Kaedah ini sememangnya tidak asing dalam dunia perubatan dan ia mula ditemui serta dikembangkan oleh tokoh saintis bernama Kary Mullis sejak tahun 1983. Selain untuk mengenalpasti virus serta bakteria, ia juga digunakan meluas dalam bidang forensik serta pembangunan teknologi. Persoalannya, bagaimanakah proses pengesahan melalui kaedah ini berlaku ?
Secara dasarnya, teknik ini berupaya untuk membuat jutaan salinan Deoxyribonucleic Acid (DNA). DNA pula merupakan rantaian kod yang menyimpan maklumat genetik sesuatu organisma termasuklah virus, bakteria dan fungi. Melalui proses ini, salinan asal DNA diperbanyakkan dan diterjemahkan dalam bentuk data yang boleh difahami. Informasi berkenaan virus ini akan disimpan dalam data perubatan dan ia digunakan untuk membandingkan kod genetik jangkitan baru. Informasi ini memudahkan serta mempercepatkan proses untuk mengenalpasti jenis patogen yang menjangkiti seseorang.
Bagi jangkitan COVID-19 pula, virus ini menjangkiti seseorang melalui saluran pernafasan manusia dan sampel akan diambil sejajar dengan saluran tersebut. Sebagai contoh:
- Spesimen daripada saluran pernafasan bahagian atas:
- Sampel diperolehi melalui teknik kesatan pada bahagian tekak atau nama saintifiknya nasopharyngeal dan oropharyngeal.
- Spesimen daripada saluran pernafasan bahagian bawah:
- Saluran pernafasan bahagian bawah pula merangkumi paru-paru serta bronkiole. Oleh itu sampel kahak pesakit boleh digunakan. Pengambilan tisu paru-paru juga antara kaedah lain untuk mendapatkan sampel.
Setelah sampel ini diambil, ia akan dihantar ke makmal secepat mungkin dan akan disimpan pada suhu 4 darjah celsius. Sampel ini kemudiannya akan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan ataupun beberapa makmal khas untuk tujuan pengenalpastian organisma. Di situ, proses RT-PCR akan dikendalikan.