Pengalaman dan prosedur bagi ujian pap smear adalah tidak rumit dan tidak menyakitkan. Masa terbaik untuk menjalani Pap smear adalah apabila wanita tidak menstruasi.
Untuk dua hari sebelum ujian, elakkan perkara berikut kerana ia boleh menjejaskan keputusan ujian:
- Persetubuhan
- ’Douches’
- Ubat vagina (kecuali seperti yang diarahkan oleh doktor anda)
- Kontrasepsi vagina seperti pesseri kawalan kelahiran, krim, atau jeli
Pap smear biasanya sebahagian daripada pemeriksaan pelvik dan disertai dengan ujian payudara yang dilakukan oleh doktor. Ia hanya mengambil masa kira-kira satu minit untuk melakukan Pap smear semasa pemeriksaan keseluruhan ini.
- Wanita akan baring di atas meja pemeriksaan dengan lututnya perlu dibengkokkan dan kakinya akan berada dalam keadaan terkangkang. Semasa berbaring di atas meja pemeriksaan, doktor akan menggunakan instrument plastik atau logam kecil yang disebut spekulum untuk membuka vagina supaya dinding vagina dan serviks dapat dilihat dengan jelas.
- Sampel mukus dan sel akan diperolehi dari ektoserviks (bahagian rahim yang merebak ke vagina) dan endoserviks (pembukaan serviks) dengan menggunakan pengikis kayu atau penyapu/berus serviks yang kecil.
- Sampel sel akan disapu secara rata di atas slaid kaca dan disembur dengan spray penahan. Sampel ini akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan yang lebih terperinci di bawah mikroskop. Pada masa sekarang, boleh dikatakan semua hospital sudah mula menggunakan jenis Pap smear yang baru yang dikenali sebagai ujian ThinPrep, sampel akan dimasukkan ke dalam botol khas dan dihantar ke makmal untuk penyediaan dan pemeriksaan
- Ahli sitologi (pakar yang dilatih untuk melihat sel-sel dan mentafsirkan ujian Pap smear) akan mengkaji hasil daripada ujian tersebut.
- Rasa tidak selesa semasa ujian mungkin berlaku. Kebanyakan wanita tidak merasa apa-apa atau merasa tekanan. Berbaring dengan tenang akan membantu menghentikan sebarang ketidakselesaan. Anda harus bernafas dengan perlahan-lahan dan menumpukan perhatian dengan menenangkan bahagian perut dan kaki.
- Pap smear sepatutnya sesuatu yang tidak menyakitkan. Jika seseorang wanita mengalami kesakitan semasa ujian, dia harus memberitahu doktor.