Mari kita kenali beberapa jenis topeng muka yang sering digayakan oleh orang ramai. Secara amnya, terdapat tiga jenis topeng muka iaitu topeng muka fabrik, surgical mask dan topeng muka N95.
- Topeng muka fabrik merujuk kepada topeng muka yang diperbuat daripada kain ataupun apa-apa jenis fabrik. Ia pada awalnya dipopularkan oleh selebriti sebagai satu gaya dan menjadi trend dalam kalangan orang muda khasnya. Topeng jenis ini juga menjadi pilihan ketika wabak ini kerana ia mudah dipakai, terdapat dalam pelbagai corak dan boleh untuk dicuci.
- Surgical mask atau topeng pembedahan pula digunakan oleh pengamal perubatan khasnya ketika melakukan pembedahan dan ia bertujuan untuk melindungi seseorang daripada terkena cecair berbahaya dan titisan besar. Namun ia kurang efektif dalam menapis partikel udara kecil.
- Topeng N95 mendapat namanya kerana ia berpotensi untuk menapis partikel sehingga 95% dan topeng jenis ini dipakai oleh pengendali pesakit yang sudah disahkan positif jangkitan COVID-19
Sememangnya tidak dinafikan bahawa topeng muka fabrik ataupun kain tidak sama efektif topeng muka lain dalam mencegah jangkitan COVID-19 namun Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementeriannya tidak akan menghalang orang ramai daripada memakai penutup muka buatan sendiri. Namun begitu, pengamal perubatan yang mengendalikan kes COVID-19 hendaklah memakai topeng muka khas.
Perlu diakui juga bahawa topeng muka kain memiliki tahap kelembapan tinggi, terdedah kepada risiko pencemaran yang tinggi, boleh ditembusi partikel yang kecil dan akhirnya menjadi medium pembiakan kuman. Oleh itu, pengendalian terperinci perlu untuk dilakukan jika seseorang ingin terus memakai topeng muka jenis ini.