Dikemaskini pada: Ogos 7, 2020
Selamat pagi puan, saya bersimpati atas keadaan puan. Saya akan menjelaskan semua pertanyaan puan mengenai barah otak dan rawatannya. Barah otak adalah sejenis barah yang boleh wujud secara tiba - tiba ataupun merebak(metastasis) dari barah di bahagian lain badan. Terdapat pelbagai jenis barah otak, dan dikategorikan mengikut sel yang dijangkiti. Sesiapa sahaja dan tidak kira umur boleh mendapat barah otak dengan tiba-tiba dan tidak semestinya mereka merokok atau ada tabiat buruk yang lain. Barah otak selalunya disebabkan genetik sendiri dan mutasi dalamnya.
Sehingga kini, punca sebenar barah otak metastatik dan utama tidak difahami sepenuhnya. Namun, terdapat beberapa faktor yang telah dikenal pasti yang meningkatkan risiko seseorang mendapat penyakit barah otak, seperti:
Merokok
Pernah mempunyai kanser lain
Faktor sejarah kanser di kalangan ahli keluarga
Pekerjaan di kilang minyak
Pengendali bahan api jet atau bahan kimia seperti benzena
Ahli kimia
Pembalut, atau pekerja industri getah
Jangkitan virus (HIV)
Tidak ada bukti kukuh bahawa kanser otak disebabkan oleh trauma kepala, atau disebabkan oleh penggunaan telefon bimbit. Walaupun banyak akhbar dan artikel web menyatakan bahawa aspartam (pemanis buatan) menyebabkan kanser otak, FDA berpendapat bahawa ia tidak menyebabkan kanser otak dan mendasarkan penemuannya pada lebih dari 100 kajian toksikologi dan klinikal mengenai keselamatan pemanis.
Anda boleh bercakap dengan doktor untuk mengetahui risiko lain yang menyebabkan barah otak.
Tanda - tanda awal kanser otak adalah banyak dan tidak spesifik. Di kalangan doktor, ia juga dikenali sebagai red flag sign atau tanda amaran bagi kanser. Anda perlu mengetahuinya untuk mengelak daripada barah tersebut daripada merebak ke bahagian lain. Tanda - tanda awal kanser otak adalah seperti :
Hilang berat badan tanpa sengaja
Sakit kepala lebih pada waktu pagi
Muntah yang teruk apabila bangun tidur
Mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidapi sebarang kanser
Penglihatan terganggu
Masalah pemikiran dan personaliti
Sawan
Sekiranya seseorang mengalami tanda di atas, sila segera ke hospital untuk mendapat pemeriksaan lanjut.
Sawan : Tidak kira jenis tumor, sawan sering merupakan tanda awal masalah. Tumor mengganggu aktiviti neuron otak, dan menyebabkan pergerakan yang tidak normal. Seperti barah, sawan mengambil banyak bentuk. Anda boleh mengalami sawan seluruh tubuh, atau hanya melibatkan satu anggota badan atau satu bahagian muka anda.
Kekok dalam pergerakan : Masalah bercakap, menelan, berjalan, tidak seimbang atau mengawal ekspresi muka anda adalah beberapa contoh kekok dalam pergerakan.
Kebas : Kehilangan deria rasa di bahagian badan atau wajah anda adalah sesuatu yang perlu diperhatikan. Khususnya jika barah membentuk pada brain stem - tempat di mana otak berhubung dengan saraf tunjang, pesakit mungkin mengalami kehilangan perasaan atau pergerakan canggung.
Perubahan dalam ingatan atau pemikiran : Orang yang mempunyai barah boleh cenderung mempunyai masalah mengingati perkara, berasa bingung, atau mengalami masalah pemikiran.
Loya: Rasa mual atau sakit pada perut anda, terutama jika gejala-gejala itu berterusan dan tidak dijelaskan, boleh menjadi tanda tumor.
Masalah penglihatan : Penglihatan kabur, penglihatan berganda, dan kehilangan penglihatan semuanya dikaitkan dengan tumor. Anda juga mungkin melihat bintik atau bentuk terapung-atau yang dikenali sebagai "aura."
Rawatan untuk barah otak bergantung kepada jenis, saiz dan lokasi barah, serta kesihatan keseluruhan pesakit.
Pembedahan
Pembedahan merupakan sejenis rawatan yang menjadi pilihan para doktor dan pesakit sekiranya pesakit masih muda dan mempunyai kanser pada tahap yang awal lagi. Namun bergantung kepada jenis kanser dan lokasi, serta kesihatan pesakit itu sendiri, pembedahan mungkin tidak boleh dilakukan. Sekiranya kanser sudah merebak, pembedahan paliatif boleh dilakukan hanya untuk melegakan simptom dan bukan merawat penyakit kanser otak. Segala manfaat dan risiko pembedahan akan dibincangkan bersama pesakit dan doktor sebelum sebarang rawatan di mulakan. Harus diingatkan bahawa otak merupakan organ yang sangat kompleks dan pembedahan otak adalah agak berisiko tinggi, seperti mendapat kecacatan kekal, rosak penglihatan, personaliti berubah dan juga boleh menyebabkan kematian. Sekiranya pembedahan tidak boleh dilakukan atas sebab tertentu, terapi radiasi boleh dilakukan sebagai rawatan alternatif.
Terapi radiasi
Ini juga dikenali sebagai radioterapi. Sejenis pancaran cahaya digunakan untuk merosakkan DNA sel kanser lalu membunuh sel tersebut. Ia juga akan merosakkan sel normal yang sihat tetapi untuk sel normal, sel tersebut akan sembuh kembali. Terdapat sejenis radioterapi yang spesifik untuk kanser otak, iaitu dikenali sebagai Stereotactic radiosurgery. Ia merupakan satu teknik yang menggunakan pancaran radioterapi yang lebih kecil dan halus, di mana ia boleh fokus kepada sel kanser dan membunuh mereka dan mengurangkan kerosakan pada sel sihat yang lain.
Terapi kemoterapi
Kemoterapi menggunakan ubat untuk membunuh sel-sel tumor. Ubat kemoterapi boleh diambil secara oral dalam bentuk pil atau disuntik ke dalam urat (intravenous). Ubat kemoterapi yang paling sering digunakan untuk merawat tumor otak adalah temozolomide (Temodar), yang diambil sebagai pil. Banyak ubat kemoterapi lain yang boleh didapati dan boleh digunakan bergantung kepada jenis kanser. Kesan sampingan kemoterapi bergantung pada jenis dan dos ubat yang anda terima. Kemoterapi boleh menyebabkan rasa mual, muntah-muntah dan keguguran rambut. Ia juga mungkin boleh digunakan dengan pembedahan atau radioterapi untuk meningkatkan lagi keberkesanan rawatan kanser otak.
Kerana tumor otak boleh berkembang di bahagian otak yang mengawal kemahiran motor, ucapan, penglihatan dan pemikiran, terapi mungkin diperlukan. Bergantung kepada keperluan, rawatan lanjut seperti berikut mungkin diperlukan:
Terapi fizikal untuk membantu pesakit mendapatkan kemahiran motor yang hilang atau kekuatan otot
Terapi pekerjaan untuk membantu anda kembali ke aktiviti harian biasa, termasuk bekerja.
Terapi pertuturan dengan pakar dalam kesukaran ucapan (ahli patologi pertuturan) untuk membantu jika pesakit mengalami kesukaran bercakap
Anda boleh mengetahui lebih mengenai rawatan yang diperlukan untuk individu tertentu selepas berbincang dengan doktor. Saya harap saya dapat menjelaskan keraguan puan. Nasihat doktor juga boleh didapati di https://www.doctoroncall.com.my/
Soalan berkenaan - tanda awal kanser, punca kanser, bagaimana kanser boleh dikesan, cara mengatasi kanser
Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my