Apakah itu najis berminyak (Steatorrhea) dan penyebab serta ubatnya?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Jun 15, 2020

Soalan:

Selamat pagi doktor. Saya Puan A berusia 32 tahun. Saya tiada apa-apa masalah kesihatan. Cuma, sejak akhir-akir ini, saya sering berasa sakit dan kembung di bahagian perut, selain kerap membuang angin. Saya sedar masalah ini menjadi teruk selepas saya mengambil makanan berasaskan mi, seperti kuey teow ataupun mi segera. Selain itu, corak pembuangan air besar saya juga telah berubah, dimana saya selalu mengalami cirit-birit. Bau najis pula adalah lebih busuk daripada biasa. Saya juga perasan najis berminyak dan terapung di dalam tandas. Saya sangat menjaga pemakanan saya dan tidak pernah mengambil apa-apa makanan yang kurang bersih. Mengapakah masalah ini berlaku? Mohon pertolongan doktor.

Jawapan:
Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan simptom yang dialami, saya berasakan bahawa anda sedang menghidapi penyakit Celiac. Penyakit ini boleh datang dengan gejala yang diceritakan seperti kembung perut dan najis berminyak (Steatorrhea). Penyakit ini berlaku disebabkan alahan terhadap makanan berasaskan gluten.

Bagi memudahkan pemahaman, apa-apa makanan yang diperbuat daripada tepung seperti mi, pasta, dan roti boleh menyebabkan masalah ini berlaku. Doktor boleh menyarankan agar anda membuat ujian darah bagi mengesahkan diagnosis ini. Sekiranya benar, rawatan adalah dari segi penjagaan pemakanan.

Anda perlulah mengelak daripada mengambil makanan berasaskan gluten seperti gandum, bijirin rai, dan sebagainya. Anda juga boleh dirujuk kepada pakar dietetik untuk menyusun pemilihan pemakanan.

Apakah najis berminyak

Najis berminyak (steatorrhea) ialah suatu simptom yang berlaku apabila, lemak yang diperolehi daripada makanan tidak mampu dicerna ataupun diserap dengan baik di dalam usus. Hasilnya, lemak ini akan bergabung dengan kotoran yang lain dan dibuang daripada badan dalam bentuk najis yang berminyak. Seseorang yang mempunyai masalah penghadaman seperti masalah usus atau kekurangan enzim berisiko untuk mengalami gejala ini.

Apakah penyebab najis berminyak

Usus yang bermasalah tidak mampu menyerap lemak dengan baik. Kekurangan enzim pula menjadi penyebab kepada kegagalan proses pencernaan lemak, kerana ianya berfungsi untuk meleraikan bahan tersebut sebelum diserap masuk ke dalam tubuh melalui usus. Oleh itu, kedua-dua faktor ini adalah punca utama yang menyumbang kepada terbentuknya najis berminyak.

Apakah gejala najis berminyak

Najis berminyak juga boleh dikenali berdasarkan karakter lain, iaitu:

  • Najis berketul
  • Najis terapung
  • Berbau busuk
  • Sukar untuk dipam
  • Najis mempunyai warna pucat
  • Najis berkonsistensi lembut berbanding biasa

Apakah contoh penyakit yang boleh datang dengan simptom najis berminyak

Penyakit yang biasa mempunyai gejala ini ialah:

  • Penyakit Celiac (Celiac Disease)
  • Pankreatitis Kronik (Chronic pancreatitis)
Selain itu, penyakit yang boleh datang dengan simptom ini namun jarang berlaku ialah:

  • Sindrom Usus Pendek (Short Bowel Syndrome)
  • Penyakit Whipple (Whipple disease)
  • Limfoma (Lymphoma)
  • Cystic Fibrosis
  • HIV/AIDS
  • Giardiasis

Apakah rawatan bagi simptom najis berminyak

Rawatan adalah bergantung kepada punca gejala tersebut. Seorang doktor perlulah mengenalpasti terlebih dahulu tentang penyakit yang dialami oleh seseorang sebelum memberikan rawatan yang tepat.

Penyakit Pankreatitis Kronik (Chronic Pancreatitis)

Penyakit ini berlaku apabila organ pankreas mendapat keradangan yang berterusan atau berkali-kali, sehingga menyebabkan tisu organ rosak dan tidak berfungsi. Pankreas adalah sumber enzim pencernaan yang diperlukan untuk melerai bahan makanan seperti lemak, protein, dan karbohidrat. Apabila enzim-enzim ini tidak dihasilkan dsebabkan kerosakan yang berlaku, makanan seperti lemak tidak boleh dicerna sehingga menyebabkan najis berminyak.

Apakah gejala lain Pankreatitis Kronik

  • Sakit di bahagian atas kiri abdomen
  • Penurunan berat badan
  • Gejala kencing manis

Apakah ujian bagi mendiagnos Pankreatitis Kronik

Sampel darah akan diambil untuk melihat tahap enzim pankreas dalam badan. Selain itu, doktor juga boleh membuat ujian pengimejan seperti ultrasound ataupun CT-scan untuk melihat organ pankreas. Pankreas yang telah rosak akan kelihatan kecil (mengecut) dan mengeras.

Apakah rawatan bagi penyakit Pankreatitis Kronik

Doktor akan menyarankan pesakit untuk menerima ubat tahan sakit selain supplemen yang boleh menggantikan enzim yang tiada dalam proses pencernaan makanan.

Penyakit Celiac (Celiac Disease)

Penyakit Celiac merujuk kepada masalah keradangan yang berlaku di dalam usus kecil (small intestine) manusia. Walaupun pesakitnya mempunyai allergik terhadap sesuatu makanan dan minuman seperti gandum atau barli, tetapi bahan-bahan ini bukanlah punca sebenar berlakunya penyakit Celiac. Sebaliknya, ianya berlaku disebabkan masalah autoimun badan manusia. Makanan dan minuman tersebut hanya bertindak sebagai pencetus kepada keradangan yang berlaku.

Bagaimanakah penyakit autoimun bertindak

Penyakit autoimun berlaku apabila sel darah putih didalam badan manusia turut menyerang tisu tubuh manusia, selain daripada benda asing seperti kuman atau parasit. Antara tisu yang diserang ialah lapisan dinding usus kecil. Perkara ini menyebabkan kerosakan berlaku pada dinding usus kecil, dan makanan yang telah dicerna tidak mampu diserap dengan baik. Salah satunya termasuklah lemak, sehingga menghasilkan najis berminyak.

Siapakah yang berisiko mendapat Penyakit Celiac

Sesiapa sahaja tidak kira tua atau muda boleh menghidapi masalah ini. Penyakit Celiac turut berlaku mengikut keturunan. Oleh itu, sekiranya anda mempunyai ahli keluarga terdekat yang telah didiagnos sebagai pesakit masalah Celiac, anda juga berisiko untuk mendapatnya. Selain itu, mana-mana pesakit yang menderita penyakit autoimun lain seperti ‘Diabetes Type 1’ atau ‘Rheumatoid arthritis’, juga berisiko untuk mengalami penyakit ini.

Apakah pencetus keradangan usus dalam Penyakit Celiac

Pencetus keradangan penyakit Celiac ialah makanan yang mengandungi gluten. Ini kerana tubuh badan pesakit membina antibodi terhadap bahan ini sehingga mewujudkan keradangan pada dinding usus kecil. Gluten mudah diperolehi dalam makanan seperti gandum, barli, rai (rye, sejenis bijirin), selain apa-apa makanan yang diperbuat daripada tepung. Contohnya seperti pasta, roti, dan biskut. Sesetengah pesakit juga turut sensitif terhadap bijirin oat.

Bolehkah saya mendapat penyakit Celiac walaupun tidak allergik pada gluten

Ya. Setiap orang boleh saja mengalami penyakit ini walaupun tiada risiko seperti alahan terhadap gluten. Seseorang boleh menjadi sensitif terhadap gluten pada satu-satu tempoh dalam hidup mereka. Punca kepada kejadian ini masih belum dapat difahami dengan baik.

Apakah gejala lain penyakit Celiac selain daripada najis berminyak

Gejala yang boleh dialami seseorang juga termasuklah:

  • Cirit-birit
  • Sakit perut
  • Perut kembung
  • Kentut dengan kerap
  • Ketidakhadaman
  • Sembelit
Simptom lain yang lebih umum dan tidak spesifik adalah seperti:

  • Keletihan
  • Hilang berat badan
  • Ruam dan gatal
  • Hilang deria sentuh pada kaki dan tangan

Apakah ujian bagi penyakit Celiac

Setelah mendapatkan sejarah penyakit yang lengkap serta pemeriksaan abdomen, doktor boleh menyarankan agar ujian antibodi dilakukan. Prosedur ujian akan dijelaskan oleh doktor. Selain itu, doktor juga boleh menjalankan prosedur endoskopi, dimana sebuah kamera kecil berwayar akan dimasukkan ke dalam mulut sehingga ke bahagian usus kecil. Sampel tisu usus kecil akan diambil dan diperhatikan dengan mikroskop untuk melihat apa-apa perubahan yang merujuk kepada penyakit Celiac.

Apakah rawatan bagi penyakit Celiac

  • Rawatan terbaik adalah dengan mengelak daripada mengambil apa-apa makanan yang mengandungi gluten buat beberapa tempoh masa.
  • Tindakan ini akan membantu simptom penyakit Celiac menghilang dalam beberapa minggu.
  • Selain itu, doktor juga akan memberikan makanan tambahan atau supplemen seperti vitamin, calcium, dan zat besi untuk menggantikan nutrien yang hilang.
  • Buat makluman pesakit, zat besi boleh menyebabkan najis menjadi hitam dan ianya tidak merbahaya.
Sekiranya anda menghidapi mana-mana gejala diatas, anda adalah disarankan untuk menghubungi doktor kami melalui laman web www.doctoroncall.com.my.


Rujukan

Konsultasi Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA


Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Anda sedia untuk lawan jangkitan?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahui jika badan anda cukup kuat untuk melawan sebarang jangkitan Mula Ujian Percuma

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Daftar dan dapat RM30

Soalan berkenaan - penyebab najis berminyak, gejala najis berminyak, najis busuk

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor Percuma
Tanya Doktor Percuma 3% cashback untuk setiap pembelian!