Seperti imunisasi lain yang melindungi anda daripada virus, vaksin HPV merangsang penghasilan antibodi dalam badan kita. Sekiranya anda terdedah kepada virus ini pada masa hadapan, antibodi terhadap virus HPV dalam memori sistem imun kita akan bertambah dan bertindak mengelakkan virus ini menjangkiti sel serviks.Vaksin HPV yang sedia ada dicipta berdasarkan virus-like particles (VLP) yang dibentuk oleh komponen permukaan virus HPV. Komponen ini tidak boleh menjangkiti sel kerana tiada DNA virus. Namun, strukturnya serupa dengan virus asli HPV dan antibodi terhadap VLP juga mempunyai aktiviti terhadap virus asli. Kajian menunjukkan VLP sangat imunogenik. Ini membawa maksud bahawa pendedahan kepada VLP boleh merangsang penghasilan antibodi yang tinggi dalam tubuh badan kita. Sifat ini yang menjadikan vaksin ini sangat efektik.
Walaubagaimanapun, vaksin HPV tidak melindungi anda daripada penyakit kelamin yang lain seperti HIV atau sifilis dan ia juga tidak berfungsi untuk merawat jangkitan HPV yang sedia ada.
Anda mungkin tertanya-tanya vaksin hpv tahan berapa lama. Menurut data terkini, pelindungan terhadap jenis HPV yang disasarkan dikatakan boleh bertahan selama 10 tahun untuk Gardasil, sekurang-kurangnya 9 tahun untuk Cervarix dan sekurang-kurangnya 6 tahun untuk Gardasil-9. Kajian jangka masa lama masih dijalani untuk membantu pakar sains memahami dan mempelajari tempoh pelindungan vaksin-vaksin ini dengan lebih mendalam.