Sirosis (cirrhosis) adalah perkataan yang diambil dari bahasa Greek yang membawa maksud ‘kekuningan’-kirrhos dan ‘osis’- peningkatan. Hal ini kerana hati pesakit yang mengalami penyakit ini berwarna kuning berbanding coklat kemerahan dalam individu yang sihat. Keadaan ini adalah tahap akhir pembentukan parut (fibrosis) hati yang disebabkan oleh kecederaan pada hati. Seperti kebiasaannya, setelah tercedera, fisiologi badan bertindak untuk membaiki diri sendiri. Hati merupakan organ yang unik dimana ia boleh menjana semula sel rosak seperti seperti asal. Namun, apabila kerosakan hati berlaku secara terus menerus, pembaikan hati akan menjadi tidak sempurna atau terbantut. Hal ini menyebabkan ia tidak digantikan dengan tisu asal tetapi membentuk tisu fibrosis (parut) yang tidak mengandungi unit yang berfungsi seperti sel hati lain yang sihat. Semakin banyak tisu digantikan dengan tisu fibrosis, maka fungsi hati akan semakin menurun sedikit demi sedikit.