HIV adalah singkatan kepada (Human Immunodeficiency Virus) dan merupakan penyakit berjangkit di Malaysia yang digeruni. Virus tersebut mampu menyebabkan imuniti badan menurun. HIV akan memberi kesan terhadap CD4 dan jangkitan tersebut akan menyebabkan bacaan CD4 menjadi rendah. Apabila membincangkan perihal HIV dan penyakit oportunistik akibat daripada penyakit ini, topik tentang bacaan CD4 dalam darah menjadi suatu yang perlu dikupas. Untuk mengetahui tahap ketahanan atau imuniti badan, adalah penting untuk mengetahui bacaan CD4 individu tersebut. Bacaan CD4 mampu memberi gambaran terhadap tahap daya ketahanan atau imuniti badan seseorang kerana ianya bertanggungjawab dalam melawan jangkitan kuman. Apabila bacaan CD4 menjadi rendah, individu terbabit terdedah dan memiliki risiko yang lebih tinggi untuk mendapatkan jangkitan kuman dan penyakit lain atau penyakit oportunistik seperti siplis, tuberkulosis, toxoplasmosis dan sebagainya. Oleh itu, adalah penting bagi penjawat kesihatan untuk mengambil bacaan CD4 pada pesakit yang dijangkiti HIV untuk mengetahui status tahap imuniti badan semasa mereka. Penyakit ini berbeza dengan leukimia kerana pesakit leukimia memiliki sel darah putih normal yang rendah dan pesakit HIV mempunyai bacaan CD4 (sejenis antibodi dalam darah) yang rendah.