8 Tanda Bersalin Ibu Hamil Perlu Tahu! Kontraksi Palsu Atau Kontraksi Sebenar?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Februari 11, 2020

Soalan:

Selamat pagi dan salam sejahtera. Saya wanita yang sedang hamil 39 minggu. Kehamilan ini ialah kehamilan kedua saya. Saya tiada sebarang pengalaman bersalin, tetapi pernah mengalami keguguran sebelum ini. Tarikh anggaran kelahiran saya lebih kurang seminggu 2 hari lagi. Sejak minggu lepas, saya mula merasakan sakit pada bahagian pinggang dan hadapan perut. Namun, sakit tersebut tidak begitu teruk dan amat jarang berlaku. Saya telah pergi ke klinik untuk memeriksa jika saya berkemungkinan akan melahirkan anak awal daripada anggaran yang dinyatakan doktor. Akan tetapi, doktor memberitahu bahawa saya mengalami kontraksi palsu. Boleh doktor jelaskan tanda-tanda awal bersalin dan apakah kontraksi palsu?

Soalan berkenaan - keputihan tanda bersalin, cecair mukus tanda bersalin, sakit pinggang tanda bersalin, tanda-tanda bersalin sudah dekat, tanda-tanda bersalin 36 minggu

Jawapan:

Terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami. Kami memahami tentang kebimbangan dan persoalan yang anda alami lebih-lebih lagi anda dalam tempoh yang sedang sarat mengandung. Memandangkan kehamilan ini merupakan pengalaman pertama anda bersalin, kami akan cuba memberi penjelasan bagi membantu anda lebih memahami tempoh penting ini. Anda sedang hamil 39 minggu dan tempoh ini merupakan tempoh kelahiran bayi secara normal. Apabila kandungan melebihi 37 minggu, bayi berada dalam tempoh yang selamat untuk dilahirkan. Hal ini kerana, organ seperti paru-paru bayi telah matang selepas minggu 36. Saya akan mengupas dengan lebih lanjut tentang tanda-tanda bersalin melalui artikel di bawah.

Bilakah Bermulanya Waktu Bersalin?

Kehamilan merupakan saat yang amat dinanti-nantikan oleh segelintir wanita. Namun begitu, ia juga boleh menjadi saat yang membimbangkan ibu-ibu hamil ekoran pelbagai kisah dan pengalaman yang diceritakan oleh wanita yang telah bergelar ibu. Kebiasaannya, kehamilan berlaku selama 280 hari atau 40 minggu. Terdapat beberapa klasifikasi tempoh kelahiran yang boleh berlaku. Antaranya: 

Kelahiran pra-matang boleh dibahagi kepada beberapa fasa

  • Pra-matang yang ekstrim 23 hingga 28 minggu
  • Pra-matang yang sederhana 29 hingga 33 minggu
  • Pra-matang yang lewat 34 hingga 37 minggu

Bayi yang lahir 37 minggu ke atas adalah kelahiran yang telah cukup bulan. Organ bayi telah matang dan membolehkan bayi hidup dengan selamat setelah dilahirkan. 

Apakah Tanda-Tanda Awal Bersalin?

Proses melahirkan anak adalah unik bagi setiap wanita. Pengalaman tersebut berbeza mengikut individu. Terdapat wanita yang mengalami gejala sejak 3 minggu sebelum kelahiran dan terdapat juga wanita yang mengalami gejala diikuti kelahiran bayi secara serta-merta. Pelbagai desas desus seperti keputihan tanda bersalin,cecair mukus tanda bersalin atau sakit pinggang tanda bersalin, namun persoalan yang jelas dan akan dirungkai adalah tanda-tanda yang benar-benar menjurus kepada tanda-tanda bersalin yang sudah dekat. 

Jika anda memiliki tanda-tanda berikut, anda mungkin bakal melahirkan anak dalam masa yang terdekat. 

  • Kepala bayi telah turun ke dalam pelvis

Kebiasaannya, doktor akan memeriksa kedudukan kepala bayi ke dalam pelvis beberapa minggu sebelum bayi dilahirkan. Ibu hamil akan berasa lebih mudah untuk bernafas kerana kurang tekanan pada otot yang memisahkan paru-paru dan organ di abdomen iaitu Diagrafma. 

  • Penghasilan bendalir (Mucus plag)

Penghasilan bendalir ini adalah merupakan salah satu gejala awal kelahiran. Cecair ini dihasilkan di serviks dan ia berfungsi untuk melindungi serviks daripada jangkitan kuman. Apabila kepala bayi mencecah serviks, bendalir bersama-sama darah dirembes keluar memberi gejala awal kelahiran ini. 

  • Sakit belakang

Ibu hamil mengalami sakit punggung, perut dan bahagian belakang kerana bayi telah menurun hingga ke pelvis menyebabkan ketegangan pada ligamen dan otot rahim.

  • Letih dan lesu

Ibu hamil akan menjadi lebih mudah letih. Antara punca kepada keletihan yang berlebihan adalah disebabkan kesukaran bernafas seperti sesak nafas yang kerap dialami sewaktu berjalan. 

  • Kerap ke andas untuk membuang air kecil

Kepala bayi dalam kandungan telah memenuhi ruang pelvis sehingga memberi tekanan kepada pundi kencing. 

  • Pecah air ketuban

Bayi dalam kandungan dilindungi lapisan amnion yang mengandungi cecair jernih. Apabila bayi bakal dilahirkan, lapisan tersebut akan pecah sehingga menyebabkan ibu hamil mengalami gejala seperti mengeluarkan air jernih melalui faraj. Apabila hal ini berlaku, proses bersalin kebiasaannya akan bermula. Jika kelahiran tidak berlaku, doktor akan menjalankan induksi bagi memudahkan proses bersalin untuk bermula. Hal ini kerana, terdapat risiko jangkitan kuman pada struktur rahim, serviks apabila lapisan ini pecah. Jika anda mengalami gejala seperti pecah air ketuban dan kontraksi, terdapat kebarangkalian bahawa anda akan melahirkan bayi dalam masa yang terdekat. 

  • Kontraksi

Apabila wanita hamil mengalami kontraksi yang kerap, hal ini merupakan penanda kepada bayi sedang dilahirkan. Kontraksi tersebut hendaklah lebih kerap, diselangi kurang daripada 10 minit, dan menyebabkan kesakitan yang berlipat kali ganda jika tiada sebarang pengambilan ubat tahan sakit. Kontraksi membantu dilatasi serviks dan menyumbang kepada penipisan bibir serviks bagi membuka ruang untuk melahirkan bayi. 

  • Pendarahan

Sesetengah pendarahan boleh disebabkan oleh masalah berbahaya seperti uri dia bahagian bawah rahim atau menutup serviks, uri yang terkeluar sebelum bayi dalam kandungan, kedudukan darah di tali pusat yang terdedah dan rahim yang telah pecah. Walaubagaimanapun, ia juga boleh menjadi gejala sewaktu diambang kelahiran bayi lebih-lebih lagi setelah bayi menghampiri pintu pelvik. 

Apakah Yang Anda perlu Lakukan Jika Anda Mengalami Tanda-Tanda Awal Kelahiran?

Kebanyakan wanita hamil bayi pertama sememangnya akan tertanya-tanya tentang persiapan yang mereka harus lakukan apabila mengalami gejala hendak bersalin. Antaranya: 

  • Menghubungi doktor anda, jika anda telah membuat tempahan di hospital swasta
  • Kerap berjalan bagi membantu meningkatkan bukaan rahim
  • Minum air dan makan dengan mencukupi bagi memberi tenaga semasa proses melahirkan
  • Meminta bantuan pasangan membawa kelengkapan untuk bayi dan ibu selepas melahirkan anak.

Bilakah Anda Perlu Ke Hospital Dengan Segera?

Kadang-kala, segelintir wanita tidak menyedari bahawa mereka telah mengalami gejala awal bersalin. Mereka masih lagi sempat berjalan-jalan di pusat membeli-belah, berkerja di pejabat dan sebagainya. Maka, adalah amat penting bagi wanita hamil untuk mengetahui waktu yang memerlukan mereka untuk segera ke hospital. 

  • Pendarahan yang banyak sehingga menyebabkan gejala sakit dada, sesak nafas, pening dan pitam
  • Air ketuban pecah bercampur cecair kehijauan dan berwarna coklat
  • Sakit kepala bersama pandangan kabur dan bahagian yang bengkak secara mendadak
  • Bayi kurang aktif 
  • Kontraksi- kontraksi sebelum 37 minggu kerana terdapat risiko kelahiran pra-matang.

Apakah Kontraksi Palsu (Braxton-Hicks Contractions)?

Kontraksi palsu (Braxton HIcks Contractions) adalah kontraksi yang berlaku pada penghujung kehamilan iaitu semenjak trimester tiga. Terdapat segelintir wanita mengalami kontraksi ini semenjak trimester yang kedua lagi. Kontraksi palsu ini adalah kontraksi yang tidak begitu kuat namun boleh memberi ketidakselesaan pada kaum ibu. Ia kebiasaannya berlaku di bawah hadapan abdomen. Ia bersifat tidak tetap seperti kontraksi yang berlaku sewaktu bersalin. Kontraksi ini juga boleh hilang jika posisi ibu hamil diubah, ibu hamil mendapat rehat yang mencukupi dan ibu hamil mengamalkan pemakanan dan minuman yang mengekalkan hidrasi optimum. 

Saya berharap penerangan yang telah diberikan boleh menyelesaikan sedikit sebanyak keraguan puan. Jika puan masih mempunyai soalan tentang masalah ini, puan boleh berbincang dengan lebih lanjut dengan doktor kami. www.doctoroncall.com.my . 



Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor PERCUMA
Diskaun Hingga RM12 untuk Perubatan