Apakah Simptom Kurang Darah (Anemia) dan Cara Mengatasinya?

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Ogos 7, 2020

Soalan:
Doktor, saya ingin bertanya tentang simptom kurang darah. Saya seorang perempuan berumur 31 tahun. Kerisauan saya mengenai masalah kesihatan saya adalah disebabkan oleh sejak belakangan ini saya sedar bahawa haid saya semakin banyak walaupun haid saya masih teratur dan tiada sebarang kesakitan. Saya risau darah haid yang semakin banyak akan mengurangkan tahap darah saya sehingga menyebabkan komplikasi kesihatan pada masa akan datang. Buat masa sekarang, tiada simptom tambahan lain.

Saya tidak pernah mengalami masalah kesihatan yang lain kecuali penyakit asma. Namun begitu, saya tidak mengalami semput sejak berumur dewasa. Kadang- kala saya berasa penat dan lelah tetapi saya rasa keadaan tersebut mungkin disebabkan oleh kerja saya yang agak sibuk dan memenatkan. Saya juga pernah pitam bulan lepas tetapi saya berpendapat keadaan tersebut berpunca daripada kepenatan dan tidak makan setelah seharian. Pekerjaan saya di gudang agak berat dari aspek fizikal. Bolehkah doktor memberi saya pendapat jika saya mungkin mengalami masalah kurang darah? Apakah tanda-tanda pesakit kurang darah? Perlukah saya berjumpa doktor untuk menjalani ujian darah?
Jawapan:
Terima kasih atas soalan anda. Bagi menjawab soalan anda, masalah kurang darah merupakan komplikasi haid yang berlebihan. Jika seseorang tidak mengamalkan tabiat pemakanan yang seimbang, ia juga boleh membawa kepada kurang darah yang berpunca daripada kekurangan nutrien yang penting seperti zat besi, vitamin B12 atau asid folik.
Selain daripada rasa penat yang keterlaluan atau tidak makan seharian boleh menyebabkan seseorang pitam, masalah kurang darah juga mungkin boleh membawa kepada risiko mudah pitam. Hal ini demikian kerana komplikasi kekurangan oksigen dalam badan. Saya menyarankan anda untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lebih lanjut dan ujian darah.

Masalah kurang darah merujuk kepada tahap pigmen hemoglobin dalam rendah yang rendah. Hemoglobin adalah pigmen dalam komponen sel darah merah yang bergabung dengan oksigen dari udara agar ia boleh dibawah oleh sistem pengangkutan badan dari jantung kepada organ dalaman. Istilah bagi keadaan kesihatan yang dihuraikan di atas adalah anemia.

Apakah gejala kurang darah?

Walaupun anemia mempunyai pelbagai punca yang berbeza, tanda-tanda kurang darah adalah:
  • Rasa lemah, lesu, kurang tenaga dan daya untuk bekerja.
  • Lelah, rasa seperti nafas tidak mencukupi, bernafas dengan tercungap-cungap, terutama sekali apabila melakukan aktiviti fizikal.
  • Pening atau rasa ingin pitam.
  • Rasa jantung berdebar atau deras.
  • Kulit dan muka pucat.
  • Denyutan nadi lemah dan deras.
Terdapat gejala kurang darah lain yang lebih spesifik berdasarkan punca kekurangan darah merah:
  • Anemia akibat daripada kekurangan zat besi: Kuku rapuh atau kuku melekuk, keinginan untuk makan barangan bukan makanan (gejala yang jarang terjadi), retakan di sudut bibir.
  • Anemia yang berpunca daripada proses ‘haemolysis’: sakit perut, kulit dan mata kuning (jaundis), kencing berwarna gelap, pembesaran organ hati dan limpa, kulit lebam.
  • Anemia disebabkan oleh kekurangan zat B12: rasa kebas di tangan dan kaki, hilang deria rasa atau deria rasa kurang sensitif, masalah dengan pergerakan, masalah koordinasi, masalah ingatan.

Apakah penyebab kurang darah?

Terdapat senarai panjang yang boleh dikaitkan dengan penyebab kurang darah. Antaranya ialah:

  • Anemia akibat daripada kekurangan zat besi: Anemia akibat daripada kekurangan zat besi:Zat besi adalah komponen penting untuk menghasilkan sel darah merah. Zat besi yang kurang adalah akibat daripada tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Zat besi boleh didapati dalam telur, ikan, daging, kekacang dan sayur hijau. Orang tua sering mengalami anemia ini kerana perubahan tabiat pemakanan dan masalah kesihatan lain. Pendarahan yang berlebihan terutamanya haid yang banyak, wanita hamil, buasir, pendarahan dari sistem pencernaan atau kanser juga boleh menyebabkan anemia ini.
 
  • Anemia disebabkan oleh kekurangan zat B12: Vitamin B12 jugakomponen penting dalam pembentukan sel darah merah. Anemia boleh terjadi jika seseorang tidak mendapat vitamin B12 yang optimum. Penyakit ‘pernicious anaemia’ menyebabkan perut tidak dapat menyerap vitamin B12 dengan efektif. Pesakit yang melibatkan masalah penghadaman seperti ‘Coeliac’s disease’ atau ‘Crohn’s disease’ juga berisiko untuk mengidap penyakit ini. Pengambilan minuman beralkohol tanpa kawalan juga antara punca anemia.
 
  • ‘Haemolytic anaemia’ atau anemia di mana sel darah merah dihapuskan oleh patologi yang luar biasa. Jika kadar penghapusan sel darah merah melebihi penghasilan darah dalam badan, gejala anemia akan berlaku. Situasi ini boleh disebabkan oleh penyakit seperti infeksi, kanser, leukemia, limfoma, ubat-ubatan dan penyakit sistem pertahanan badan (penyakit ‘auto-immune’).
  • ‘Aplastic anaemia’: Sel darah merah dihasilkan oleh sumsum tulang dalam badan. Penyakit ‘aplastic anaemia’ adalah keadaan di mana sumsum tulang tidak brfungsi dengan betul malahan tidak menghasilkan sel darah merah dengan sepatutnya. Penyakit serius ini jarang berlaku tetapi pesakit akan menjadi tenat jika dibiar begitu sahaja. Antara penyebab ‘aplastic anaemia’ adalah racun, jangkitan virus seperti HIV, EBV, pendedahan kepada radiasi mahupun kemoterapi.
  • Thalassemia: Penyakit genetik ini disebabkan oleh pigmen haemoglobin dalam sel darah merah yang tidak terbentuk dengan normal. Terdapat pelbagai jenis penyakit thalassemia yang dibahagikan mengikut jenis pigmen hemoglobin yang berlebihan atau berkurangan.
  • ‘Sickle-cell’ anemia: Penyakit ini disebabkan oleh masalah genetik. Bentuk sel darah merah yang tidak normal akan menyebabkan pergerakan darah dalam badan kurang cekap lalu membawa kepada simptom anemia. Walaubagaimanapun, individu yang mengidap penyakit ini akan terlindung daripada penyakit malaria.

Apakah rawatan kurang darah?

Rawatan yang disarankan oleh doktor bergantung kepada penyebab anemia tersebut. Diagnosis akan dicapai selepas pemeriksaan teliti oleh pakar perubatan.

  • Pengambilan makanan seimbang: Jika anemia berpunca daripada kekurangan nutrisi seperti zat besi, B12 atau asid folik, langkah pertama adalah dengan memperbaiki tabiat pemakanan. Makanan yang tinggi kandungan vitamin B12 dan zat besi adalah telur, sayur-sayuran hijau, daging, ikan dan bahan kekacang.
  • Suplemen vitamin dan zat: Selain daripada sumber asli, pakar perubatan juga akan membekalkan pil suplemen untuk memastikan anda mendapat zat besi dan B12 yang mencukupi.
 
  • MMengelak daripada minuman alkohol yang berlebihan: Pengambilan minuman alkohol yang berlebihan akan menyebabkan komplikasi masalah penyerapan vitamin B12 dan asid folik dari sistem usus.
  • Transfusi darah: Jika tahap darah merah terlalu rendah sehingga mendatangkan kesan sampingan yang serius, doktor akan menjalankan transfusi darah. Anda akan diberi transfusi darah selepas ujian darah dan pemeriksaan fizikal.
 
  • Pemindahan sumsum tulang: Jika sumsum tulang sudah tidak berfungsi secara efektif, cara penyelesaian yang terakhir untuk penyakit ‘aplastic anaemia’ atau ‘sickle cell anaemia’ adalah pemindahan sumsum tulang. Rawatan ini agak invasif dan memerlukan pemeriksaan perubatan yang sangat teliti termasuklah mencari penderma sum- sum tulang yang bersesuaian.
  • Mencari sumber pendarahan dan menghentikannya: Jika terdapat masalah pendarahan yang kronik misalnya dalam kanser atau ulser perut, masalah tersebut akan diatasi dengan cara pembedahan mahupun pengambilan ubat- ubatan.

Bilakah harus anda jumpa doktor?

Anda perlu berjumpa dengan doktor segera jika:

 
  • Terdapat simptom tambahan yang tidak pulih seperti penat lelah, pitam, jantung berdebar, kulit pucat.
 
  • Terdapat gejala yang mungkin merupakan penanda penyakit yang membahyakan nyawa seperti kanser, buasir, ulser perut atau usus.
 
  • Terdapat sejarah penyakit genetik yang membawa kepada anemia.
Secara konklusi, masalah kurang darah adalah penyakit yang biasa terjadi kepada wanita dengan masalah haid. Ia juga masalah kesihatan yang biasa berlaku kepada golongan tua. Disebabkan oleh pelbagai faktor kurang darah, anda perlu berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan yang lebih lanjut supaya rawatan yang bersesuaian dapat diberi kepada pesakit. Layari laman web www.doctoroncall.com.my 

Rujukan

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tebus baucar RM15 di e-farmasi