Doktor Tolong Bagi Saya Ubat Tidur, Saya Insomnia!

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Februari 10, 2020

Soalan:

Selamat sejahtera doktor. Saya pelajar tahun 2 di sebuah universiti tempatan dan ingin mengadu masalah kepada doktor. Untuk maklumat doktor sejak 3 bulan lepas saya telah mengalami masalah sukar untuk tidur. Saya juga sering terjaga dari tidur dalam pukul 3 ke 4 pagi tanpa sebarang sebab. Hal ini saya perasan terjadi selepas saya mendapat keputusan yang teruk dalam peperiksaan semester lepas. Saya sering memikirkan masalah tersebut dan ia sangat mengganggu fikiran saya. Boleh doktor sarankan ubat tidur di farmasi yang boleh saya dapatkan untuk membantu saya untuk senang tidur? Bolehkah doktor terangkan cara-cara atau tips untuk mendapatkan keselesaan dan kepuasan tidur? Terima kasih doktor.

Soalan berkenaan - ubat tidur cecair, ubat tidur buatan sendiri, ubat tidur farmasi, ubat tidur serbuk malaysia, ubat tidur untuk kanak-kanak, ubat tidur tradisional

Jawapan:

Terima kasih atas soalan yang diajukan. Untuk maklumat anda, kesukaran untuk mula tidur dan sering terjaga dari tidur adalah antara gejala insomnia. Pesakit mungkin mengalami kepayahan ketika mahu mula tidur, sering terjaga dari tidur, bangun tidur di awal pagi atau pesakit bangun dari tidur dan masih berasa letih dan tidak segar. Walaubagaimanapun, terdapat sebab lain yang berkemungkinan dialami oleh anda. Antaranya: 

  • Tekanan/ Stress
  • "Central Sleep Apnea" Pernafasan berhenti diselangi fungsi normal yang berlaku beberapa kali sewaktu tidur
  • "Pernafasan Cheyne-Stokes" Masalah tidur yang berkaitan dengan kegagalan jantung
  • Insomnia disebabkan ubat-ubatan

Oleh itu, adalah penting untuk anda berjumpa dengan doktor agar pemeriksaan lengkap boleh dilakukan dan anda boleh dapatkan diagnosis yang paling tepat. Anda boleh baca dengan lebih lanjut tentang penerangan masalah yang berkaitan di bawah.

Apakah Itu Insomnia?

Baring di atas katil, pandang siling dan kipas yang berpusing, cuba untuk melelapkan mata, tetapi masih hampa kerana badan masih tidak mahu untuk tidur. Fikiran melayang dan memikirkan masalah yang tidak kunjung habis, cuba lagi untuk melelapkan mata tetapi masih gagal. Apakah perkara-perkara ini kedengaran normal untuk anda? Gejala-gejala yang disebutkan ialah gejala yang boleh dialami pesakit yang menghidap penyakit Insomnia. Insomnia Disorder atau penyakit Insomnia adalah suatu penyakit dimana pesakit mempunyai gejala atau masalah yang mengganggu durasi dan kualiti tidur seperti letih walaupun pesakit telah mendapatkan tidur yang secukupnya. Antara gejala Insomnia ialah:

  • Sukar untuk mula tidur
  • Selalu terjaga sewaktu tidur
  • Selalu terjaga di awal pagi
  • Bangun dari tidur dan masih berasa letih dan tidak segar

Kelaziman penyakit ini adalah sebanyak 6-10% daripada penyakit yang berkaitan dengan masalah tidur. Ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan pesakit kerana pesakit akan kehilangan dan kekurangan tenaga di siang hari akibat daripada kekurangan tidur.

Apakah Ubat Untuk Masalah Sukar Tidur?

Adakah ubat tidur insomnia yang berada di pasaran boleh dibeli tanpa preskripsi daripada doktor? Tidak, ubat tidur merupakan ubat yang terkawal dan memerlukan preskripsi doktor sebelum dibenarkan untuk dibeli. Hal ini kerana, ubat tersebut boleh disalah gunakan dan ia mampu mendatang kan risiko yang merbahaya kepada pesakit jika digunakan tanpa kawalan.

Walaupun ubat kedengaran seperti jalan pintas untuk menyelesaikan sesuatu penyakit, namun ia bukanlah satu-satunya pilihan yang ada. Terdapat pelbagai cara untuk merawat masalah sukar tidur antaranya ialah:

  • Mengamalkan “sleep hygiene”

Penerangan tentang “sleep hygiene” akan dijelaskan dengan lebih lanjut di bawah. 

  • Terapi kognitif perilaku atau “Cognitive Behavioural Therapy”

Terapi ini memfokuskan rawatan pesakit menggunakan sesi terapi antara pesakit dan doktor pakar yang merawat. Tanpa menggunakan ubat-ubatan terapi ini jika diikuti pesakit dengan berdisiplin mampu memberikan kesan positif malah boleh menjadi lebih efektif daripada rawatan menggunakan cara ubat-ubatan. Terdapat beberapa sesi yang akan dijalankan dan ianya memerlukan komitmen dan kesungguhan daripada pesakit.

  • Ubat-ubatan seperti Benzodiazepine dan Non-benzodiazepine

Ubat tidur boleh diklasifikasikan antara Benzodiazepine, Non-benzodiazepine dan ianya bergantung kepada pengalaman pakar dalam merawat pesakit serta keadaan semasa pesakit.

Ubat Tidur Boleh Mengakibatkan Kesukaran Tidur?

Apakah betul penggunaan ubat tidur boleh menggalakkan lagi kesukaran untuk tidur? Ya, penggunaan ubat tidur secara kronik atau berterusan seperti penggunaan Benzodiazepines boleh menyebabkan pesakit semakin sukar untuk tidur dan akan menjadikan masalah insomnia lebih teruk. Hal ini kerana pesakit akan menjadi terlalu bergantung kepada ubat tersebut untuk lelap tidur dan tanpa menggunakan ubat itu, pesakit tidak dapat tidur. Masalah ini dipanggil sebagai “dependence” atau dalam bahasa mudahnya kebergantungan pesakit terhadap ubat-ubatan untuk meneruskan kehidupannya.

Bagaimana Untuk Mendapatkan “Sleep Hygiene”?

“Sleep hygiene” ialah cara atau teknik untuk mendapatkan kualiti dan tidur yang secukupnya. Ia merupakan langkah-langkah yang boleh diamalkan oleh semua orang terutamanya mereka yang mengalami masalah kesukaran untuk tidur bagi mendapatkan kesegaran dan keberkesanan tidur. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah:

  • Tidur pada masa yang sama pada setiap hari
  • Bangun tidur pada masa yang sama pada setiap hari
  • Elakkan tidur pada waktu siang terutamanya pada waktu petang
  • Tutup lampu dan pintu yang boleh menyebabkan bilik tidur menjadi terang
  • Tidur dengan kadar yang cukup, contohnya tidur 8 jam pada setiap hari
  • Gunakan katil hanya untuk tidur elakkan buat aktiviti lain di atas katil seperti belajar, membaca dan sebagainya
  • Elakkan minum minuman berkaffein seperti kopi, air berkarbonat, teh dan sebagainya terutamanya selepas waktu petang
  • Elakkan dari minum minuman beralkohol
  • Berhenti merokok atau elakkan merokok sebelum waktu tidur
  • Elakkan daripada memandang skrin komputer, televisyen atau telefon bimbit sebelum tidur kerana ia boleh merangsang melotonin
  • Bersenam selalu sekurang-kurangnya 20 minit setiap hari 5 kali seminggu
  • Elakkan daripada memaksa diri untuk tidur atau segera tidur jika masih tidak mengantuk

Dengan mengamalkan “sleep hygiene”, kualiti dan durasi tidur dapat ditingkatkan dan pesakit dapat merasakan kesan positifnya tanpa perlu untuk mengambil ubat tidur pada setiap hari. Dengan disiplin yang cekal daripada pesakit mengikuti teknik ini, masalah kesukaran tidur atau insomnia dapat diatasi dengan efektif.

Saya berharap penerangan yang telah diberikan boleh menyelesaikan sedikit sebanyak keraguan anda. Jika anda masih mempunyai soalan tentang masalah ini, anda boleh berbincang dengan lebih lanjut dengan doktor kami. www.doctoroncall.com.my . 



Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy