahulu kerana hanya selepas berjumpa doktor barulah dapat mengetahui penyebab gejala ini. Biasanya, doktor akan memeriksa bahagian faraj untuk mengenal pasti sama ada terdapat ketumbuhan seperti ketuat pada bahagian luar faraj.
Selepas itu, doktor akan menggunakan alat seperti spekulum untuk memeriksa bahagian dalam faraj. Doktor dapat memerhatikan keadaan pangkal rahim sama ada sihat. Sekiranya terdapat keputihan yang luar biasa dalam faraj, doktor dapatlah mengambil sampel untuk diuji. Selain itu, doktor dapatlah mengambil sampel dari pangkal rahim untuk dikaji sama ada terdapat sel kanser rahim. Pemeriksaan ini tidaklah menyakitkan atau mengambil masa yang lama. Oleh itu, cik tidak haruslah malu untuk berjumpa dengan doktor kerana boleh mendatangkan pelbagai manfaat kesihatan.
Penyakit kelamin wanita biasanya disebarkan melalui hubungan seks sama ada melalui cara oral, dubur atau melalui faraj. Anatomi bahagian faraj wanita menjadikan wanita lebih cenderung untuk dijangkit penyakit kelamin berbanding lelaki. Kebanyakan kalinya, penyakit kelamin dalam kalangan wanita tidak menunjukkan sebarang gejala. Oleh itu, pesakit tidak akan mendapat rawatan yang sesuai. Dalam jangka masa yang panjang, penyakit kelamin ini bukan sahaja akan mengakibatkan masalah ketidaksuburan, tetapi juga boleh meninggikan risiko menghidap kanser pangkal rahim.
Walaupun penyakit kelamin yang berbeza mungkin mempunyai gejala unik, namun kebanyakan penyakit kelamin wanita mempunyai tanda yang agak sama. Sekiranya anda mengalami tanda-tanda seperti rasa gatal pada bahagian faraj, ruam atau kutil pada faraj, keluaran lendir yang pelik sama ada kuantiti, bau atau warna serta rasa sakit semasa menjalankan hubungan seks, anda haruslah berjumpa dengan doktor
Chlamydia
Gonorrhea
Human Papillomavirus (HPV)
Herpes bahagian kemaluan (“Genital herpes”)
Sifilis
Kutu bahagian kemaluan (“pubic lice”)
HIV
Trichomoniasis
Kulat Candidiasis (“thrush”)
Penyakit radang pelvis (“pelvic inflammatory disease”)
Walaupun pesakit tidak mengalami sebarang gejala ataupun gejala hilang selepas beberapa hari, namun penyakit kelamin ini masih boleh berjangkit kepada pasangan seks yang seterusnya. Di samping itu, kebanyakan jenis penyakit kelamin wanita tidak menunjukkan gejala. Hal ini menyebabkan ramai wanita tidak mendapat rawatan dan menghadapi komplikasi dalam jangka masa yang panjang.
Oleh itu, setiap orang haruslah sentiasa berwaspada apabila menjalankan hubungan seks. Wanita haruslah menggunakan kondom untuk mengelakkan diri daripada terjangkit penyakit kelamin. Walaupun ubat perancang dapat mengelakkan kehamilan, namun ubat tersebut tidak akan mencegah penyakit kelamin.
Selain itu, para wanita yang pernah menjalankan hubungan seks haruslah proaktif dengan mendapat pemeriksaan doktor sekurang-kurangnya sekali dalam tiga tahun walaupun tidak mengalami gejala. Wanita juga digalakkan untuk mendapat vaksin HPV kerana virus tersebut merupakan penyebab kanser pangkal rahim. Dengan begitu, kesihatan sistem reproduktif dapatlah terjamin.
Rujukan
Soalan berkenaan - jenis penyakit kelamin wanita, tanda penyakit kelamin wanita, penyebab penyakit kelamin wanita
Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my