Bagaimanakah ubat Chlorpheniramine dapat membantu saya melegakan alahan dan kesan sampingan?

Anonymous
Selamat pagi, doktor. Saya seorang wanita berusia 30 tahun yang baru berpindah ke Johor Bahru untuk melanjutkan kerjaya saya. Kini, saya tinggal dalam rumah bapa saudara saya di Johor Bahru secara percuma. Keluarga bapa saudara saya ini membela 3 ekor kucing. Selepas saya berpindah ke rumah bapa saudara saya ini, saya mula mengalami simptom seperti kulit gatal-gatal dan hidung berair. Saya berpendapat bahawa saya mempunyai alahan terhadap bulu kucing kerana saya hanya mengalami masalah ini apabila balik ke rumah.

Namun, saya belum berupaya untuk berpindah ke rumah sendiri dan saya tidaklah boleh menyuarakan perihal ini kepada keluarga bapa saudara saya kerana saya hanya tetamu. Rakan saya telah mencadangkan supaya saya mengambil ubat chlorpheniramine, tetapi saya ingin memahami serba sedikit mengenai ubat ini terlebih dahulu. Bolehkah doktor menjelaskan serba sedikit mengenai ubat ini?

Anonymous
Selamat pagi, doktor. Saya seorang wanita berusia 30 tahun yang baru berpindah ke Johor Bahru untuk melanjutkan kerjaya ... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih atas soalan cik. Pada pendapat saya, terdapat kemungkinan cik sedang mengalami alahan terhadap bulu kucing kerana gejala-gejala cik hanya timbul apabila di rumah dan hilang apabila ke pejabat. Ubat chlorpheniramine ini merupakan sejenis ubat yang digelar sebagai antihistamin. Ubat ini digunakan untuk melegakan alahan. Namun saya ingin menasihatkan cik untuk berjumpa dengan doktor supaya doktor boleh menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca-punca lain mengenai gejala yang dialami oleh cik sebelum mengambil ubat ini.
Terima kasih atas soalan cik. Pada pendapat saya, terdapat kemungkinan cik sedang mengalami alahan terhadap bulu kucing ... See More

Apakah Itu Ubat Chlorpheniramine?

  • Chlorpheniramine merupakan sejenis antihistamin generasi pertama yang bertujuan untuk melegakan alahan. Chlorpheniramine terdapat dalam bentuk tablet, ubat cecair oral serta dalam bentuk suntikan. Untuk kegunaan biasa seperti dalam kes cik, biasanya cik akan diberikan ubat ini dalam bentuk tablet yang mengandungi 4mg.

  • Chlorpheniramine juga sering digabungkan dengan ubat lain contohnya kodein (ubat batuk) dan paracetamol (ubat tahan sakit dan demam) untuk merawat gejala selesema. 

  • Untuk orang yang cenderung mendapat alahan, terdedah kepada bahan-bahan seperti debu, bulu haiwan peliharaan, kacang, makanan laut dan gigitan serangga akan mengakibatkan kuantiti histamin (sejenis kimia dalam badan) didalam badan meningkat . 

  • Histamin ini akan menyebabkan gejala alahan seperti bengkak, ruam kulit, mata dan hidung berair, bersin dan hidung tersumbat apabila bertindak balas dengan reseptor H-1. Ubat chlorpheniramine bertujuan untuk menghalang histamin ini daripada berpaut pada H1-reseptor pada tisu.

Apakah Kegunaan Ubat Chlorpheniramine?

Ubat ini digunakan untuk:

·  Melegakan alahan kepada makanan, ubat dan rangsangan lain

·  Melegakan gatal-gatal kulit yang disebabkan oleh penyakit seperti cacar air

·  Mengawal tindak balas alahan yang serius contohnya anafilaksis

·  Melegakan selesema

·  Melegakan rhinitis

·  Melegakan urtikaria

 

Selain itu, kerana ubat chlorpheniramine ini juga memberikan kesan terhadap beberapa jenis reseptor lain dalam badan, ia juga boleh digunakan dalam rawatan kemurungan selain daripada melegakan masalah alahan. Ubat chlorpheniramine juga mendatangkan kesan mengantuk, dan boleh digunakan untuk membantu masalah insomnia untuk jangka masa pendek.

Apakah Kesan Sampingan Ubat Chlorpheniramine?

Ubat chlorpheniramine ini jarang mendatangkan kesan sampingan yang serius. Namun demikian, sekiranya anda mengalami kesan-kesan yang serius atau tidak disenaraikan di bawah, sila berjumpa dengan doktor segera.

 

Kesan-kesan sampingan yang paling lazimnya berlaku adalah:

·  Rasa mengantuk

·  Koordinasi pergerakan merosot

·  Kurang tumpuan

·  Rasa pening

·  Rasa loya

·  Mulut berasa kering

·  Sakit kepala

 

Kesan sampingan yang lebih serius adalah:

·  Sembelit

·  Penglihatan kabur

·  Halusinasi

·  Nada berdering dalam telinga

·  Susah membuang air kecil

·  Sakit dada

 

Biasanya, kesan sampingan yang paling umum berlaku adalah rasa mengantuk. Kesan-kesan sampingan yang lain lebih lazimnya berlaku sekiranya mengambil ubat chlorpheniramine untuk jangka masa yang panjang dalam dos yang tinggi. Mereka yang lebih peka mendapat kesan-kesan sampingan yang lebih serius ini adalah kanak-kanak serta orang berusia 65 tahun ke atas.


Apakah Yang Boleh Dilakukan Sekiranya Mengalami Kesan Sampingan?

Bagi mereka yang perlu mengambil ubat ini untuk melegakan masalah alahan, biasanya kesan mengantuk serta kesan sampingan lain itu akan hilang selepas makan ubat ini untuk beberapa hari berturut-turut. Hal ini disebabkan badan kita akan menyesuaikan diri dengan ubat ini dan tidak lagi berasa mengantuk apabila memakan ubat ini. Namun demikian, sekiranya kesan-kesan sampingan ini amat menyusahkan atau berterusan, anda haruslah berbincang dengan doktor atau ahli farmasi untuk mempertimbangkan ubat lain.

 

Cara-cara mudah untuk menangani kesan-kesan sampingan termasuklah:

·  Rasa mengantuk – Jangan memandu atau menggunakan mesin-mesin berat sehingga membiasakan diri.

·  Sakit kepala – Berjumpa dengan ahli farmasi untuk mendapat ubat tahan sakit seperti Panadol.

·  Mulut kering – Cuba mengunyah gula-gula getah dan minum lebih air

·  Kurang tumpuan/ sembelit/ kesan-kesan sampingan yang lain – Berbincang dengan doktor untuk menukar ubat atau mendapat nasihat.


Apakah Langkah-langkah Pengawasan Apabila Makan Ubat Ini

Sebelum makan ubat ini, anda haruslah memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi mengenai:

·  Senarai ubat-ubatan yang diambil, termasuklah ubat herba, tradisional, preskripsi dan vitamin. Ubat chlorpheniramine mungkin akan berinteraksi dengan ubat-ubat lain yang diambil. Hal ini boleh meningkatkan risiko mengalami kesan sampingan ataupun menyebabkan ubat tidak berfunsi dengan baik.

·  Pernah mengalami alahan terhadap ubat ini.

·  Penyakit yang sedia ada.

·  Keadaan kesihatan (contohnya status mengandung atau menyusu)

 

Terdapat juga butir-butir penting yang harus dititikberatkan oleh pengguna ubat ini. Butir-butir tersebut merangkumi:

·  Elakkan minum alkohol atau makan ubat sedatif yang lain

·  Elakkan memandu demi keselamatan diri dan orang lain

·  Mungkin boleh mengakibatkan tekanan dalam mata meningkat, terutamanya dalam penghidap penyakit glaukoma

·  Orang lelaki yang mempunyai masalah prostat besar mungkin akan mengalami kesukaran membuang air kecil

·  Orang yang mempunyai masalah hati atau buah pinggang mungkin perlu berbincang dengan ahli farmasi kerana organ-organ tersebut berfungsi untuk membasmi ubat ini dari badan

·  Sesuai untuk wanita mengandung tetapi tidak sesuai untuk ibu yang menyusu kerana mungkin akan terkeluar ke dalam susu badan


Cara Penggunaan dan Penyimpanan

Chlorpheniramine ini boleh dimakan sebelum atau selepas makan. Anda haruslah mematuhi dos yang disyorkan oleh doktor atau ahli farmasi. Untuk kanak-kanak yang mengambil ubat cecair ini, memang penting untuk mengikut arahan dos pada botol dan menyukat dos yang betul kerana kanak-kanak senang mengalami kesan sampingan sekiranya diberikan dos yang berlebihan.

 

Kebanyakan orang hanya perlu mengambil ubat chlorpheniramine untuk masa yang singkat sahaja. Sekiranya gejala sudah berkurangan, anda perlulah berhenti makan ubat ini.

 

Ubat chlorpheniramine haruslah disimpan jauh daripada jangkauan kanak-kanak dan di tempat yang sejuk dan kering. Janganlah menyimpan ubat ini dalam tempat yang panas dan mendapat cahaya matahari contohnya dalam kereta.


Hasil Ubat Chlorpheniramine

Ubat chlorpheniramine ini akan diserap melalui usus selepas dimakan. Sekiranya anda baru sahaja makan, mungkin serapannya akan mengambil masa yang lebih panjang. Ubat ini akan memuncak dalam badan sekitar jangka masa 1-2 jam, dan akan mula memberi kesan terhadap gejala alahan dalam 15-30 minit.

 

Ubat ini akan diproses dalam badan melalui hati, dan dibuang dari badan melalui air kencing. Ubat ini biasanya akan kekal dalam badan untuk masa yang agak lama, iaitu 12-40 jam.

Setiap penggunaan ubat, anda disarankan untuk mendapatkan nasihat dan panduan daripada doktor. Pastikan anda mengambil ubat ini mengikut kadar dos yang ditetapkan oleh doktor. Sekiranya pengambilan ubat ini menyebabkan kesan sampingan seperti yang dinyatakan diatas, anda perlu berjumpa doktor bagi mendapatkan nasihat dan rawatan yang sewajarnya.

 

Saya berharap bahawa saya telah menjawab soalan cik. Cik juga boleh melawat laman web kita pada www.doctoroncall.com.my untuk sebarang pertanyaan lanjutan. Terima kasih.

References