Salam doktor. Saya seorang lelaki yang berusia 65 tahun. Sejak 2 hari yang lalu, saya telah mengalami rasa sakit yang teruk pada kulit badan sebelah kiri walaupun seingat-ingat saya, tak ada pun saya tercederakan diri. Rasa sakit ini sebagai seekor ular yang melilit dari bawah ketiak kiri saya hingga ke belakang. Perasaannya seolah-olah saya dicucuk oleh jarum dan juga berasa kebas dan semut.
Pada hari ini, saya perasan bahawa terdapat beberapa lepuh kecil yang timbul di bahagian kulit yang sakit. Pada mulanya saya khuatir bahawa saya terkena jangkitan cacar air kerana cucu saya baru sahaja sembuh daripada jangkitan cacar air, tetapi saya teringat bahawa semasa kecil dulu, saya sudah pernah terkena jangkitan ini dan setahu saya biasanya orang yang pernah menghidap cacar air tidak akan dijangkiti lagi. Isteri saya mengesyaki bahawa saya menghidap kayap kerana dia pernah melihat gejala yang sama pada ayahnya.
Betulkah saya menghidap penyakit kayap ini, doktor? Apa itu kayap? Apa yang boleh saya lakukan untuk mengurangkan kesakitan ini? Sudah 2 malam saya tidak dapat tidur lena kerana teramat sangat sakit ini.
Terima kasih tuan atas soalan tersebut. Pada pendapat saya, berdasarkan simptom-simptom yang diceritakan oleh tuan, tuan mungkin menghidapi penyakit kayap (shingles) seperti yang disyaki oleh isteri tuan. Penyakit kayap ini juga digelar sebagai ‘shingles’ dalam Bahasa Inggeris dan berpunca daripada virus dipanggil ‘varicella zoster’. Virus ini juga merupakan penyebab kepada penyakit cacar air (chicken pox).
Dalam kepercayaan masyarakat tempatan, ramai yang percaya bahawa sekiranya ruam kayap ini bertemu mengelilingi badan akan membawa maut, tetapi sebenarnya kepercayaan ini adalah salah dan penyakit ini jarang menyebabkan kematian. Oleh itu, tuan tidak perlu risau. Untuk merawat kesakitan tuan yang teruk sehingga menganggu aktiviti harian, beberapa jenis ubat tahan sakit dapat digunakan untuk mengurangkan rasa sakit dari ruam kayap ini. Selain itu, ubat ‘anti-viral’ untuk merawat jangkitan virus juga boleh digunakan untuk memendekkan jangka masa pemulihan penyakit kayap ini. Tuan boleh mendapatkan nasihat daripada doktor-doktor pada laman www.doctoroncall.com.my
Penyakit kayap ini diakibatkan oleh pengaktifan semula virus ‘varicella zoster’ yang juga merupakan punca penyakit cacar air. Sesiapa yang pernah menghidap penyakit cacar berkemungkinan untuk mendapat kayap pada masa hadapan. Hal ini disebabkan virus ‘varicella zoster’ ini akan kekal dalam sistem saraf dalam bentuk yang tidak aktif selepas seseorang itu pulih daripada jangkitan cacar air.Kadang-kadang, virus ini akan menjadi aktif semula dan merebak mengikut saluran saraf pada kulit, lalu mengakibatkan ruam kayap yang melilit pada badan. Walaupun demikian, bukan semua orang yang mendapat penyakit cacar akan menghidap kayap.
Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko mengalami kayap
Penyakit kayap biasanya mengambil masa 3-5 minggu untuk pulih. Selalunya seseorang hanya akan menghidap kayap sekali sahaja dalam kehidupan. Penyakit kayap mempunyai 3 fasa jangkitan yang mempunyai gejala berlainan:
1) Fasa sebelum ruam
Pada masa ini, pesakit akan mengadu rasa sakit pada kawasan kulit yang terlibat. Biasanya hal ini berlaku 2-3 hari sebelum ruam terjadi. Pesakit juga mungkin mengalami:
2) Ruam
Ketika ini, ruam akan timbul pada kawasan kulit yang terlibat. Ruam ini:
3) Selepas ruam
Selepas ruam kayap telah sembuh, pesakit kayap mungkin masih berasa sakit pada bahagian tersebut untuk beberapa bulan. Perkara ini berlaku dalam 20-40% dari pesakit kayap.
Tuntasnya, pesakit yang mengalami gejala kayap haruslah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai rawatan yang sesuai serta haruslah prihatin dalam mengasingkan diri daripada golongan yang tidak pernah mendapat penyakit cacar. Bagi golongan yang tidak pernah mendapat kayap, langkah yang paling penting untuk mencegah penyakit ini adalah dengan mengambil vaksin Zostavax.
Saya nasihatkan supaya anda perlulah dengan segera merujuk kepada doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan. Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada para doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my. Terima kasih.
Rujukan
Soalan berkenaan - simptom kayap, rawatan kayap, ubat penyakit kayap (Shingles)
Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my