Mengapa kepala berdenyut sebelah kiri (Throbbing Left-sided Headache) dan adakah ia tanda yang bahaya?

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Ogos 7, 2020

Soalan:

Selamat pagi doktor. Saya Cik A berusia 22 tahun, seorang mahasiswa di sebuah universiti. Saya tidak mempunyai sebarang penyakit kronik. Saya ingin bertanya tentang sakit kepala yang kerap saya alami. Sakit ini selalunya melibatkan satu sisi sahaja, iaitu berasa kepala berdenyut sebelah kiri. Perkara ini berlaku sehingga kadang-kadang menyukarkan saya untuk fokus di dalam kelas. Saya turut berasa loya selain pandangan terasa berpinar. Saya tidak mampu ke mana-mana sekiranya sakit ini menyerang. Saya berasakan sakit ini ialah migrain, tetapi disebabkan bapa saudara saya baru disahkan mengalami ketumbuhan otak baru-baru ini, saya risau turut mempunyai penyakit yang serupa. Mohon pendapat doktor.

Jawapan:

Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan cerita ini, saya berpendapat simptom yang anda hadapi iaitu kepala berdenyut sebelah kiri (Throbbing Left-sided Headache) berkemungkinan besar merujuk kepada migrain, iaitu salah satu daripada sakit kepala primari. Penyakit ini biasa berlaku dalam masyarakat, dan golongan wanita lebih kerap mengalaminya.

Sebelum mengesahkan diagnosis, saya juga perlu mengetahui beberapa maklumat lain, seperti gejala tambahan, sejarah trauma, dan pengambilan ubat-ubatan. Perkara ini dapat membantu para doktor daripada terlepas pandang diagnosis yang lebih merbahaya seperti ketumbuhan dan jangkitan kuman dalam otak sebagai contoh. Perlu difahami bahawa migrain tidak boleh disembuhkan. Ubatan hanya diberi untuk menghilangkan simptom sakit kepala yang dialami.

Apakah penyebab kepala berdenyut sebelah kiri

Secara umumnya, terdapat banyak penyakit yang datang dengan gejala sakit kepala. Penyakit-penyakit ini tidak boleh didiagnos dengan betul melainkan setelah mendapat sejarah penyakit yang lengkap. Sesetengah penyakit juga memerlukan sokongan daripada keputusan ujian makmal dan pengimejan sebelum disahkan. Sakit kepala lebih kerap dialami oleh wanita berbanding lelaki dan gejala ini boleh dibahagikan kepada dua kelompok utama, iaitu:

  1. Sakit kepala primari
  2. Sakit kepala sekunder

Berbeza dengan sakit kepala sekunder, dimana sakit kepala yang berada dibawah kelompok ini mempunyai punca atau patologi yang jelas, sakit kepala primari pula adalah sebaliknya kerana tiada faktor atau patofisiologi spesifik yang mampu memjelaskan kesakitan yang dialami. Patofisiologi adalah proses atau cara bagaimana sesuatu penyakit berlaku. Dalam sakit kepala primari, proses ini belum boleh difahami sepenuhnya.

Sakit Kepala Primari

Terdapat beberapa penyebab atau penyakit yang telah disenaraikan dibawah sakit kepala primari. Antara yang paling biasa ialah:

  1. Sakit kepala tegang (Tension headache)
  2. Sakit kepala kluster (Cluster headache)
  3. Migrain

Sakit kepala dibawah kelompok ini biasanya akan hilang dengan sendiri dan ada yang tidak boleh disembuhkan seperti migrain. Rawatan adalah berupa jaminan daripada para doktor untuk mengendali penyakit ini dalam kehidupan. Ubatan boleh diberikan untuk mengurangkan gejala tersebut. Nasihat juga akan diberikan bagi mengubah gaya hidup seperti mengurangkan stress dan makanan yang boleh mengundang sakit kepala.


  1. Sakit Kepala Tegang (Tension Headache)

  2. Sakit kepala ini adalah yang paling biasa berlaku dan ianya mempunyai dua corak sama ada berlaku secara berepisod atau secara kronik (berterusan tanpa henti). Sakit kepala tegang mempunyai karakter seperti berikut, dan tidak semestinya semua akan terjadi, iaitu:

    • Sakit kedua-dua belah sisi kepala
    • Intensiti tidak terlalu kuat
    • Sakit kepala menekan
    • Tiada rasa loya
    • Aktiviti fizikal tidak mempengaruhi tahap kesakitan
    • Sensitif kepada bunyi dan cahaya

    Walaupun sakit kepala dalam penyakit ini melibatkan kedua-dua belah sisi kepala, namun begitu gejalanya masih bergantung kepada pesakit yang menyampaikan secara subjektif. Menjadi tugas doktor untuk mengenalpasti karakter sebenar sakit kepala yang sedang dialami.


  3. Sakit Kepala Kluster (Cluster Headache)

  4. Sakit kepala sebelah kiri juga boleh terjadi dalam penyakit ini. Sakit kepala kluster dicirikan sebagai serangan yang teruk pada satu sisi kepala sahaja, dan ianya berlaku dengan kerap dalam suatu tempoh masa, sebelum menghilang selama berbulan-bulan dan kembali menyerang. Karakter ini dipanggil sebagai kluster.

    Selain itu, sakit kepala kluster juga sering datang sewaktu tidur, selain dikaitkan dengan mata kemerahan dan berair, berhingus, hidung tersumbat, serta ptosis (kelopak mata jatuh). Golongan yang berisiko untuk mendapat sakit ini ialah:

    1. Lelaki
    2. Perokok
    3. Orang berusia 20 tahun keatas

  5. Migrain

  6. Penyakit ini mempunyai ciri-ciri gejala tersendiri yang dapat membantu para doktor membuat diagnosis. Ciri-ciri tersebut ialah:

    • Sakit kepala di satu sisi kepala
    • Sakit kepala mencucuk dan berdenyut
    • Aura (gangguan sensori)
    • Masalah untuk fokus
    • Loya

    Aura kerap berlaku sebelum sakit kepala migrain menyerang. Aura yang paling biasa didengar ialah aura visual, dimana seseorang akan mendapat gangguan dalam penglihatan, seperti percikan cahaya, garisan zig-zag, ataupun titik buta.


Sakit Kepala Sekunder

Sebanyak 90% komplain tentang sakit kepala sebenarnya merujuk kepada sakit kepala primari, dan selebihnya merupakan sakit kepala sekunder. Walaupun peratusan kes dalam kumpulan sekunder ini lebih rendah, namun risikonya dalam membahayakan nyawa pesakit adalah lebih tinggi dan perlu didiagnos dengan tepat.

Selain itu, sakit kepala dibawah kumpulan ini juga mempunyai penyebab atau punca yang jelas. Penyakit ini juga perlu disisihkan sebelum membuat diagnosis sakit kepala primari. Pembahagian boleh dilakukan dalam dua cara iaitu:

  1. Tidak mengancam nyawa dalam masa yang singkat
  2. Mengancam nyawa dalam masa yang singkat jika tiada tindakan

Penyakit yang tidak mengancam nyawa dalam masa yang singkat

  • Disebabkan reaksi pembuangan ubat atau bahan merbahaya daripada badan (withdrawal effect) seperti gas karbon monoksida dan alkohol.
  • Disebabkan masalah yang mengganggu struktur kepala manusia seperti sinsitis, glaukoma, dan sakit gigi.
  • Disebabkan gangguan dalam sistem tubuh badan seperti kelaparan, kekurangan oksigen, dan dialisis
  • Disebabkan gangguan mental seperti psikosis

Penyakit yang mengancam nyawa dalam masa yang singkat

Sekiranya diagnosis lambat dibuat serta tindakan tidak diambil, penyakit-penyakit yang tersenarai ini boleh mengancam nyawa pesakit atau menyebabkan kecacatan kekal pada pesakit. Antaranya ialah:

  • Pendarahan subaraknoid (Subarachnoid haemorrhage, SAH)
  • Pendarahan subdural (Subdural haemorrhage)
  • Ketumbuhan dalam otak
  • Temporal arteritis
  • Meningitis

Apakah gejala kepala berdenyut sebelah kiri

Gejala yang datang bersama sakit kepala adalah berbeza bergantung kepada penyakit yang dialami. Beberapa maklumat penting lain juga perlu diketahui bagi mengelakkan doktor terlepas pandang diagnosis yang lebih berisiko dan merbahaya. Antara maklumat tersebut ialah:

  • Sakit kepala baru muncul selepas umur 50 tahun atau bawah 10 tahun
  • Sakit kepala dengan aura yang atipikal (contohnya aura yang terlalu lama)
  • Simptom sistemik seperti demam, keletihan, sakit otot, dan hilang berat badan
  • Sakit kepala dengan muntah-muntah dan penglihatan kabur
  • Sakit kepala disebutkan sebagai paling teruk pernah dialami pesakit
  • Sakit kepala semakin kerap dan kuat berbanding kebiasaan
  • Sakit kepala baru yang berterusan selama beberapa hari
  • Sakit kepala semakin teruk ketika bersin, meneran, atau menundukkan kepala
  • Sakit pada kulit kepala dan rahang susah bergerak

Gejala pada Sistem Saraf

Selain itu, disebabkan sakit kepala juga adalah salah satu gejala gangguan sistem saraf, gelaja-gejala sistem saraf yang lain perlu diteliti sebelum membuat diagnosis. Antaranya ialah:

  • Sakit kepala dengan sawan atau pengsan
  • Sakit kepala dengan kehilangan memori
  • Penurunan tahap kesedaran
  • Gangguan kognitif
  • Perubahan personaliti
  • Keputusan abnormal dalam ujian fizikal yang dijalankan doktor

Apakah rawatan kepala berdenyut sebelah kiri

Rawatan adalah bergantung kepada penyakit yang dihidapi. Sekiranya anda mengalami mana-mana simptom diatas, adalah dinasihatkan supaya anda terus berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Rawatan dengan sendiri tanpa mendapatkan khidmat daripada pihak berkenaan perlulah dielakkan atas risiko tersalah diagnosis.

Bagi maklumat lanjut, sila layari www.doctoroncall.com.my. Anda boleh bercakap dengan doktor di atas talian.


Rujukan

Konsultasi Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA


Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Anda sedia untuk lawan jangkitan?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahui jika badan anda cukup kuat untuk melawan sebarang jangkitan Mula Ujian Percuma

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Penghantaran Ubat Ekspres

Soalan berkenaan - penyebab kepala berdenyut sebelah kiri, rawatan sakit kepala sebelah kiri, gejala sakit kepala sebelah kiri

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor Percuma Sambutan Hari Malaysia: Baucar RM20