Selamatkah untuk saya mengambil ubat prednisolone (Prednisolone Tablets) kerana terdapat kesan sampingan?

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Februari 11, 2020

Soalan:
Selamat pagi, doktor. Saya seorang remaja yang berumur 26 tahun. Saya mempunyai penyakit asma dari kecil lagi. Penyakit saya ini terkawal dari kecil sehingga saya habis zaman persekolahan saya. Walaubagaimanapun, penyakit asma saya bertambah buruk setelah mula bekerja.

Walaupun saya menggunakan inhaler ketika serangan asma, gejala saya masih berterusan. Ibu saya juga mengalami penyakit asma tetapi keadaannya terkawal. Saya seorang perokok yang merokok sekurang-kurangnya 15 batang sehari. Saya pernah berjumpa dengan doktor saya dan beliau menasihatkan saya supaya mengambil ubat saya mengikut masa yang sama setiap hari dan juga menyuruh saya berhenti merokok secara beransur-ansur. Beliau juga menyarankan saya membuat senaman setiap hari sekurang-kurangnya untuk 30 minit sehari. Beliau telah memberi ubat prednisolone untuk mengawal gejala penyakit asma saya. Bolehkah doktor menerangkan apa itu ubat prednisolone?

Soalan berkenaan - cara makan ubat prednisolone, ubat alahan prednisolone, ubat prednisolone untuk sakit apa

Jawapan:
Terima kasih untuk soalan anda. Ubat prednisolone (Prednisolone Tablet) mengurangkan keradangan dengan cara menghalang sistem imunisasi melalui pengurangan aktiviti sel limfosit dan eosinofil.

Apakah itu ubat prednisolone

Prednisone adalah ubat preskripsi steroid. Ia dijual dalam bentuk tablet atau cecair. Tablet pelepasan lambat dijual bawah jenama Rayos manakala ubat cecair pula boleh didapati sebagai ubat generik dan bawah jenama “Prednisone Intensol”. Tablet pelepasan segera pula boleh didapati sebagai ubat generik dengan harga lebih murah.

Apakah fungsi ubat prednisolone

Prednisolone adalah kortikosteroid sintetik. Ia mengurangkan respons sistem imunisasi terhadap pelbagai penyakit sekali gus mengurangkan gejala seperti rasa sakit, bengkak dan reaksi alahan. Ubat ini bertujuan untuk merawat keadaan seperti:

  1. Artritis
  2. Masalah darah
  3. Gangguan sistem imun
  4. Keadaan kulit dan mata seperti keradangan mata dan ulser mata
  5. Masalah pernafasan
  6. Kanser
  7. Alahan yang teruk
  8. Asma
  9. Anemia
  10. Bursitis
  11. Kolitis
  12. Dermatitis
  13. Gangguan endokrin
  14. Lupus dan sindrom nefrotik
  15. Neuritis optik
  16. Penyakit paru-paru
  17. “Multiple sclerosis”
  18. Osteoartritis
  19. Psoriasis
  20. Artritis reumatoid
  21. Trombositopenia (kiraan platelet rendah)
  22. Limfoma atau leukemia

Apakah dos ubat prednisolone

Cara pengambilan ubat dan dos ubat ini adalah berbeza mengikut jenis penyakit yang dihidapi. Di bawah adalah maklumat tentang penggunaan prednisolone

  • Untuk penggunaan Intra-artikular (“intra-articular”): Suntikan ke dalam sendi yang alami keradangan.
  • Oftalmik (”Opthalmic”)
    1. Konjungtivitis (”Conjunctivitis”): diberi sebagai titisan mata bagi jangkitan mata.
  • Secara oral (Tablet): Prednisolone berguna dalam pelbagai jenis penyakit misalnya “Multiple sclerosis”, gangguan alergi dan keradangan, asma tahap sederhana dan teruk, Sindrom Nefrotik.
  • Otik / Aural: Titisan telinga
  • Secara intravena melalui saluran darah
  • Suntikan pada otot (“intramuscular”)
  • Secara topikal sebagai sapuan krim untuk permukaan kulit.

Apakah kesan sampingan ubat prednisolone

Kesan sampingan daripada tablet oral prednisone mungkin mengambil masa untuk kembali pulih. Antara kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:

  • Kekeliruan
  • Kegelisahan
  • Sakit kepala
  • Rasa loya
  • Kemuntahan
  • Penipisan kulit
  • Masalah jerawat
  • Masalah tidur
  • Peningkatan berat badan

Kesan sampingan yang perlu dibawa ke jabatan kecemasan

Kesan sampingan serius ini harus dirujuk kepada doktor segera. Antaranya adalah:

  • Tindak balas alahan yang teruk seperti ruam kulit, bengkak pada muka, lidah atau tekak, kegatalan, kesukaran bernafas.
  • Perubahan emosi seperti kemurungan.
  • Perubahan kadar penglihatan.
  • Sakit mata.
  • Peningkatan risiko untuk terdedah kepada jangkitan akibat penurunan daya imunisasi seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit ketika kencing (“dysuria”).
  • Tahap gula dalam darah menjadi tinggi menyebabkan gejala seperti sering dahaga, kencing lebih kerap, mudah letih atau keliru, bengkak pergelangan kaki, kulit gatal dan lain-lain.

Bagaimana untuk guna ubat prednisolone

  • Ubat yang diambil melalui mulut harus dilakukan dengan makanan atau susu untuk mengelakkan sakit perut. Ubat ini diambil dengan segelas air penuh (8 auns / 240 mililiter).
  • Jadual dos harus diikuti dengan berhati-hati. Dos dan tempoh rawatan adalah berdasarkan keadaan perubatan anda dan tindak balas terhadap rawatan.
  • Doktor anda mungkin mengarahkan anda mengambil prednisolone 1 hingga 4 kali sehari.
  • Penggunaan kalendar atau kotak pil mungkin dapat membantu memastikan pengambilan ubat dari sehari ke sehari.
  • Sekiranya anda menggunakan pek dos prednisolone, ikut jadual dos di atas pakej kecuali diarahkan sebaliknya oleh doktor anda. Jangan berhenti mengambil ubat ini tanpa berunding dengan doktor anda terlebih dahulu.
  • Sekiranya anda menggunakan prednisolone untuk jangka masa yang lama atau dalam dos yang tinggi, anda mungkin mengalami gejala “withdrawal syndrome” jika ubat tiba-tiba dihentikan. Untuk mengelakkan gejala tersebut, doktor anda akan mengurangkan dos anda secara beransur-ansur.

Simptom “steroid withdrawal”

Antara gejala yang mungkin anda alami adalah:

  • Kelemahan
  • Keletihan
  • Penurunan berat badan
  • Rasa loya
  • Sakit otot
  • Sakit atau pening kepala
  • Muntah- muntah
  • Kurang selera makan
  • Sakit sendi
  • Malaise (ketidakselesaan secara keseluruhan)
Sekiranya pengambilan ubat prednisolone tidak berkesan atau mengakibatkan kesan sampingan teruk, anda haruslah berjumpa dengan doktor segera. Jika tiada sebarang kecemasan, anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada para doktor kami di laman webwww.doctoroncall.com.my. Terima kasih.



Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy